ABOUT ME

Thursday, December 10, 2020

TITIK TENGAH DALAM MEMPERKASA KAWALAN & KEBEBASAN KANDUNGAN KREATIF

 

TITIK TENGAH DALAM

MEMPERKASA KAWALAN & KEBEBASAN KANDUNGAN KREATIF

 Oleh Ts Azharul Azmir Kamarulzaman


        Beberapa hari lalu heboh diperkatakan mengenai jawapan balas Menteri Komunikasi & Multimedia mengenai keperluan mendapatkan lesen bagi penerbitan video persendirian. Sekiranya kita membaca hansard parlimen atau menonton rakaman video terbabit, jelas kita dapat melihat bahawa kenyataan yang dipetik menjadi tajuk berita di kebanyakan media bukanlah jawapan yang keluar langsung dari mulut beliau.

YB Menteri hanya menjelaskan  segala yang termaktub dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Akta 244), yang secara tidak langsung jelas memperlihatkan akta tersebut meletakkan syarat sedemikian bagi kesemua bentuk penerbitan.

Walau penulis percaya bahawa YB Menteri sangat memahami bahawa akta yang dikuatkuasa sejak tahun 1981 tersebut sudah tidak praktikal, keengganan beliau menjawab sebaliknya boleh dilihat sebagai tindakan mengelak dari terperangkap; supaya sebagai seorang ahli kabinet, beliau tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan akta di Parlimen, dan seterusnya tercatat di dalam hansard parlimen.

Ini diperkukuhkan lagi oleh kenyataan media yang dikeluarkan beliau pada 24 Julai 2020 tentang komitmen kabinet untuk menilai dan meminda Akta 244, dalam memperkasa kebebasan media di media sosial.

Kita mengharapkan bahawa kenyataan media yang dikeluarkan tersebut bukan sekadar untuk meredakan ketegangan, tetapi menjadi satu iltizam, seterusnya disambut dengan proaktif oleh para penjawat awam dan penggubal polisi yang berkaitan - untuk segera merangka gerak kerja ke arah itu.

Bagi penerbit perfileman, khususnya yang cakna dan mengikuti rapat perihal perundangan dalam industri ini, sememangnya syarat pelesenan penerbitan, pengedaran dan pemameran sepertimana yang diperjelaskan di dalam Akta 244 merupakan sesuatu telah kita sedia maklum.

Dengan perkembangan teknologi dan platform baharu dalam talian termasuklah saluran media sosial serta OTT, menjadikan ekosistem perfileman dan kandungan kreatif telah banyak berubah - sekaligus keperluan untuk merombak Akta 244 menjadi sangat mendesak.

Buat yang tidak mengetahui, usaha untuk meminda Akta 244 ini telah berjalan sekian lama di peringkat kementerian dan agensi bertanggungjawab. Malah beberapa tahun lalu ia hampir dikuatkuasakan. Namun birokrasi memperlahankan usaha itu.

Jika mahu memperkatakan tentang kebebasan media secara lebih terperinci, sebenarnya Akta 244 bukanlah satu-satunya akta yang mampu mencapai hasrat tersebut. Beberapa akta lain seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) adalah lebih penting untuk disemak semula. Pastinya ia usaha yang mencabar apabila akan melibatkan beberapa kementerian, khususnya Akta 620 yang diletakkan di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selain itu, penapisan penontonan dalam dunia hari ini juga sedang berubah. Pendekatan penapisan secara mandiri (self-regulatory) semakin berkembang di kebanyakan negara. Dalam dunia tanpa sempadan pada masa kini – ditambah teknologi seperti VPN yang mampu memecah sebarang sekatan dalam talian - pendekatan penapisan yang rigid oleh kerajaan dilihat semakin kurang berkesan, malah boleh dianggap kurang relevan. Seketat mana pun penapisan oleh kerajaan, masyarakat tetap akan mendapat akses kepada pelbagai bahan tontonan tanpa tapisan ini.

Oleh itu, pendekatan kerajaan pada masa kini seharusnya tidak semakin autokratik, tetapi lebih untuk mendidik masyarakat bagi menjadi penonton yang bijak; dalam menapis dan menilai sendiri tontonan mereka. Peranan Lembaga Penapisan Filem contohnya tidak harus dilihat sebagai platform penguatkuasaan semata-mata, tetapi juga organisasi yang seharusnya edukatif.

Kita sedar bahawa perundangan itu harus wujud dalam melahirkan sebuah sistem kehidupan bermasyarakat yang harmoni, namun mekanismenya harus sesuai dan ideal dengan situasi semasa.

Ini termasuklah tentang bagaimana kita mengendalikan isu ancaman dari media asing yang cuba memporak-perandakan perihal dalaman negara kita, sepertimana yang berlaku dalam penerbitan dokumentari `Locked Up in Malaysia’s Lockdown` terbitan Al Jazeera.

Penulis amat berharap bahawa usaha menyuburkan kebebasan media harus diusahakan dengan penuh iltizam di semua peringkat – dalam masa sama gerakan mempertahankan kedaulatan negara harus terus diperkasakan.


Draf  tulisan untuk akhbar Berita Harian siaran 26 Julai 2020. (Tanpa suntingan)

Wednesday, March 13, 2019

REVOLUSI KANDUNGAN KREATIF MALAYSIA

REVOLUSI KANDUNGAN KREATIF MALAYSIA

Oleh Ts Azharul Azmir Kamarulzaman

PENGENALAN

Jika filem Laila Majnun mahu dijadikan rujukan, dan jika tahun produksinya pada 1932 mahu diiterima sebagai tanda lahirnya perfileman di Malaysia, tahun ini perfileman kita sudah berusia lebih kurang 87 tahun. Hanya beberapa tahun lagi untuk mencapai usia satu abad.

Sepanjang tempoh itu, banyak fasa telah dihadapi oleh dunia penerbitan filem tanah air. Era perkongsian Malaysia-Singapura atas filem-filem zaman Studio Jalan Ampas, fasa kelahiran penerbit bumiputera, zaman kemunculan penerbitan indiependen pada awal 2000-an, hingga penerimaan positif pelabur korporat dan antarabangsa kebelakangan ini. Ini semua sebahagian dari laluan panjang industri perfileman dan kandungan kreatif negara.

Sepertimana yang penulis sering nyatakan terdahulu, perfileman adalah bidang yang komplikated. Ia bidang yang berkait dalam pelbagai aspek dan acuan. Filem boleh dilihat dari sudut kebudayaan, sebagai komoditi ekonomi, material pendidikan, platform mesej moral, kehalusan estetika kesenian, simbol jadi diri serta banyak lagi.

Dan oleh kerana sekian banyak sudut pandang yang boleh dibawa dan digunapakai dalam bidang ini, terjadi kepelbagaian pendapat, serta pandangan tentang bagaimana industri ini harus ditadbir urus dan dikawalselia. Berlaku perteligkahan, dan perbalahan yang tidak selesai, hanya kerana setiap daripadanya tetap mahu melihat perfileman dalam konteks dan acuan masing-masing. Perkara ini pastinya tidak akan berlaku sekiranya setiap dari kita memahami skop pemerhatian yang pastinya berbeza antara satu sama lain

Namun, dalam penulisan ini, bagi membolehkan ia berfokus, penulis lebih selesa memilih untuk memperkatakan bidang ini dalam konteks ekosistem industri.


LANDSKAP PERFILEMAN

Kita dapat melihat bagaimana perkembangan serta revolusi teknologi dalam industri perfileman dan kandungan kreatif Malaysia. Ini bermula dari zaman penerbitan menggunakan filem 35mm sejak puluhan tahun lalu, hinggalah kini ke digital sepenuhnya pada hari ini.

Namun, dalam dunia hari ini, apabila kita memperkatakan tentang pembangunan industri, fokus kita tidak hanya boleh menjurus kepada dunia penerbitan semata-mata. Perfileman dan kandungan kreatif adalah sebuah industri, sepertimana industri lain yang usaha pembangunannya harus dilihat dan diteliti secara holistik serta menyeluruh.

Dalam konteks perfileman dan kandungan kreatif, ini termasuklah berhubung membina ekosistem industri ini yang mesra dalam segala aspek.

Teknologi pemameran, penyelidikan dan pembangunan platform baharu, mekanisme pelaburan, insentif kewangan dan percukaian, adaptasi teknologi penerbitan, hubungan kerjasama antara negara dan banyak lagi.

Selain itu, kita tidak boleh lari juga dari keperluan untuk melihat penelitian sosial dalam aspek landskap penontonan. Sebagai sebuah industri, yang berteraskan penawaran dan permintaan (demand & supply), memahami permintaan adalah salah satu keperluan khusus yang perlu ditangani. Apa yang penulis maksudkan disini bukan sekadar trend citarasa penontonton, tetapi juga trend gaya hidup kesuruhan masyarakat dan orang ramai.

Kemunculan bentuk hiburan baharu dalam gaya hidup masyarakat kini harus diperhatikan, sebagai sesuatu yang berpotensi menjadi pesaing dan ancaman, atau sebagai faktor pemangkin kepada perfileman dan kandungan kreatif.


KANDUNGAN MULTI-PLATFORM

Semua pihak mengetahui mengenai perkembangan kandungan multi-patform pada hari ini. Ia telah mula disebut-sebut sejak beberapa tahun lalu. Oleh itu, beradaptasi dengan kandungan yang sesuai untuk keperluan ini adalah amat perlu. Terbaharu, pihak penyiar antarabangsa mula memperlahankan pelaksanaan program bagi televisyen, dan mula beralih kepada kandungan digital untuk multi-platform, khususnya untuk siaran media baharu.

Sebagai contoh, syarikat penyiar Discovery Network Asia yang mengendalikan saluran faktual terkenal, Discovery Channel bagi rantau Asia mula memperlahankan kerja-kerja commisining bagi program-program baharu di saluran mereka. Mereka kini mula menumpukan kandungan untuk platform dalam talian dengan menggunapakai kembali bahan rakaman yang mereka miliki selama ini dengan suntingan baharu bersesuaian untuk penontonan di media baharu: lebih pendek dan padat.Situasi ini jika berpanjangan pastinya memberikan kesan kepada para penerbit kandungan faktual yang selama ini banyak menghasilkan kandungan untuk mereka.

Namun, bagi penulis, ini adalah perubahan yang mungkin tidak akan dapat dikawal. Apa yang perlu adalah para pembikin harus lebih proaktif dalam menyesuaikan keberadaan mereka dalam industri dengan perubahan semasa. Ini memang menjadi teras dalam mana-mana industri sekalipun, bagi membolehkan setiap penggiat kekal relevan di dalam industri.


PENJENAMAAN & SEKTOR HILIRAN

Dalam konteks pelaburan filem dan kandungan, penulis melihat pertimbangan para pelabur industri perfileman pada masa kini tidak hanya menjurus kepada kebolehpasaran cerita dan kandungan, tetapi juga potensi penjenamaan daripada filem tersebut. Tidak sekadar melihat potensi untuk kelangsungan penerbitan filem sekuel, tetapi juga ruang dan peluang bagi perkembangan dan percambahan kepada pendapatan daripada sektor hiliran yang lain, termasuklah potensi pendapatan dari industri lain, dengan menggunakan jenama yang ada.

Sebagai contoh, sebuah filem bertemakan kopi di Indonesia yang berjaya di pasaran, iaitu Filosofi Kopi tidak hanya menerbitkan filem sekuelnya, Filosofi Kopi 2, tetapi juga membawa kekuatan jenama dari filem tersebut ke industri peruncitan dan makanan. Beberapa kafe dibina di beberapa bahagian di Indonesia dengan nama Filosofi Kopi, serta beberapa produk berteraskan kopi di bawah jenama yang sama mula dikeluarkan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Penerbit di Malaysia mungkin sudah boleh memikirkan pendekatannya sama. Sememangnya sudah ada usaha daripada penerbit tempatan dalam hal ini, namun kebanyakannya masih dalam lingkungan produk-produk dalam industri multimedia, serta masih fokusnya kepada menghasilkan jentera dan material promosi kepada filem, dan bukan untuk berdiri sendiri dalam industri yang berbeza dan selain dari industri kreatif.


POTENSI PENJENAMAAN SEMULA

Dalam menggalakkan hal ini, penerbit Malaysia mungkin turut boleh mengeploitasi semula jenama-jenama terdahulu yang berpotensi, tetapi tidak diekplotasi sebaiknya atas belum berkembangnya industri penjenamaan ketika itu.

Sebagai contoh, penulis ingin mengambil filem XX Ray sebagai rujukan. Filem yang sememangnya sudah mempunyai pengikut ini, berpotensi besar menjadi jenama berkaitan pendidikan teknologi contohnya, daripada hanya bergantung kepada prospek penerbitan filem sekuel selanjutnya semata-mata, yang ternyata tidak mendapat sambutan baru-baru ini.

Bukan untuk menukar penerbit dan pembikin menjadi usahawan dalam industri lain, ia mungkin boleh dilaksanakan secara liceinsing. Ini membolehkan syarikat penerbit dan pembikin selaku pemilik IP mempunyai kedudukan kewangan yang baik, sekaligus menjamin kelangsungan penerbitan-penerbitan filem dan IP baharu yang berikutnya, serta tidak hanya tersangkut pada projek terdahulu. Mahu atau tidak, kita harus mengakui perfileman adalah hasil karya yang memerlukan kos tinggi, dan bergantung besar kepada kemampuan kewangan syarikat penerbitannya.


PASARAN NICHE

“Niche in, mass out”
Frasa ini sudah sering diperkatakan oleh para pengamal media dan pengiklanan sejak beberapa tahun lalu. Ia memberikan gambaran perubahan lansdskap semasa dalam industri ini. Dalam industri media, kita dapat melihat beberapa saluran radio utama negara seperti saluran Era telah mula mewujudkan saluran di peringkat negeri dan wilayah. Akhbar Sinar Harian telah dahulu mengujinya melalui akhbar bersifat setempat, yang mana sukses ketika itu. Bagi penulis, ini merupakan antara beberapa contoh bahawa penghasilkan kandungan berasaskan geografi merupakan antara potensi yang boleh diteroka oleh para pembikin dan penerbit.

Ia terlebih dahulu telah terbukti berjaya apabila banyak telefilem-telefilem tempatan yang diterbitkan di Sabah untuk pasaran tempatan dalam bentuk VCD. Ia berjaya ketika itu. Meskipun industri mikro ini telah terhenti beberapa ketika lalu, namun penulis melihat ia bukan kegagalan pilihan pasaran, tetapi lebih kepada peralihan platform penontonan, apabila penonton telah kurang menonton melalui VCD mahupun DVD setelah kemunculan platform atas talian. Oleh itu, ia mungkin boleh diteroka dengan platform yang lebih semasa. Sebagai contoh, beberapa saluran Youtube berteraskan kandungan tempatan di pantai timur semenanjung Malaysia terutama Kelantan berjaya mengusai pasaran penonton bagi wilayah tersebut.

Selain geografi, pecahan berasaskan demografi lain serta segmen niche juga adalah amat berpotensi. Sebagai contoh, suatu ketika dahulu, ada stigma yang menyatakan bahawa filem yang memenangi anugerah di festival, khususnya di luar negara tidak mempunyai pasaran. Filem-filem art house ini lebih bersifat ekspresi seni, dan bukan tontonan umum. Namun, kemunuculan saluran seperti Astro A-List dan Sundance Channel membuktikan pendapat tersebut tidak tepat, dan sekaligus ia mempunyai nilai ekonomi, meskipun tidak sebesar pasaran massa.

Bagi penulis, setiap penghasilkan itu mempunyai nilai komersil, namun yang membezakannya adalah segmen pasaran yang dipilih. Ada yang memilih untuk menghasilkan kandungan blockbuster untuk pasaran massa, dan ada yang memilihkan kandungan spesifik bagi satu-satu pasaran yang niche.

Pasaran niche ini, meskipun segmen pasarannya kecil, tetapi adalah pasaran yang berpotensi. Setiap penerbit dan pembikin harus bijak mengenalpasti segmen pasaran mana yang mereka ingin bersaing.

Dalam analogi yang mudah, dalam konteks pelaburan, lebih baik menghasilkan filem berkos RM200 ribu dan memungut kutipan RM500 ribu kerana kita mengusai dan memahami segmen pasaran tersebut, daripada menghasilkan filem besar dengan kos RM3 juta, tetapi kutipannya hanya RM2 juta, kerana ternyata kandungan kita tidak kena dengan citarasa masyarakat kebanyakan.

Ini adalah contoh bagaimana sesuatu perkiraan boleh diambil oleh para penerbit dan pembikin dalam menentukan filem yang mahu dihasilkan. Namun begitu, tidak kiranya segmen pasaran mana yang mahu diceburi, kandungan adalah segalanya. Content is king. Pastikan kandungan berada dalam paras yang baik, dalam menjaga daya tahan pembikin dalam industri.



EKOSISTEM INDUSTRI

Satu lagi aspek yang perlu diambil kira dalam usaha pembangunan industri adalah memecahkan sentrik berasaskan Kuala Lumpur semata-mata. Dalam perspektif yang lebih luas, kita harus memikirkan bagaimana industri ini tidak bergantung kepada Kuala Lumpur semata-mata. Lama kelamaan, ia dibimbangi penuh dan tepu.

Kita harus memikirkan mekanisme tentang bagaimana mewujudkan ekosistem mesra penerbit dan pembikin di bandar-bandar lain seluruh negara. Sebagai permulaan, mungkin kita boleh mengenalpasti beberapa lokasi berpotensi untuk menjadi bandar satelit bagi pembangunan industri ini, seperti Johor Baharu di selatan, Kuching di Borneo dan sebagainya.

Ini penting supaya pembangunan industri ini tumbuh sekata dan seimbang di seluruh negara. Tiada lagi lambakan di ibu kota. Bakat-bakat baru boleh pulang ke negeri masing-masing untuk berkarya dan mencari rezeki di negeri masing-masing.

Perkara ini telah dibuktikan di Indonesia, apabila syarikat penerbitan tidak lagi hanya tertumpu di Jakarta, tetapi mula tumbuh dengan banyak di di bandar lain iaitu Jogjakarta dan Bandung. Selain itu, terdapat juga industri mikro di bandar-bandar lain seperti Makasar dan Bali. Sama juga di Korea Selatan yang tidak hanya tertumpu di Seoul, tetapi berkembang hebat di Busan, Incheon dan Jeju.

Selain itu, usaha pembangunan industri tidak harus dipikul oleh satu badan tunggal. Ia bukan tanggungjawab FINAS semata-mata, dan bukan hanya tanggungjawab agensi kerajaan persekutuan. Usaha advokasi dengan pihak kerajaan negeri, mahupun peringkat daerah perlu diadakan bagi memperlihat ini adalah industri berpotensi dan ini adalah industri masa depan. Apa yang penting adalah penyelarasan antara semua yang terlibat agar dapat saling membantu.



MODEL PERNIAGAAN AKAN DATANG

Penggiat industri juga, terutama pembikin dan penerbit harus bijak meneroka inovasi semasa. Sebagai contoh, beberapa pawagam termasuk TGV kini sedang cuba beradaptasi dengan perubahan semasa apabila mula menayangkan siaran langsung perlawanan bola sepak, konsert dan sebagainya di dewan tayangan mereka. Beberapa tayangan bersifat kanak-kanak, membuatkan mereka menjadikan pawagam mereka seperti jelmaan taman permainan, melalui pendekatan `pawagam mesra keluarga`.

Ini semua harus diteliti pembikin dan penerbit, tentang pro dan kontranya, dalam memastikan filem kekal relevan pada masa akan datang.

Selain itu, filem Misteri Dilaila adalah salah satu percubaan menarik penerbit dan pembikin Malaysia dalam membawa elemen interaktif ke dalam filem ini, dan ternyata ia berjaya dalam konteks kutipan panggungnya.

Sebagai penutup, penulis ingin menekankan perlunya keupayaan industri untuk memahami landskap semasa global dalam industri ini. Kita harus memahami trend semasa, serta mampu melihat atau merangka anggaran masa depannya, setidaknya bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Mungkin diperlukan satu penyelidikan, atau setidaknya pemerhatian mendalam mengenai perkara ini. Ini bagi menjadikan industri kita sebagai industri yang bersedia terhadap segala jenis ancaman mahupun perubahan landskap semasa di peringkat global mahupun serantau.

Friday, October 14, 2016

INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF MALAYSIA : FASA TERAKHIR MENUJU NEGARA MAJU

INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF MALAYSIA : FASA TERAKHIR MENUJU NEGARA MAJU

Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman

Pengenalan

Tahun 2020, Malaysia bakal menjadi negara maju. Oleh yang demikian, tahun 2016 hingga 2020 adalah penggal terakhir yang menjadi fasa penting dan penentu kepada negara untuk menuju hasrat tersebut.  Dalam fasa yang sangat getir itu, hanya industri yang memainkan peranan penting akan dilihat signifikan menjadi antara tunggak  dan sektor utama negara, dan seterusnya diberikan perhatian oleh masyarakat dan kepemimpinan tertinggi negara.  Perhatian masyarakat dan kepemimpinan negara ini penting  kerana hanya dengan sokongan mereka, sesebuah bidang itu akan terus bertahan dan berkembang dalam konteks sebagai sebuah industri.

Oleh itu, penggiat industri kandungan kreatif termasuk filem harus sedar bahawa kita berada dalam fasa paling penting dalam menentukan di mana tempat letak industri kandungan kreatif dalam negara maju yang akan kita bina. Tidak mahu hanya sekadar menjadi `penumpang` kepada sebuah gerabak yang memecut laju, tetapi harus menjadi penyumbang agar keretapi mampu bergerak lebih pantas ke destinasi.
Jika merujuk kepada laman web Koridor Raya Multimedia (MSC), kita juga dapat melihat bagaimana industri ini telah diperakui sebagai industri penting di peringkat global. Ini diperlihat melalui kajian The Creative Industry Outlook (2011-2014) yang dijalankan oleh Price Water Cooper House telah menunjukkan nilai industri Multimedia Kreatif adalah sebanyak RM4.2 trilion. Ia merupakan hasil ini dijana oleh 4 industri utama iaitu Filem (RM288 bilion), Kandungan Animasi (RM270 bilion), Permainan Video (RM192 bilion) dan juga Aplikasi Mudah Alih (RM88.5 bilion).
                           
Sebagai sebuah industri penting di peringkat global, dan menjadi `suara` signifikan kepada peradaban manusia hari ini, penggiat dan pentadbir industri kandungan kreatif di Malaysia tidak ada alasan untuk gagal.


Bidang Keberhasilan Utama Negara

Secara umum, bidang industri kandungan kreatif termasuk perfileman sememangnya telah mendapatkan perhatian oleh pihak kepemimpinan tertinggi negara sebagai salah satu penyumbang penting kepada ekonomi negara. Ini dapat dilihat daripada perlaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) iaitu sebuah rangka asas pembangunan negara yang mana ia telah meletakkan industri ini sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA) dibawah Kandungan & Infrastruktur Komunikasi (CCI). Projek berkaitan industri kandungan kreatif juga diletakkan sebagai antara Projek Permulaan (EPP) yang membawa impak tinggi kepada pembangunan ekonomi.


FDI vs DDI

Jika ditoleh ke belakang, sekitar dua dekad lalu, industri kandungan kreatif negara dimonopoli oleh perfileman, dengan bidang lain seperti animasi, aplikasi, permainan video dan lain-lain belum banyak diceburi di Malaysia ketika itu. Industri perfileman ketika itu pula bergantung penuh kepada Pelaburan Langsung Domestik (DDI), yang mana ketika itu hampir keseluruhan pelaburan perfileman (penerbitan, pemameran, pengedaran dan sektor hiliran) adalah dari pelabur tempatan.

Namun kini, industri kandungan Malaysia mula memberikan keyakinan untuk menarik pelaburan dari luar negara, tidak kira melalui sayap pelaburan di Malaysia atau pelaburan langsung asing (FDI). Dengan tidak menafikan kepentingan DDI sebagai sumber utama industri, FDI perlu dilihat sebagai memainkan peranan yang sangat penting dalam membawa kadar pertumbuhan yang lebih tinggi kepada industri ini. Kemasukan pelaburan luar ini, walau sering dipertikai golongan budayawan sebagai satu kebimbangan usaha membuang imej dan jati diri tempatan dalam sesebuah produk kreatif, namun harus diakui dalam konteks industri sebagai salah satu batu loncatan penting dalam membina industri yang lebih kukuh. Ini penting bagi industri filem dan kandungan kreatif; memandangkan ia adalah sebuah produk bersifat kolaborasi, dengan kos pelaburan penghasilan yang tinggi.

Selain itu, perkembangan bidang produksi bersama (co-production) dengan negara luar memberikan gambaran jelas bahawa produk kandungan kreatif kita telah mula diterima di peringkat global.


Sistem Bersepadu

Menyentuh tentang perihal sistem dan pengurusan dalam usaha menuju industri berimpak tinggi, penulis amat tertarik untuk mengulang kenyataan yang sering diperkatakan tentang penubuhan Content Malaysia Pitching Centre, yang dilihat sebagai salah satu menifestasi kesedaran pihak pentadbiran tentang kepentingan sistem yang bersepadu; dalam konteks ini berkaitan perihal penyaluran bantuan, rundingan dan pemudahcara industri kandungan kreatif.

Hal ini sebenarnya telah terlebih dahulu dilakukan oleh Singapura beberapa tahun lalu melalui agensi nasionalnya, Media Development Authority (MDA) apabila melakukan penstrukturan semula segala dana dan geran berkaitan industri media. Ia telah menggabungkan pelbagai kemudahan bantuan berbentuk kewangan dari pelbagai agensi termasuk Singapore Film Commision (SFC) dan MDA sendiri kepada sistem berpusat; yang diterajui MDA. Ini membantu mengurangkan risiko berlakunya ketirisan, serta pertindihan bidang tugas dan bidang kuasa yang dilihat memberi impak kurang saksama kepada keseluruhan industri.

Namun, yang lebih menariknya adalah apabila Malaysia Content Pitching Centre tidak hanya menyediakan bantuan berbentuk kewangan semata-mata, tetapi juga menjadi fasilitator dan pemudahcara dalam hal berkaitan latihan, pembangunan bakat, perantara dalam urusan Business to Business (B2B), penyeliaan terhadap kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D), membantu dalam mencari dan meneroka pasaran bagi produk tempatan, dan sebagainya.

Ini merupakan nilai tambah yang sangat diperlukan oleh industri kandungan kreatif Malaysia sebagai sebuah industri yang selama ini saban tahun menerima peruntukan dari kerajaan dalam pembangunan produk kreatif, namun masih gagal bersaing dengan beberapa negara jiran; yang mana pembikin mereka lebih tidak bernasib baik dari aspek sokongan kerajaan. Ini memperlihat bahawa peranan membangun industri bukan sekadar soal penyaluran dana yang telus, tetapi bagaimana perlaksanan projek yang dibantu itu disokong dalam aspek-aspek lain seperti pembangunan, pemasaran dan sebagainya.


Peranan Modal Teroka

Sebagai suntikan dan pemangkin kepada usaha meningkatkan  kadar pertumbuhan industri yang lebih tinggi, pihak pentadbir dilihat sedar tentang kepentingan modal teroka (venture capital) dalam pembangunan industri kandungan kreatif ini. Kerana itu diwujudkan MyCreative Ventures Sdn Bhd, iaitu sayap pelaburan milik penuh kerajaan yang memberikan fokus kepada pelaburan modal teroka dalam industri kandungan kreatif, dan industri kreatif secara keseluruhan.

Jika sebelum ini, penggiat kandungan kreatif terpaksa bergantung harap kepada syarikat-syarikat modal teroka umum milik kerajaan dan swasta yang lain. Potensi untuk berjaya mendapat pelaburan juga agak tipis memandangkan organisasi sektor kewangan ketika itu, termasuklah bank-bank perdagangan masih belum jelas tentang budaya perniagaan industri kreatif seperti hal-hal berkaitan nilai harta intelek (IP), dan sebagainya.

Namun, dengan peningkatan kefahaman dan kepercayaan terhadap industri ini, syarikat modal teroka yang lain juga, seperti Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP), Malaysia Technology Development Berhad (MTDC) serta banyak lagi syarikat modal teroka milik swasta dilihat mula memberikan perhatian kepada industri kandungan kreatif.

Terbaharu, Memorandum Persefahaman (MoU) yang dijalinkan oleh pihak MyCreative Venture dan FINAS yang membolehkan MyCreative Venture menyalurkan pinjaman secara modal padanan (Matching Grant) bagi penerima geran Pitching Centre, sekaligus membantu kelancaran proses kerja penerbitan para penerima geran ini.


Pembangunan Bakat

Apabila kita berbicara soal pembangunan industri, ia bukan sekadar soal meningkatkan nilai urusniaga semata-mata. Harus diingat, dalam mana-mana bidang  sekalipun, ia tetap berkaitan soal manusia yang menjadi tulang belakang, perancang dan penggeraknya. Sesuatu yang penting untuk diberikan perhatian ialah soal pembanguan bakat, yang menjadi asas dan pra-syarat penting dalam membina sebuah industri yang kukuh. Ini termasuklah bakat teknikal dan bakat kreatif yang menjadi subjek dalam sesebuah produk; serta tidak boleh dilupa bakat mentadbir, bakat pemasaran, bakat kewangan berkaitan, bakat inovasi dan sebagainya.


Komoditi Ekonomi Yang Kompleks

Selain itu, apabila berbicara tentang industri filem secara khusus, apa yang harus kita sedar bahawa ia mempunyai ciri yang kompleks untuk diberikan justifikasi secara mutlak. Ini kerana filem boleh dibincangkan dari pelbagai sudut, dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosio-budaya, pengajian sosial, malah filem sebagai filem; dan sebagainya. Dan setiap bidang ini mempunyai kepentingannya dalam pembinaan dan pembangunan negara. Namun, bagi penulis, apa yang penting, sebagai produk seni bernilai ekonomi, filem harus punya citarasa.

Filem adalah seni kraf bercerita. Jadi, apa sahaja cerita yang anda ingin angkat, bawalah ia dengan kemahiran dan skil penceritaan anda yang sebaik mungkin, mengikut khalayak sasar yang telah anda pilih. Malah sebaiknya penceritaan itu harus memperkaya budaya fikir manusia (walau frasa ini juga boleh dibahaskan dalam pelbagai konotasi yang berbeza dengan panjang lebar).

Diakhirnya, penonton sebagai pemegang kuasa membeli berhak untuk merayakan filem mengikut definisi, tafsiran dan citarasa masing-masing.


Penutup

Dari semua yang diperkatakan di atas, kita dapat melihat bahawa industri kandungan kreatif di Malaysia berada dalam landasan dengan hala tuju yang semakin jelas berbanding beberapa tahun kebelakangan. Namun, tanggungjawab memastikan kelancarannya terpikul di bahu setiap pentadbir dan penggiat industri kandungan kreatif.

Gagasan dan rangka asasnya telah ada. Apa yang perlu kini adalah segala rangka kerja ini disusun terperinci dan diusahakan secara bersepadu. Dasar Perfileman Negara dan Dasar Industri Kreatif harus diteliti dan dinilai semula kerana wujud beberapa hala tuju yang bercanggah; dan lebih penting adalah bagi melihat bagaimana ia mampu mendukung ETP sebagai kerangka utama hala tuju negara seperti yang ditetapkan kerajaan ketika ini.

Dalam tempoh lima tahun terakhir menjelang negara maju ini, mahu atau tidak, industri kandungan kreatif harus terus komited dalam mempertingkat kedudukan dalam KDNK negara jika mahu industri ini terus kekal signifikan kepada ekonomi dan masa depan negara. Trend global hari ini sememangnya menuju ke arah perkembangan itu. Secara tidak langsung, industri kandungan kreatif di Malaysia akan turut ikut serta. Namun, tidak bermakna jika sekadar ikut serta, tanpa komitmen untuk melakukan yang terbaik untuk industri ini.

Bagi pembikin filem, selamat meraikan kepelbagaian dengan penuh iltizam untuk terus menghasilkan filem yang baik; baik untuk ekonomi dan baik untuk manusia yang menontonnya.

Kembali kepada fitrah manusia, penulis ingin memetik kata-kata tokoh besar Nusantara, Prof Dr Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka. Katanya, “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja.”


Jadi, kita perlukan lebih dari itu.


(Artikel untuk buku cenderamata Festival Filem Malaysia 2016)

Thursday, November 19, 2015

INTEGRASI DALAM INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF MALAYSIA

INTEGRASI DALAM INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF MALAYSIA
Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman


Pengenalan

Terma `industri kandungan kreatif` mula banyak diperkatakan di Malaysia pada tahun 2000-an seiring dengan perkembangan teknologi. Kemunculan media baru, telefon pintar dan pelbagai platform dan gajet canggih yang lain membawa dimensi baru kepada kandungan kreatif yang selama ini lebih mirip kepada bentuk hiburan satu hala sahaja. Dengan perkembangan ini, satu demi satu bentuk hiburan yang lebih interaktif diperkenal dalam mengekalkan momentum daya tarik para penonton dan pengguna.

Dalam memastikan perkembangan industri ini terus konsisten dengan kadar pertumbuhan yang kompetatif, amat penting bagi industri ini diberikan perhatian khusus oleh pihak pentadbir industri dan pengurusan tertinggi. Namun, dalam mewujudkan industri yang mapan, apa yang penting bukanlah suntikan kewangan semata-mata, tetapi pihak pentadbir proaktif untuk mewujudkan sebuah ekosistem industri yang konsudif dalam pelbagai aspek termasuklah perundangan, galakan, prosedur dan sebagainya.

Oleh itu, sebagai pemain industri, adalah amat penting bagi memperlihatkan komitmen, khususnya dalam memperlihatkan bahawa industri ini adalah sebuah industri yang serius, berdaya saing, berpotensi serta mampu memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan ekonomi negara. Hanya dengan cara itu industri ini akan dilihat secara serius oleh kerajaan sebagai industri yang penting dan dipermudah segala urusan birokrasi.


Sinergi Silang Industri

Dalam melihat kepentingan dan signifikan industri kandungan kreatif ini kepada negara, kita harus melihat industri ini dan hubungannya dengan pelbagai industri berkaitan. Ini memandangkan kandungan kreatif mempunyai hubungan langsung yang agak akrab dengan industri-industri lain.

Jika dahulu, industri kandungan kreatif dan industri filem khususnya dilihat dari fungsinya yang lebih menjurus sebagai platform hiburan dan propaganda semata-mata, kini ia sudah menjangkau lebih dari itu. Ini memperkuatkan lagi hujah bahawa perfileman dan industri kandungan kreatif tidak boleh dilihat sebagai satu bidang sahaja. Dengan menjadi komoditi ekonomi penting di peringkat global, kandungan kreatif menjadi elemen penting kepada pelbagai sektor huluan dan hilirannya yang lain seperti pelancongan, teknologi, pengiklanan, penjenamaan dan lain-lain.

Dengan meyakini bahawa sifatnya yang berintegrasi dengan pelbagai industri ini, kita berpotensi untuk melihat usaha membangun industri kandungan kreatif bukan dari agensi industri kreatif, kebudayaan atau multimedia semata-mata. Dengan itu, organisasi dari pelbagai bidang seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran (pembangunan skill pekerja kandungan kreatif), Tourism Malaysia (mempromosi Malaysia melalui filem), Jabatan Warisan Negara (pemeliharaan filem sebagai warisan negara), Arkib Negara (pembangunan arkib filem), MATRADE (menggalak jualan hak kandungan kreatif sebagai komoditi eksport) dan lain-lain dapat digerakkan dalam membantu perkembangan industri ini.

Ini dapat dilihat apabila negara-negara serantau seperti Singapura dan Thailand yang memberikan peruntukan amat besar bagi penganjuran festival filem antarabangsa melalui peruntukan dari badan penggalak pelancongan negara mereka. Hasilnya, Singapore International Film Festival dan Bangkok International Film Festival muncul sebagai antara festival filem penting di rantau ini, yang pastinya sekaligus mempromosi negara mereka dari aspek pelancongan, menggalak pelaburan di negara mereka, pemindahan teknologi ke negara mereka, dan pelbagai lagi.

Selain itu, kandungan kreatif dalam bidang muzik, permainan interaktif dan lain-lain mempunyai hubungan rapat dengan perkembangan industri teknologi, yang menyaksikan pertumbuhan platform pengedaran di medium digital seperti telefon pintar, televisyen pintar, malah gajet lain seperti jam pintar dan lain-lain. Ia kemudian turut melibatkan perihal perundangan, khususnya dalam soal hakcipta, hak pemasaran, kontrak dan sebagainya.

Perkembangan industri kandungan kreatif juga memberikan impak jeas terhadap bidang akademik dengan lahirnya sekian banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang pengajian berkaitan seperti multimedia, perfileman, pembangunan aplikasi, penataan bunyi, dan lain-lain. Ini termasuklah yang menawarkan kursus-kursus berkaitan pengajian sosial, yang memberikan penekanan terhadap subjek berkaitan kandungan kreatif dalam konteks sosio budaya dan lain-lain. Ini semua tidak termasuk pengaplikasian kandungan kreatif sebagai mekanisme dan bahan dalam pedagogi pembelajaran dalam pelbagai bidang pengajian.


Gerak Kerja Industri

Selain melihat integrasi industri kandungan kreatif dengan industri berkaitan yang lain, aspek integrasi juga harus diberikan penekanan dalam gerak kerja industri ini sendiri. Ini terutamanya yang berkaitan dengan perihal pentadbiran, perundangan dan penguatkuasaan industri. Salah satu penyelidikan yang dijalankan oleh Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) menyatakan bahawa dasar, perundangan dan pentadbiran industri filem yang berkesan harus memenuhi tujuh kriteria utama iaitu (1) jelas, (2) terarah, (3) terperinci, (4) menyeluruh, (5) konsisten, (6) menggalak serta (7) lengkap melengkapi.

Sebagai contoh, industri perfileman negara semakin hari memperlihatkan kelancaran gerak kerja apabila beberapa agensi seperti Multimedia Development Corporation (MDeC), Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Jabatan Filem Negara (kini bergabung dengan FINAS) diletakkan dibawah seliaan Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM) yang baru ditubuhkan, berbanding penyeliaan dari beberapa kementerian berbeza sebelumnya.

Namun begitu, beberapa agensi teras industri perfileman masih dibawah kementerian yang dilihat kurang sesuai. Contoh yang paling jelas adalah apabila Lembaga Penapisan Filem (LPF) diletakkan dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ini mewujudkan perbezaan sudut pandang dalam melaksanakan bidang tugas dan bidang kuasa terbabit. Kementerian Dalam Negeri mungkin akan melihat penapisan filem sebagai `satu usaha penguatkuasaan`, manakala Kementerian Komunikasi & Multimedia akan melihat penapisan filem sebagai `satu usaha pengawalan kualiti`.


Content Malaysia Pitching Centre

Salah satu usaha mewujudkan gerak kerja yang berintegrasi dalam industri ini adalah dengan wujudnya Content Malaysia Pitching Centre, iaitu pusat sehenti yang berperanan sebagai pembantu dan pemudahcara para pembikin kandungan kreatif dalam mendapatkan bantuan kewangan, rundingan dan bimbingan dalam melaksanakan projek kandungan kreatif mereka. Ini merupakan satu usaha yang wajar dijadikan rujukan, tentang bagaimana integrasi boleh diaplikasi dalam sebuah industri dengan pelbagai elemen.

Pusat ini lahir dari kesedaran KKMM melihat kepentingan gerak kerja yang bersepadu di antara setiap agensi. Oleh kerana itu, bahagian bertanggungjawab berkenaan usaha galakan di FINAS, SKMM dan MDeC digabungkan dibawah Content Malaysia Pitching Centre ini. Penglibatan wakil pelbagai agensi dalam penyelarasan berpusat akan memudah, melancar dan meningkatkan keberkesanan usaha penyaluran dana dan bimbingan konsultasi penerbitan, pemasaran dan lain-lain untuk industri kandungan kreatif.


Signifikan Akreditasi

Integrasi juga harus diwujudkan dalam penyelarasan kelayakan penggiat industri. Dalam mewujudkan sebuah industri yang ditadbir urus secara profesional, amat penting mempunyai satu sistem akreditasi yang diiktiraf secara bersama oleh semua agensi yang berkaitan. Dalam bidang pendidikan, kita dua cabang akreditasi utama adalah melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), yang mewakili bidang pengajian tinggi akademik dan skill kemahiran.

Oleh itu, penglibatan dalam industri memerlukan satu standard kelayakan yang boleh digunapakai dalam peringkat industri. Kerana itulah diwujudkan Creative Content Industry Guild (CCIG), yang ditubuhkan dibawah seliaan FINAS dan Unit Pengurusan Prestasi & Pelaksanaan (PEMANDU), sebagai sebuah badan berkecuali yang dipertanggungjawabkan mengendalikan pentauliahan para penggiat industri. Ia merupakan satu inisiatif dibawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang menjadi pelan induk pembangunan negara menuju negara maju pada tahun 2020.

Penulis melihat timbul banyak salah tanggapan tentang akreditasi yang diwujudkan dalam industri. Ini kerana ramai melihat akreditasi sebagai persepsi. Timbul persoalan bahawa yang mempunyai akreditasi tidak semestinya lebih mahir berbanding yang tidak dinilai dalam akreditasi. Soal itu sepatutnya tidak timbul.

Persepsi bahawa akreditasi untuk menilai `siapa yang lebih bijak` atau `siapa yang lebih berkemahiran` adalah sesuatu yang tidak tepat. Akreditasi dalam industri diwujudkan sebagai satu sistem atau tatacara dalam industri. Bayangkan jika sebuah industri ditadbir tidak mengikut tatacara atau piawaian, dan hanya diurustadir mengikut `ikut rasa` dan `agak-agak`. Oleh kerana itulah pentingnya akreditasi dalam industri, bukan untuk menilai `siapa hebat`, tetapi keperluan mewujudkan sistem dan tatacara dalam mengurus industri secara profesional.


Penutup

Seharusnya diakui bahawa setiap tindakan mempunyai pro dan kontra. Apa yang dibahaskan disini adalah mengikut perspektif industri. Penulis cuba untuk memberikan gambaran bagaimana siginifikannya integrasi dalam sesebuah pengurusan dn pentadbiran sesebuah industri.

Namun, ingin ditegaskan bahawa penulis tidak menbincangkan usaha melahirkan filem atau kandungan kreatif yang baik secara khusus di sini. Itu soal lain, dalam konteks yang lain. Penulis sedang membicarakan tentang usaha mengurus dan mentadbir sebuah industri. Usaha mewujudkan sistem yang berintegrasi dan bersepadu harus dilihat secara positif, kerana hanya dengan itu, sebuah industri maju akan dapat dicapai; yang pastinya sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kualiti kandungan kreatif yang dihasilkan.

Tuesday, April 1, 2014

DUNIA DARI LENSA MYDOCS


DUNIA DARI LENSA MyDocs

Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman


Bayangkan hidup kita jika setiap hari dipenuhi perkara yang sama. Bayangkan tidak wujud kesedihan, suka duka, gembira, debaran, teruja dan sebagainya. Pasti hilanglah nikmat dan makna sebenar apa yang kita panggil sebagai kehidupan.

Sebagai seorang peminat filem, saya menyedari bahawa dokumentari mempunyai peranan yang jelas sebagai medium dokumentasi masyarakat dan perakam zaman. Ia menjadi rakaman penting untuk bercerita tentang dunia dan manusianya. Kebanyakan pengarah filem cereka terkenal dunia bermula dari genre ini.

Menyorot kembali sejarahnya, dokumentari wujud selari dengan kewujudan filem sebagai medium manusia merakam dan bercerita sejak lebih seabad yang lalu. Ia berkembang menjadi satu platform propaganda yang begitu berkesan dalam separuh pertama abad ke-20. Sehingga kini, seiring perkembangan zaman, dokumentari turut berevolusi tidak kira dari sudut pembikinan, penceritaan mahupun fungsi dan matlamatnya.

Suatu ketika dahulu, saya masih ingat persepsi orang di sekeliling saya, termasuk saya sendiri yang menyatakan bahawa dokumentari adalah bentuk filem yang sangat membosankan, malah jauh berbeza dari filem cereka. Kisah benar, fakta dan kenyataan biasanya tidak cukup `indah` berbanding dunia ciptaan dalam cereka yang penuh warna warni.

Apabila saya membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam bidang perfileman, dokumentari diletak sebagai pilihan genre paling belakang. Dokumentari Malaysia ketika itu terlalu sinonim dengan penceritaan yang mendatar; lalu membosankan. Ilmu penceritaan semudah menaburkan fakta dan info begitu sahaja, atau dengan kata lain cukup sekadar bercerita; `gagap` atau `pelat `menjadi tidak penting.

Ketika itu, perihal inilah yang membezakan dokumentari kita dengan dokumentari antarabangsa. Sebagai contoh, saluran Discovery Network, saluran antarabangsa yang kita semua kenal mempunyai reputasi yang tinggi, tidak mengenal dokumentari sebagai dokumentari. Mereka sebaliknya lebih selesa memanggil ia sebagai `real-life entertainment`. Mereka memahami bahawa dengan perubahan pengetahuan manusia tentang dunia dan alamnya, turut akan merubah `apa yang manusia suka` dan `apa yang menyebabkan manusia suka`. Jadi, penceritaan dokumentari harus menjadi lebih interaktif, bersebab dan mempunyai emosi yang mampu menyentuh hati penonton.

Namun, dari sehari ke sehari, dokumentari Malaysia semakin memperlihatkan sinar. Persepsi saya terhadap dokumentari mula berubah. Kemunculan pengarah dan penerbit yang serius dalam membangunkan kualiti dokumentari Malaysia membawa kesan yang positif. Nama seperti David Moggie, Naguib Razak dan Harun Rahman memberitahu dunia bahawa Malaysia ini kaya dengan kisah yang hanya menanti masa untuk diceritakan.

Ia seakan menjadi pemula kepada gelombang dokumentari di Malaysia yang disusuli dengan kemunculan penggiat-penggiat lain, muda dan tua, seperti Zan Azlee dengan gaya jurnalis, Syirfan Indra dengan dokumentari sejarah, Jak Othman dengan dunia silat, Ahmad Yazid yang sebati dengan kisah jenayah, Kamal Ishak dengan jiwa sinematik, Mansor Puteh dengan roh Melayu Islamnya, dan ramai lagi.

Masing-masing berkarya dengan kepelbagaian pendekatan dan ideologi. Namun, perbezaan itu tidak penting. Yang lebih penting adalah dokumentari mula diraikan pada kedudukan yang sepatutnya.

Pada 26 Februari 2013, dalam satu majlis kecil berjiwa besar, MyDocs atau Persatuan Dokumentari Malaysia dilancarkan secara rasmi di Publika, Dutamas. Ini adalah usaha yang digerakkan oleh sekumpulan pembikin dokumentari tempatan yang mempunyai reputasi di kalangan penyiar antarabangsa, diketuai oleh Harun Rahman selaku Presiden.

Berbeza dari kelaziman majlis perlancaran yang biasa kita saksikan dalam `budaya Malaysia` seperti kata aluan yang panjang dari VIP, memotong riben, memukul gong, atau mungkin dengan gimik persembahan bunga api, majlis pelancaran MyDocs sebaliknya diisi dengan tayangan filem dokumentari 5 Broken Cameras, sebuah dokumentari catatan Emad Burnat  selaku pengarah yang menetap di Palestin dan kisahnya menghadapi kekejaman rejim Zionis. Dokumentari ini  menjadi finalis dalam Academy Awards 2012. Sessi tayangan diikuti diskusi santai mengenai filem dokumentari yang sarat dengan nilai kemanusian itu.

Mungkin masih terlalu awal untuk saya memuji atau mengkritik MyDocs, tapi setidaknya ia menjadi simbol harapan dokumentari Malaysia pada masa depan. Usaha melahirkan pembikin yang lebih bijak dari penonton; sepertimana yang seharus begitu sejak sekian lama.

Pada ketika banyak persatuan perfileman memberikan tumpuan aktiviti terhadap perihal berkempen menambah keahlian, mesyuarat ke sana sini, menyampaikan mock cheque bantuan kebajikan kepada ahli, sessi-sessi bertemu menteri, atau mungkin lebih sibuk merebut jawatan Presiden dan sebagainya, MyDocs tampil berbeza dengan memberikan fokus yang lebih jelas terhadap usaha aktiviti meningkatkan kualiti dokumentari Malaysia. Kualiti dari segenap sudut mengikut cara, pegangan dan interpretasi masing-masing. MyDocs percaya untuk meraikan kepelbagaian.

Aktiviti utama yang dirancang adalah menganjurkan seberapa kerap sessi tayangan pelbagai dokumentari tempatan dan antarabangsa, diikuti sessi diskusi bagi membicarakan tentang dokumentari tersebut dari segenap aspek termasuklah kualiti penerbitan, gaya pengarahan dan penceritaan, apresiasi estetika, malah juga aspek pemasaran & pembiayaan.

Selain itu, MyDocs turut membantu dalam menjadi pemudahcara kepada para ahli untuk meneroka ruang potensi dan hubungan baik dengan penyiar & pengedar di peringkat tempatan dan antarabangsa. Dengan bantuan pembiayaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), MyDocs juga membantu mengemukakan nama ahlinya yang berpotensi untuk menyertai delegasi Malaysia ke forum, seminar dan pasar kandungan kreatif di seluruh dunia.

Keterujaan saya untuk meraikan semangat MyDocs dalam majlis pelancaran malam itu sedikit terganggu apabila dalam satu perbualan santai selepas selesai majlis, salah seorang tetamu yang hadir dalam majlis tersebut menyatakan kepada saya bahawa usaha meningkatkan kualiti tidak sepatutnya menjadi keutamaan MyDocs. MyDocs silap katanya. Menurut beliau lagi, sebagai sebuah persatuan, MyDocs harus berperanan membantu ahli untuk mendesak kerajaan supaya menyediakan peruntukan yang lebih besar kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi membolehkan lebih banyak syarikat penerbit dokumentari mendapat projek penerbitan. Katanya, tugas melatih pembikin, itu adalah tugas universiti. Inikah yang sewajarnya pendapat yang keluar dari mulut seorang tetamu yang merupakan seorang VIP merangkap `orang lama` dalam bidang perfileman?

Perihal pembiayaan tidak kira secara pelaburan, commisioning, JV atau apa sahaja memang penting, tetapi apa manfaatnya semua itu jika kualiti dokumentari terus terhenti pada gaya 1970-an?

Bagi saya, inilah masalah sebenar kita. Mentaliti tinggalan projek drama swasta RTM tahun 1980-an masih membelenggu penerbit kita, yang majoritinya masih menganggap penerbit seperti kontraktor pembinaan; menunggu tender dibuka, berebut memenangi bidaan dan  seterusnya “jika ada konkrit pasang siap lebih bagus!”.

Momentum kebangkitan dokumentari Malaysia dikalangan penyiar antarabangsa bermula pada pertengahan 2000-an apabila Tan Sri Dr Rais Yatim yang ketika itu menjawat jawatan menteri memulakan inisiatif dokumentari untuk pasaran antarabangsa melalui penyelarasan FINAS. FINAS bernasib baik kerana `berkenalan` dengan penerbit-penerbit yang baik seperti Harun, Lina Teoh, Nandita, Lydia Lubon, Rudi Affendi Khalik dan ramai lagi yang masih punya kewarasan bahawa gelanggang pembikinan dokumentari bukan trek lumba lari; mengukur siapa lebih pantas, atau bukan juga pusat pembiakan ayam; melihat ayam mana bertelur lebih banyak.

Dalam dunia hari ini yang semakin kompleks, dan orang membikin dokumentari dengan pelbagai cara dan tujuan, MyDocs jelas memperjuangkan apa yang paling asas dalam dokumentari; cerita & penceritaan yang berkualiti, diikuti produksi yang tidak sekadar `visual yang cantik di mata`, tetapi bersesuaian mendukung kisah yang dibawa.

Dunia dari kaca lensa MyDocs lebih indah, kadangkala mendebarkan. Penuh makna dan penuh dengan duka gembiranya, ada kesakitan dan ada kepuasan. Ada gundah gulananya. Itulah yang membawa dokumentari lebih dekat dengan jiwa kita.