ABOUT ME

Sunday, December 12, 2010

GANDINGAN KARYAWAN & PENGURUS MUDA : MASA DEPAN SINEMA MALAYSIA

Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman

Pengenalan

Perjalanan panjang industri perfileman Malaysia telah melalui pelbagai senario dan zaman suka duka. Setelah mencapai zaman kegemilangan filem Melayu di Studio Jalan Ampas, beberapa fasa seperti kemunculan televisyen di Malaysia serta `zaman gelap` industri perfileman pada tahun 1990-an adalah antara detik hitam yang telah dilalui oleh industri ini sejak mula wujud lebih kurang 78 tahun yang lalu.

Dari pengalaman itu, industri seharusnya telah mula belajar dan berusaha dalam membina sebuah industri yang lebih kukuh dan relevan kepada masyarakat semasa. Ini adalah bagi memastikan survival industri filem Malaysia terus bertahan dan berkembang dalam arus globalisasi kini.

Dalam segala bidang, golongan muda dilihat sebagai barisan pelapis yang diperlukan dalam memikul tanggungjawab masa hadapan. Begitu juga dalam konteks industri perfileman di Malaysia. Dalam trend pembangunan industri perfileman tempatan yang begitu menggalakkan ketika ini, golongan penggiat muda diperlukan dalam memastikan energi dan momentum ini berjalan lancar dan tidak terhenti begitu sahaja.

Dalam memperkatakan tentang penggiat muda ini, kita sering merujuk kepada golongan karyawan, khususnya pengarah dan penulis skrip. Harus diakui bahawa mereka adalah tulang belakang dalam pembikinan sesebuah filem. Karyawan filem amat diperlukan dalam membawa idea-idea baru dan pendekatan yang lebih segar dalam memenuhi kehendak khalayak semasa.

Pembangunan intelektual masyarakat dalam pembinaan mentaliti masyarakat kelas pertama juga melahirkan golongan profesional yang secara tidak langsung mewujudkan kelompok khalayak dengan citarasa penontonan yang berbeza dari khalayak menengah rendah yang menjadi khalayak massa dalam pasaran filem tempatan. Oleh yang demikian, idea-idea baru ini amat diperlukan dalam memenuhi permintaan tersebut, termasuklah permintaan kepada penontonan alternatif.


Gerakan Baru

Gerakan karyawan muda biasanya hadir dengan membawa gaya dan cerita yang baru dari apa yang sedia ada ketika itu. Ia adalah suatu kelaziman dalam mana-mana industri perfileman seluruh dunia. Dalam konteks Malaysia, ia juga telah berlaku dari semasa ke semasa. Yang berbeza mungkin hanya dari segi pendekatan mahupun skalanya. Sebagai contoh, penglibatan pengarah seperti Datuk Rahim Razali dan Nasir Jani pada tahun 1980-an menerusi filem-filem seperti Abang, Matinya Seorang Patriot dan Kembara Seniman Jalanan dilihat membawa sesuatu yang baru dalam lanskap perfileman Malaysia ketika itu dengan mengangkat cerita dan ideologi yang lebih kritikal. Pengarah Hussein Haniff pula telah lebih dahulu tampil dengan konsep anti-hero dalam filem seperti Hang Jebat.

Dalam senario semasa, dekad 2000-an dilihat membawa gelombang penggiat muda dalam skala yang lebih besar. Pengarah seperti Amir Muhamad, Ho Yuhang, Tan Chi Mui, Deepak Kumaron Menon, Azharuddin dan ramai lagi memberikan harapan baru kepada sinema Malaysia yang lebih pelbagai, bukan sahaja dari cerita dan ideologi yang dibawa, tetapi juga skala dan konsep pembikinan yang lebih indiependen. Meskipun penerimaan oleh masyarakat massa masih tidak menyeluruh, karya-karya pengarah muda ini harus diakui berjaya mengubah wajah sinema tempatan menjadi lebih `Malaysia`, dengan membantu mewujudkan representasi kisah-kisah Malaysia dari sudut pandang kepelbagaian kaum yang hidup secara muhibah di negara ini. Saban tahun, hasil kerja mereka juga membantu menaikkan nama Malaysia dalam sirkit festival filem antarabangsa.

Selain pengarah muda yang bergerak secara indie ini, industri turut disokong dengan kemunculan tenaga produksi mahir seperti pengarah sinematografi Raja Mukhriz, pengarah muzik Hardesh Sigh, penerbit Lorna Tee, penulis skrip Shahnon Shah dan ramai lain. Semua ini memperkukuhkan pembangunan bidang penerbitan filem di Malaysia.


Pengurus Muda

Namun, dalam kita memperkatakan kejayaan karyawan muda ini, kita seharusnya tidak melihat industri perfileman dari sudut pandang yang sempit. Industri perfileman adalah sebuah industri yang tidak terhad kepada bidang penerbitan semata-mata, luas bidangnya, serta mempunyai pelbagai cabang kerjaya dan bidang tugas yang lain. Barisan karyawan dan tenaga produksi mahir ini harus disokong oleh barisan pengurus yang `memahami` serta mampu `membawa` hasil kerja ini ke tempat dan tahap yang sepatutnya.

Pengurus yang dinyatakan disini merujuk kepada tenaga mahir dalam bidang pengurusan. Tidak hanya terhad kepada bidang penerbitan bagi jawatan seperti penerbit dan pengurus produksi, kita juga memerlukan tenaga muda mahir dalam bidang pengurusan pengedaran & pemameran filem (distribution & exhibition), pelaburan perfileman (creative industry investment), pengurusan sumber manusia, pemasaran seni (art marketing) dan sebagainya.

Dengan kualiti penerbitan yang semakin baik hasil aplikasi teknologi dan kepakaran pembikin, pembangunan industri filem juga harus didukung oleh perkembangan dalam pengedaran, pemameran dan keupayaan meyakinkan potensi pelabur untuk terlibat dalam industri ini secara lebih progresif. Kemampuan dan bakat dimiliki oleh para karyawan muda hanya akan terkubur tanpa kekuatan dalam aspek-aspek ini. Di situlah letaknya peranan para pengurus muda ini, termasuklah penerbit muda.

Kemudahan dan khidmat latihan yang disediakan dikebanyakkan tempat ketika ini, termasuk di institut pengajian tinggi dilihat lebih menjurus kepada bidang kreatif dan teknikal. Meskipiun beberapa institusi yang menawarkan kursus bekaitan pengurusan industri filem, ia dirasakan masih tidak mampu dalam memenuhi keperluan industri yang semakin membesar.

Pihak bertanggjawab diharapkan memberikan perhatian kepada aktiviti latihan dan pembangunan sumber manusia seimbang dengan bidang-bidang lain, terutama apabila ketika mengangihkan peruntukan organisasi. Peruntukan terhadap aktiviti pembangunan sumber manusia juga adalah sebahagian aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menjadi tapak asas pembangunan sesebuah industri mahupun organisasi, sepertimana yang dinyatakan oleh pelan Malaysia Inovatif 2010.


Profesionalisme

Sekiranya para karyawan muda tampil mengubah lanskap industri filem dengan idea-idea yang segar dan terkini, satu nilai yang harus disuntik oleh para pengurus muda pula dalam usaha pembangunan industri perfileman tanah air pula adalah profesionalisme.

Bagi pengurus muda yang berkhidmat sebagai pentadbir dalam sektor awam khususnya dalam organisasi berkaitan dengan industri filem, harus memperlihatkan profesionalisme mereka bukan sahaja dalam kemampuan menjalankan tugas pentabiran industri serta meneruskan segala usaha yang telah disumbangkan oleh penjawat terdahulu dengan baik, tetapi juga berkemampuan dalam menambahbaik perancangan melalui pelan tindakan yang sesuai dengan situasi pasaran semasa serta pendekatan yang lebih praktikal. Dalam hal ini, pengurus muda yang memiliki idea dan tenaga, dan pengurus berpengalaman yang memahami selok belok pentadbiran awam harus bergabung tenaga dan usaha mencari pendekatan terbaik dalam mentadbir industri ini.

Melalui satu kajian yang dijalankan oleh penulis telah menyarankan bahawa polisi atau dasar sedia ada, dalam konteks ini Dasar Filem Negara (DFN) harus dijayakan bukan sekadar secara perlaksanaan program tertentu, tetapi memerlukan sebuah pelan tindakan yang jelas dan terarah bagi tempoh masa tertentu. Ia juga memerlukan satu sasaran dan objektif yang jelas, khususnya kedudukan industri filem secara tepat dalam KDNK negara. YAB Perdana Menteri sendiri telah melihat kepentingan hal ini apabila beliau memperkenalkan Indeks Pengukur Prestasi (KPI) dalam semua aktiviti dan program yang dijalankan oleh pihak kerajaan.

Dalam sekian banyak memperkatakan tentang usaha meletak peranan industri filem dalam sistem ekonomi negara, ia bukanlah bagi menafikan sifat filem itu sendiri sebagai sebuah bentuk seni yang menitik beratkan nilai artistik dan sosial. Percanggahan antara nilai artistiknya sebagai satu medium karya seni serta nilai komersilnya sebagai sebuah produk ekonomi dapat dihapuskan sekiranya pengurus mempunyai apresiasi yang baik tehadap seni. Pengurus yang terlibat dalam pemasaran produk kreatif seperti filem harus memahami konsep asas dalam pemasaran seni (art marketing concept) yang tidak hanya berteraskan demand based tetapi juga product based. Ini termasuk memahami skala dan khalayak setiap segmen pasaran termasuk segmen pasaran alternatif. Dengan kefahaman itu, pengurus akan memahami pendekatan yang sesuai dalam menangani industri filem termasuk ketika membuat keputusan pelaburan dan juga merangka strategi pemasaran.


Pelaburan

Seperti yang dinyatakan terdahulu, survival dan daya tahan industri perfileman dalam memastikan ia relevan dengan cara hidup hari ini bergantung kepada keupayaannya memainkan peranan dalam sistem urusniaga dan ekonomi. Mahu atau tidak perfileman harus berdiri sebagai sebuah industri, dengan kata lain mampu menjadi penyumbang kepada ekonomi.

Pelan Tranformasi Ekonomi (ETP) yang baru dilancarkan baru-baru ini harus menyedarkan para penglibat industri terhadap hal ini. Setiap pengurus harus menyedari bahawa industri filem harus berdiri sebagai sebuah industri dominan yang relevan dan memainkan peranan jelas dalam KDNK negara sekiranya mahu industri ini `dipandang` oleh pihak kerajaan dan juga para pelabur. Perhatian kedua pihak ini amat diperlukan, dan ini menjadi tugas amat berat kepada para pengurus industri untuk memastikan industri filem berada dalam `agenda penting` kedua pihak ini.

Dalam memperkatakan tentang pelaburan industri filem, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, secara rambang, kemasukan pelabur dalam bidang perfileman khususnya penerbitan dan pemameran (pawagam) semakin meningkat.

Dalam bidang penerbitan, kebanyakan pelabur baru terdiri dari pelabur individu dan syarikat persendirian. Ini turut dipengaruhi oleh bantuan dan skim pinjaman yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC). Kemunculan pelaburan baru dari sektor korporat pula sangat perlahan dengan bergantung kepada pelabur sedia ada seperti Media Prima Berhad (melalui anak syarikat Primeworks Studio Sdn Bhd) dan Astro All Asia Network (melalui anak syarikat Astro Shaw Sdn Bhd & Tayangan Unggul Sdn Bhd).

Dengan tidak menafikan kepentingan pelaburan individu dan syarikat persendirian, pertambahan pelabur korporat khususnya dari syarikat senarai awam (public listed company) dirasakan perlu kerana secara tidak langsung mampu membina reputasi sebuah industri yang kukuh dan diyakini. Begitu juga dengan pelaburan dari syarikat-syarikat modal teroka (venture capital).

Dalam menggalak kemunculan karyawan dan penerbit muda, kewujudan syarikat pelabur penerbitan filem berasaskan sistem studio dirasakan perlu, sekaligus mampu menggalak pertumbuhan industri. Dalam konteks Malaysia, dalam masa terdekat, kita memerlukan sekurang-kurang satu syarikat pelabur/ studio yang memfokuskan kepada pelaburan penerbitan filem. Mungkin pihak kerajaan boleh memainkan peranan dalam mengisi keperluan ini. Kewujudan syarikat pelabur yang mengkhususkan kepada pelaburan dengan urusan produksi dijalankan oleh syarikat produksi akan mewujudkan pengkhususan yang lebih sistematik sepertimana diamalkan di negara maju khususnya Holllywood. Ia juga membuka ruang kepada tenaga muda tempatan berbakat yang menghadapi masalah modal untuk melaksanakan projek mereka. Dengan cara ini, syarikat produksi milik mereka akan lebih fokus terhadap produksi dan penghasilan produk yang lebih baik dengan hal kewangan, pemasaran, pengedaran dan analisis pasaran dijalankan oleh syarikat studio yang lebih memiliki kepakaran dalam bidang pelaburan dan strategi perniagaan. Pengkhususan ini mewujudkan sebuah industri yang lebih profesional dan sistematik, sekaligus menarik keyakinan pelabur korporat asing.


Penutup

Industri perfileman secara kasarnya mungkin dilihat sebagai sebuah bidang yang mencabar dan sukar dijangka. Itulah antara cabaran besar yang menanti dan harus digalas oleh para karyawan dan pengurus muda ini. Tanggungjawab ini bukan satu tugas mudah, namun harus dihadapi berganding bahu dalam membina sebuah industri filem yang lebih cemerlang, gemilang & terbilang.

Pembangunan industri filem Malaysia yang diterajui oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi & Penerangan Malaysia (KPKK) telah memperlihatkan satu hasil usaha semasa yang sangat memberangsangkan. Sepanjang sepuluh tahun terakhir ini, industri filem khususnya bidang penerbitan memperlihatkan pertumbuhan pada tahap yang sangat kompetatif. Ini adalah usaha semua pihak yang memberikan komitmen yang padu ke arah pencapaian ini.

Oleh yang demikian, negara harus bersedia dengan menyediakan barisan karyawan dan pengurus muda yang berkredibiliti untuk mewarisi serta meneruskan kelangsungan pembangunan yang menggalakkan ini bagi kepentingan jangka masa panjang. Pelan tindakan yang mendalam dalam menyediakan karyawan dan pengurus muda ini harus dirangka dan menjadi salah satu agenda penting dalam pentadbiran industri filem. Hanya kepada golongan ini industri bergantung harapan untuk melihat industri filem Malaysia terus relevan dalam tempoh masa beberapa puluh tahun dari sekarang.

INDUSTRI FILEM MALAYSIA : PROFESIONALISME & APRESIASI

Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman


Pengenalan

Industri perfileman Malaysia sejak awal tahun 2000-an memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan. Meskipun trend pembangunan tersebut pada kadar yang tidak terlalu drastik, namun ia masih memperlihatkan kadar peningkatan yang lebih pantas berbanding trend peningkatan yang dicatatkan pada dua dekad sebelumnya.

Setelah tamat era studio oleh kapitalis asing pada awal perfileman bertapak di Studio Jalan Ampas, perkembangan perfileman Malaysia seolah terbantut apabila ia hanya mampu berdiri sebagai sebuah bidang perusahaan yang bersifat kecil-kecilan oleh syarikat persendirian pada 1970-an dan 1980-an. Namun, setelah dekad 1990-an memperlihat zaman gelap industri filem Malaysia, dekad berikutnya seolah menjadi detik kelahiran semula industri ini untuk mula memperlihatkan kemampuannya untuk berdiri sebagai sebuah industri mampan yang memainkan peranan dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam usaha memastikan industri ini terus relevan dan mampu memain peranan dalam sebuah negara membangun seperti Malaysia, industri ini harus berdiri sebagai sebuah industri yang mencapaikan peningkatan dalam pasaran dagangan ekonomi berasaskan kepenggunaan/ penontonan khalayak perdana.

Namun, sifat filem itu sendiri yang merupakan salah satu bentuk seni pastinya menimbulkan conflict of interest dalam hal ini. Apabila ia bersifat sebagai sebuah produk seni, pastinya kadangkala berlaku percanggahan dengan kehendak pasaran semasa yang lebih berorentasi budaya popular. Klasifikasi filem sebagai komoditi ekonomi secara mutlak pasti akan tidak dipersetujui oleh sesetengah karyawan filem yang melihat filem sebagai medium mereka untuk berkarya, berekspresi mahupun mengupas permasalahan sosial semasa.

Kedua-dua fahaman ini harus dilihat secara rasional. Pihak pentadbir khususnya agensi bertanggungjawab harus melihat hal ini secara seimbang kerana kedua-dua sudut pandang ini, tidak kira berhubung ekonomi mahupun estetika mempunyai kepentingan secara langsung yang memberikan sumbangan besar dalam usaha membentuk Malaysia sebagai sebuah tamadun yang dihormati. Peradaban yang dihormati tentunya negara yang mempunyai kestabilan ekonomi dan sosial secara seimbang.


Profesionalisme

Merujuk kepada senario pengukuhan filem sebagai komoditi besar dalam pasaran ekonomi dunia hari ini, bagi memastikan industri filem Malaysia mampu bersaing dalam pasaran global terbabit, pihak pentadbir harus mewujudkan sebuah industri yang kondusif bagi pelaburan tidak kira dari dalam mahupun luar negara. Pelaburan ini adalah amat penting dalam survival perfileman sebagai sebuah industri.

Selain itu, dalam konteks tempatan, imej industri filem harus dipertingkat dengan representasi sebagai sebuah industri profesional. Situasi kebanyakan ahli masyarakat terutamanya di luar bandar yang tidak mengetahui gerak kerja industri ini sebagai sebuah bidang kerjaya profesional secara tidak langsung menjadi antara penghalang usaha memupuk kepentingan pendidikan formal dalam bidang ini. Persepsi masyarakat tempatan yang berpendapat bahawa industri perfileman tidak lebih dari sekadar bidang hiburan yang hanya berputar sekitar hal-hal glamor, berpesta dan tidak setaraf bidang profesional yang lain seperti perubatan, kejuruteraan dan teknologi menyebabkan ramai tenaga muda berpotensi beralih kepada bidang kerjaya yang lain.

Tidak bertujuan untuk menafikan kebolehan dan kemampuan pekerja filem sedia ada dalam industri yang kebanyakan melibatkan diri hanya melalui pengalaman, namun harus diakui bahawa hanya melalui peningkatan bilangan pekerja filem yang mempunyai latar pendidikan formal terutama dalam bidang produksi mampu melahirkan tenaga kerja yang bukan hanya pekerja, tetapi juga pemikir. Pengalaman perkerja filem sedia ada ini mungkin boleh dipergunakan dan dipertingkat dengan pendekatan yang sesuai. Kaedah yang mungkin sesuai dilaksanakan adalah dengan menyerap para tenaga kerja tidak berkelulusan secara formal ini ke pengajian di institut pengajian berkaitan melalui bantuan kewangan atau insentif lain.

Tenaga kerja berpendidikan formal ini sangat penting untuk mewujudkan sebuah industri yang mempunyai reputasi bukan sahaja dari sudut pandang masyarakat tetapi juga menaruh kepercayaan para potensi pelabur terutamanya dari luar negara terhadap kredibiliti industri filem di Malaysia.


KPI Pengurusan Industri Filem

Seperti yang disaran oleh YAB Perdana Menteri berhubung aplikasi Indeks Pengukur Prestasi (KPI), ia harus disambut baik oleh para penggiat dan pentadbir industri ini. Namun, bersesuaian industri filem sebagai industri yang dijana produk seni, ia harus dinilai melalui kriteria pengukur yang praktikal dan relevan dengan situasi tersebut. Sesuai sifat budaya dan tamadun manusia yang turut berubah-ubah dari masa ke masa, tafsiran industri juga dilihat harus diberi tafsiran semasa dari hanya merujuk kepada pencapaian yang merujuk statistik `nombor dan angka`.

Berbeza dengan komiditi ekonomi lain yang berorentasi kepenggunaan fizikal semata-mata, industri perfileman sebagai sebuah industri yang berkaitan secara langsung dengan bidang kesenian, ideologi, keagamaan, kemanusiaan serta representasi ketamadunan dan peradaban, adalah sangat tidak wajar untuk dinilai tahap industrinya dari aspek pencapaian nilai ekonomi semata-mata. Oleh yang demikian, melalui sebuah kajian ilmiah yang dijalankan penulis menemukan kesimpulan bahawa KPI industri perfileman Malaysia juga harus dilihat dari tiga nilai utama iaitu nilai ekonomi, nilai penerbitan (produksi & artistik), serta nilai sosial.

Kajian tersebut yang dijalankan penulis berhubung gerak kerja, skala dan trend pembangunan dalam industri filem di Malaysia (tahun tahun 2005 hingga 2010) turut menemukan rumusan bahawa dasar, perundangan dan pentadbiran industri filem yang berkesan harus memenuhi tujuh kriteria utama iaitu (1) jelas, (2) terarah, (3) terperinci, (4) menyeluruh, (5) konsisten, (6) menggalak serta (7) lengkap melengkapi.


Inovasi & Eksplorasi

Sepertimana yang dilakukan oleh kebanyakan industri hari ini yang memperuntukkan sejumlah besar peruntukan kewangannya untuk tujuan penyelidikan & pembangunan (R&D) bagi memastikan industri terbabit terus relevan dalam sistem kehidupan kontemporari hari ini, usaha meneroka inovasi dan kreativiti ini juga harus diaplikasi dalam bidang perfileman. Dalam konteks industri filem, selain inovasi teknologi penerbitan & penyebaran kandungan seperti kemunculan aplikasi 3D dan media baru, inovasi juga harus diterapkan dari apek pembangunan kreativiti penceritaan & estetika kandungan.

Dalam situasi globalisasi yang mewujudkan penonton yang semakin bijak serta wujudnya pelbagai pilihan bentuk hiburan lain selain filem, perkara ini harus diambil penekanan dalam usaha memastikan minat masyarakat terhadap filem dalam kehidupan mereka terus kekal. Dalam diri karyawan, tiada penemuan mutlak. Eksplorasi dan pencarian akan terus berjalan tanpa henti. Dari usaha mencari kestabilan karya, hingga kepada menggoyangkan kestabilan karya yang telah ditemui. Ini dibuktikan sejarah. Hanya dari itu, inovasi akan terus berlaku membawa sesuatu yang segar kepada industri.

Oleh itu, eksplorasi dalam bidang ini harus diberi sokongan oleh pihak pentadbir industri. Pentadbir harus memberikan khidmat kepada para pembikin filem sebagai karyawan untuk menjalankan ekplorasi meneroka bentuk penceritaan visual, sepertimana yang pernah dilakukan dalam eksplorasi teknik penceritaan dalam filem, dari sekadar rakaman langsung oleh kamera kepada seni penceritaan berstruktur.

Harus diketahui juga bahawa walaupun kadangkala hasil eksplorasi kelihatan tidak mempunyai potensi dalam pasaran semasa, namun tidak mustahil ia merupakan pencorak dan menjadi tontonan arus perdana beberapa ketika kemudian. Hal ini memang sering terjadi apabila banyak penemuan baru dalam sejarah sukar diterima pada mulanya, namun kemudiannya bakal menjadi pilihan pengguna secara mainstream.

Dalam sebuah pengurusan profesional yang memahami keperluan kesefahaman karyawan dan pentadbiran, pentadbir harus memiliki apresiasi filem dalam membenarkan eksplorasi para karyawan untuk berkarya termasuklah dalam penghasilan karya-karya bersifat eksperimental yang mungkin tidak diterima oleh pasaran massa. Memang sifat R&D itu kadangkala tidak mendapat melihat hasil dalam jangka pendek dan mungkin memerlukan sedikit masa untuk dihargai. Barulah keganjilan akan dinilai sebagai pembaharuan yang positif.

Ini terbukti apabila di negara barat telah muncul beberapa saluran televisyen khas berkonsep art channel bagi produk-produk yang tidak mungkin diterima oleh saluran televisyen arus perdana. Ini sebenarnya adalah membantu mewujudkan segmen pasaran alternatif yang turut membantu perkembangan industri itu sendiri.


Tradisi Pengajian Filem

Seperti diketahui bahawa industri yang mampan serta kukuh hanya akan wujud bukan sahaja dari skala dan perkembangan ekonomi semata-mata. Industri dalam erti kata sebenar hanya wujud bila ia turut dilihat sebagai satu bidang ilmu dan cabang intelektual. Sepertimana yang belaku di industri maju seperti Hollywood, industri filem akan bertambah kukuh bidang ini mempunyai barisan sarjana-sarjana dalam bidang akademik yang sentiasa peka dan sensitif.

Ramai juga tidak menyedari bahawa pengajian dalam bidang perfileman di peringkat institut pengajian tinggi terbahagi kepada dua pembahagian yang dibahagikan atas satu garis pemisah yang sangat nipis, dan berpotensi untuk saling berkaitan. Pengajian produksi (film production) lebih kepada aspek teknikaliti, pengurusan dan kreativiti dalam pembikinan filem yang mana pelajarnya cenderung untuk menjadi pembikin dan penggiat filem. Manakala pengajian filem (film studies) lebih kepada pengajian yang terarah kepada pengkajian filem sebagai bidang sains sosial seperti dari aspek falsafah, budaya, religi, sosial dan sebagainya yang mana pelajarnya lebih cenderung dalam bidang keilmuan sebagai ahli akademik dan pengkaji.

Tidak harus dicari titik temu kedua hala tuju ini kerana jelas keduanya mempunyai perbezaan bidang tugas yang nyata, namun kedua-duanya tetap mempunyai peranan sangat penting dalam mengukuhkan industri filem dalam masyarakat selaku pengguna/ penonton.

Selain itu, buku-buku berkaitan filem harus diperbanyak dan dipelbagaikan kerana ia merupakan antara keperluan utama mewujudkan budaya ilmu dalam industri ini. Hanya dengan penerapan budaya ini akan menjadikan industri filem sebagai industri tahap tinggi.

Dalam hal ini, pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dilihat turut komited dalam menjalankan kerja-kerja penerbitan bercetak khususnya buku berkaitan filem. Pihak FINAS kini giat menjalankan pelbagai penerbitan yang menjurus kepada buku-buku berkaitan tokoh perfileman dan pengkajian filem dari aspek industri. Namun, sebagai sebuah agensi kerajaan bertanggungjawab, pihak FINAS harus mempelbagaikan penerbitannya agar turut merangkumi buku-buku berkaitan pengajian filem (film studies) yang sukar diterbitkan syarikat penerbitan berteras keuntungan.


Pemasaran Seni

Dalam pemasaran produk seni, terdapat dua pendekatan yang boleh dan sering digunakan oleh para penggiat.

Pertama, adalah dengan pendekatan berasaskan produk (product based). Melalui pendekatan ini, karyawan kebiasaannya akan menghasilkan produk seni mengikut kehendak seni & artistik serta kehendak sosial mereka. Setelah produk disiapkan, barulah tenaga pemasaran akan merancang rangka kerja pemasaran termasuklah sasaran khalayak, kaedah promosi & publisiti, dan sebagainya. Ini sebenarnya adalah pendekatan pemasaran seni yang paling mesra karyawan, dan diamalkan terutamanya dikalangan penulis dan pelukis. Tidak dinafikan banyak karya agung dalam sejarah dilahirkan dari pendekatan ini yang lebih disukai kepada karyawan tulen.

Pendekatan kedua adalah berasaskan permintaan (demand based). Dengan pendekatan ini, karyawan akan melihat kepada trend permintaan dalam pasaran mahupun pelabur sebelum melakukan implementasi mengikut kemahiran dan kreativiti mereka. Pendekatan ini pastinya membawa risiko ke tahap paling rendah, terutama bagi produk yang melibatkan pelaburan yang besar.

Kedua pendekatan ini mempunyai pro dan kontra yang tersendiri, bergantung kepada sudut pandang setiap individu. Dalam bidang filem yang melibatkan hasil kerja secara kolaborasi serta memerlukan suntikan kewangan yang besar dalam produksinya, adalah sukar bagi pengarah filem mendapat peluang untuk mengaplikasi pendekatan yang pertama.

Penulis secara peribadi tidak mempunyai masalah dengan kedua-dua pendekatan ini. Pembikin filem mempunyai kuasa untuk memilih pendekatan yang ingin diaplikasi dalam penerbitan mereka. Apa yang penting adalah mereka menyedari rasional setiap pemilihan mereka dan pastinya tidak dapat mengelak dari merujuk objektif sesebuah penerbitan tersebut dilaksanakan.


Penutup

Industri filem Malaysia adalah sebuah industri berpotensi. Sesuai sebagai sebuah industri kreatif yang tidak `mati` dan tidak statik, industri filem harus sentiasa menerima pembaharuan dan bersedia diberi penafsiran semasa dalam segala hal.

Ucapan tahniah harus diberikan kepada pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan dan agensinya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional yang telah melakukan pelbagai usaha dalam membangunkan industri perfilemanan Malaysia sehingga ke tahap kini. Namun, apa yang harus dipertingkatkan adalah kefahaman bahawa filem sebagai komiditi ekonomi harus diseimbangkan dengan peningkatan apresiasi filem sebagai medium seni. Ini penting kepada para pentadbir industri ini bagi mewujudkan bukan sahaja industri yang membangunkan, malah turut mengangkat kualiti hidup manusia/ masyarakat ke tahap yang lebih baik.
(Artikel untuk majalah Sinema Malaysia, Edisi April-Jun 2010)

INDUSTRI DOKUMENTARI & BUDAYA FILEM DI MALAYSIA

Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman


Pengenalan

Dokumentari adalah berasal dari kata dasar `document` yang memberi makna `to document reality`. Dokumentari merujuk kepada rakaman bersifat non-fiksi yang berperanan dalam memaparkan realiti kehidupan melalui rakaman kamera bagi membolehkan ia ditonton, difahami dan `dinikmati` merentas masa dan ruang. Dokumentari dianggap sebagai asas dalam penceritaan visual. Oleh kerana itu, kebanyakan pengarah filem cereka hebat dunia seperti Majid Majidi (Iran) dan Garin Nugroho (Indonesia) bermula atau pernah terlibat dalam pengarahan filem dokumentari.

Sejarah dokumentari dunia bermula apabila terma dokumentari digunapakai dalam ulasan filem berjudul Moana arahan Robert Flaherty pada tahun 1926 meskipun ketepatan terma tersebut pernah dipertikaikan beberapa tahun kemudian. Di Malaysia, sejarah dokumentari bermula pada awal abad ke-20 apabila rakaman video bergerak (motion picture) digunakan sebagai medium propoganda pihak penjajah ketika itu. Penubuhan Malaysian Film Unit (MFU) pada tahun 1946 oleh pihak kerajaan ketika itu menjadi titik penting dalam sejarah dokumentari di Malaysia.

Pada awal kemunculan dokumentari, penerbitan yang dihasilkan adalah bersifat langsung yang mana menekankan terhadap aspek rakaman realiti. Kamera hanya bertindak sebagai perakam dan merakam situasi sebenar yang kemudiannya ditambahbaik dengan kewujudan audio sebagai narotor di dalam penceritaan. Usaha ini adalah bagi mempertingkatkan kefahaman penonton disamping memberikan nilai tarikan terhadap visual yang dipaparkan.

Dari masa ke masa, revolusi dalam ketamadunan manusia turut merubah corak penontonan filem termasuklah filem dokumentari di seluruh. Penonton global yang menjadi semakin bijak menyebabkan para pembikin filem dokumentari sentiasa mencari pendekatan baru dalam `bercerita` melalui visual. Kemunculan syarikat dan saluran televisyen khusus bagi dokumentari seperti National Geographic turut memberikan dimensi baru dalam pembikinan dokumentari apabila mencipta formula tersendiri dalam penceritaan dokumentari dengan menggunakan pendekatan real life entertainment. Melalui pendekatan ini, National Geographic menggunakan elemen story driven dengan aplikasi watak (charecter) dalam menggerakkan cerita realiti (factual narrative). Ini semua membantu dalam mempelbagaikan dokumentari dalam pasaran sekaligus memastikan minat penonton terhadap filem dokumentari tetap kekal.

Kini, searus dengan perkembangan medium penerbitan dari filem 35mm, video digital hingga high definition (HD), dokumentari mampu berdiri megah sebagai salah satu format penerbitan yang mampu berdiri sendiri sebagai sebuah industri sebagaimana dilakukan oleh filem cereka.


Industri Dokumentari

Melihat dari sudut ekonomi, industri dokumentari di Malaysia berada di tahap yang cukup menggalakkan. Bantuan dan galakan dari pihak seperti Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS), Malaysia Development Corporation (MDEC), Filem Negara Malaysia (FNM) dan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) memberikan ruang kepada pembikin tempatan mula membuka pasaran ke luar negara melalui jualan hak tayangan serta kerjasama produksi.

Sebagai sebuah industri yang kukuh haruslah didukung oleh oleh dasar, tatacara, perundangan dan polisi yang bersepadu, menyeluruh dan saling lengkap melengkapi. Gabungan tiga kementerian melalui Kementerian Penerangan, Komunkasi & Kebudayaan (KPKK) dalam rombakan kabinet pada tahun 2009 yang membolehkan beberapa agensi terbabit bagi bernaung dibawah satu bumbung seharusnya menjadikan usaha ini lebih mudah dan berkesan. Apa yang diperlukan adalah usahasama dan perbincangan yang berterusan dalam mengenalpasti dan merangka bidang tugas dan bidang kuasa masing-masing agar tidak bertindih antara satu sama lain yang hanya akan tambah menyulitkan keadaan.

Keberhasilan Media Development Authority (MDA) di Singapura dalam menjadi perantara dan orang tengah kepada agensi-agensi berkaitan penerbitan dan penyiaran seharusnya menjadi contoh terbaik dalam memastikan dasar dan polisi setiap agensi terbabit adalah menjurus ke arah objektif yang sama dan terarah.

Apabila pihak UNESCO mengkelaskan bahawa industri kreatif sebagai industri kedua terbesar dunia hari ini, ia seharusnya memberi isyarat positif terhadap para penglibat industri ini. Ia adalah antara petanda kepada gelombang baru ekonomi global yang beralih dari berasaskan pengetahuan mutlak kepada nilai tambah yang sangat penting iaitu kreativiti dan inovasi.

Pada penghujung tahun 1990-an dan awal 2000 memperlihatkan polemik berlaku di kalangan penggiat industri filem dan ahli akademik di Malaysia berkenaan pertikaian status dan terma industri yang digunapakai dalam industri filem Malaysia. Ini antaranya mempertikaikan nilai urusniaga yang masih begitu rendah dalam industri ini berbanding industri lain seperti elektronik dan sebagainya. Kini, setelah polemik itu berakhir hasil dari keberhasilan industri filem dan penyiaran termasuklah dokumentari Malaysia mencatat nilai urusniaga sebagai ekonomi ekonomi yang tinggi, ia bukan bermakna penamat kepada isu berkaitan terma terbabit.

Meskipun terma ini diterima dan digunapakai secara rasmi dan meluas, pertikaian berkaitan nilai urusniaga kini harus dialihkan kepada usaha merangka dan menjalankan pelan tindakan dalam mewujudkan sebuah industri yang kondusif kepada para penggiat dan pelabur bagi memastikan pertumbuhan ini terus memperkasa industri filem sebagai industri yang mampan. Dalam mentadbir sesebuah industri, dua perkara utama yang harus diberi penekanan adalah pertumbuhan yang konsisten dan keanjalan pasaran dalam menyerap sebarang perubahan dari aspek situasi ekonomi, politik, trend semasa mahupun budaya popular semasa.

Meskipun berbeza, perkembangan filem dokumentari harus begerak seiring dengan filem cereka memandangkan pasaran bagi kedua bentuk filem ini adalah berasaskan kepada perkara yang sama iaitu budaya penontonan dalam masyarakat.


Budaya Filem

Dalam melahirkan sebuah industri yang mampan, selain dasar, tatacara, perundangan dan insentif, satu perkara lagi yang harus diberikan perhatian serius dan mendalam adalah kesedaran bahawa elemen utama yang menjadi faktor pengukur sesebuah industri adalah pasaran. Pasaran ini adalah terhasil dari permintaan penontonan dan kepenggunaan dikalangan masyarakat selaku pengguna.

Oleh itu, dalam memperluas dan memperkukuh pasaran bagi menyokong kehendak mewujudkan sebuah industri dokumentari di Malaysia yang kukuh, ia harus disokong oleh sebuah masyarakat yang ahlinya mempunyai tahap kefahaman, apresiasi dan budaya menghargai yang tinggi terhadap filem-filem dokumentari ini. Komuniti dalam masyarakat yang mempunyai budaya filem yang mendalam bakal melahirkan permintaan yang lebih besar terhadap produk-produk dokumentari yang sekaligus membolehkan industri dokumentari dapat bertumbuh pada kadar yang lebih kompetitif dan mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap perubahan trend semasa.

Masyarakat harus diberi pendedahan secara akar umbi bagi membolehkan minat terhadap filem tidak kira filem dokumentari mahupun cereka adalah mendalam dan bukan sekadar atas dasar budaya popular semasa semata-mata. Hanya penonton yang setia dan mempunyai kecintaan mendalam mampu memastikan daya tahan industri ini melalui perubahan budaya popular semasa yang boleh mengakibatkan masyarakat beralih arah kepada bentuk hiburan yang lain. Situasi inilah yang pernah membawa kepada zaman gelap industri filem sepertimana yang berlaku kepada industri filem cereka Malaysia pada tahun 1990-an.


Usaha Pembudayaan Filem

Adalah amat sukar untuk membandingkan Malaysia dengan negara Eropah seperti Perancis, Itali mahupun England yang diakui dunia mempunyai tradisi budaya filem dan celik filem yang amat tinggi dalam masyarakat. Sejarah panjang negara terbabit sejak ratusan tahun yang lalu adalah amat sukar jika mahu dibandingkan dari dengan negara kita yang baru mencapai kemerdekaan sekitar 52 tahun yang lalu. Namun begitu, ia seharusnya menjadi pemangkin semangat kepada kita tentang bagaimana mereka mempunyai kefahaman yang tinggi terhadap seni dan budaya yang menjadi teras penting dalam mereka membina keunggulan peradaban dan ketamadun bangsa mereka.

Gelombang generasi muda di Malaysia turut menjanjikan perkembangan positif. Kita dapat melihat bagaimana kemunculan berbagai kumpulan dan komuniti yang kini digerakkan di atas kesedaran terutamanya dalam mendekatkan seni dan filem dengan masyarakat. Acara berkonsep `dari masyarakat untuk masyarakat` seperti Layar Tanchap, Rantai, Urbanscapes dan beberapa lagi digerakkan oleh mereka yang mempunyai kefahaman tentang perkara terbabit dalam menyuburkan seni termasuklah filem dalam komuniti setempat. Terbaru, kemunculan Pertubuhan Sinema Komuniti Malaysia (PSKM) yang kini dalam proses penubuhan digerakkan untuk menjadi pelengkap kepada usaha sedia ada dalam lebih menyuburkan filem di peringkat akar umbi. Acara seperti diskusi dengan mahasiswa filem, bengkel asas filem kepada golongan remaja bermasalah, tayangan filem kepada banduan penjara, program keluarga angkat karyawan muda dengan penduduk kampung dan Anugerah Sinema Rakyat untuk orang awam adalah antara yang dirancang PSKM. Ia adalah bagi membolehkan ia mencapai objektif membuktikan filem mampu memberikan manfaat kepada kehidupan masyarakat sekaligus memberikan keyakinan kepada ahli masyarakat tentang bagaimana filem mampu membawa mereka ke taraf kehidupan yang lebih baik.

Dalam pada itu, peranan yang dimainkan oleh pihak berwajib terutamanya pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebagai sebuah agensi kerajaan yang mempunyai hubungan langsung dengan hal ini dilihat turut memberi kesan yang positif.

Dari berbagai aktiviti pembudayaan filem yang dijalankan oleh pihak FINAS, acara yang dilihat sangat memberikan kesan yang besar dalam pembudayaan filem adalah melalui Program Merakyatkan Filem yang diadakan di pawagam Coliseum, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada setiap bulan. Acara ini berjaya menarik para penonton dari pelbagai latar belakang di peringkat akar umbi apabila memperlihatkan kehadiran dari golongan keluarga kurang berupaya, kanak-kanak terbiar dan remaja bermasalah yang berada di sekitar Jalan Tuanku Rahman dan kawasan sekitarnya. Acara ini meskipun diadakan dengan secara amat sederhana, dengan pemilihan filem yang sewajarnya, diyakini mampu memberikan kesan yang besar dalam usaha menjadi filem sebagai sebahagian dari nilai penting dalam kehidupan masyarakat.

Acara ini juga memperlihatkan komitmen pihak FINAS dalam menganjurkan acara yang efektif dan praktikal dalam usaha terbabit di tengah-tengah lambakan acara yang bersifat pesta yang dianjurkan di merata tempat. Pihak FINAS menyedari bahawa budaya pesta yang semakin menular dalam masyarakat Malaysia hari ini hanya akan memberikan kerugian dan membantutkan usaha dalam melahirkan masyarakat mentaliti kelas pertama yang disarankan oleh kepemimpinan YAB Perdana Menteri.

Dengan budaya filem yang mendalam, nescaya industri filem dokumentari Malaysia akan lebih subur dan akan keluar dari kepompong tayangan di televisyen dan DVD sahaja. Kejayaan filem dokumentari luar negara ditayangkan dipawagam dan mencatat kutipan ratusan juta ringgit seperti March Of The Penguin, Fahrenheit 9/11 dan This Is It harus dijadikan pencetus semangat. Bersama kita tidak kira penggiat, ahli masyarakat dan pentadbir dalam menjayakan slogan `Filem Malaysia Ke Persada Dunia` dalam erti kata yang sebenar.


(Artikel untuk majalah Sinema Malaysia, Edisi Jan-Mac 2010)