ABOUT ME

Friday, October 14, 2016

INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF MALAYSIA : FASA TERAKHIR MENUJU NEGARA MAJU

INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF MALAYSIA : FASA TERAKHIR MENUJU NEGARA MAJU

Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman

Pengenalan

Tahun 2020, Malaysia bakal menjadi negara maju. Oleh yang demikian, tahun 2016 hingga 2020 adalah penggal terakhir yang menjadi fasa penting dan penentu kepada negara untuk menuju hasrat tersebut.  Dalam fasa yang sangat getir itu, hanya industri yang memainkan peranan penting akan dilihat signifikan menjadi antara tunggak  dan sektor utama negara, dan seterusnya diberikan perhatian oleh masyarakat dan kepemimpinan tertinggi negara.  Perhatian masyarakat dan kepemimpinan negara ini penting  kerana hanya dengan sokongan mereka, sesebuah bidang itu akan terus bertahan dan berkembang dalam konteks sebagai sebuah industri.

Oleh itu, penggiat industri kandungan kreatif termasuk filem harus sedar bahawa kita berada dalam fasa paling penting dalam menentukan di mana tempat letak industri kandungan kreatif dalam negara maju yang akan kita bina. Tidak mahu hanya sekadar menjadi `penumpang` kepada sebuah gerabak yang memecut laju, tetapi harus menjadi penyumbang agar keretapi mampu bergerak lebih pantas ke destinasi.
Jika merujuk kepada laman web Koridor Raya Multimedia (MSC), kita juga dapat melihat bagaimana industri ini telah diperakui sebagai industri penting di peringkat global. Ini diperlihat melalui kajian The Creative Industry Outlook (2011-2014) yang dijalankan oleh Price Water Cooper House telah menunjukkan nilai industri Multimedia Kreatif adalah sebanyak RM4.2 trilion. Ia merupakan hasil ini dijana oleh 4 industri utama iaitu Filem (RM288 bilion), Kandungan Animasi (RM270 bilion), Permainan Video (RM192 bilion) dan juga Aplikasi Mudah Alih (RM88.5 bilion).
                           
Sebagai sebuah industri penting di peringkat global, dan menjadi `suara` signifikan kepada peradaban manusia hari ini, penggiat dan pentadbir industri kandungan kreatif di Malaysia tidak ada alasan untuk gagal.


Bidang Keberhasilan Utama Negara

Secara umum, bidang industri kandungan kreatif termasuk perfileman sememangnya telah mendapatkan perhatian oleh pihak kepemimpinan tertinggi negara sebagai salah satu penyumbang penting kepada ekonomi negara. Ini dapat dilihat daripada perlaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) iaitu sebuah rangka asas pembangunan negara yang mana ia telah meletakkan industri ini sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA) dibawah Kandungan & Infrastruktur Komunikasi (CCI). Projek berkaitan industri kandungan kreatif juga diletakkan sebagai antara Projek Permulaan (EPP) yang membawa impak tinggi kepada pembangunan ekonomi.


FDI vs DDI

Jika ditoleh ke belakang, sekitar dua dekad lalu, industri kandungan kreatif negara dimonopoli oleh perfileman, dengan bidang lain seperti animasi, aplikasi, permainan video dan lain-lain belum banyak diceburi di Malaysia ketika itu. Industri perfileman ketika itu pula bergantung penuh kepada Pelaburan Langsung Domestik (DDI), yang mana ketika itu hampir keseluruhan pelaburan perfileman (penerbitan, pemameran, pengedaran dan sektor hiliran) adalah dari pelabur tempatan.

Namun kini, industri kandungan Malaysia mula memberikan keyakinan untuk menarik pelaburan dari luar negara, tidak kira melalui sayap pelaburan di Malaysia atau pelaburan langsung asing (FDI). Dengan tidak menafikan kepentingan DDI sebagai sumber utama industri, FDI perlu dilihat sebagai memainkan peranan yang sangat penting dalam membawa kadar pertumbuhan yang lebih tinggi kepada industri ini. Kemasukan pelaburan luar ini, walau sering dipertikai golongan budayawan sebagai satu kebimbangan usaha membuang imej dan jati diri tempatan dalam sesebuah produk kreatif, namun harus diakui dalam konteks industri sebagai salah satu batu loncatan penting dalam membina industri yang lebih kukuh. Ini penting bagi industri filem dan kandungan kreatif; memandangkan ia adalah sebuah produk bersifat kolaborasi, dengan kos pelaburan penghasilan yang tinggi.

Selain itu, perkembangan bidang produksi bersama (co-production) dengan negara luar memberikan gambaran jelas bahawa produk kandungan kreatif kita telah mula diterima di peringkat global.


Sistem Bersepadu

Menyentuh tentang perihal sistem dan pengurusan dalam usaha menuju industri berimpak tinggi, penulis amat tertarik untuk mengulang kenyataan yang sering diperkatakan tentang penubuhan Content Malaysia Pitching Centre, yang dilihat sebagai salah satu menifestasi kesedaran pihak pentadbiran tentang kepentingan sistem yang bersepadu; dalam konteks ini berkaitan perihal penyaluran bantuan, rundingan dan pemudahcara industri kandungan kreatif.

Hal ini sebenarnya telah terlebih dahulu dilakukan oleh Singapura beberapa tahun lalu melalui agensi nasionalnya, Media Development Authority (MDA) apabila melakukan penstrukturan semula segala dana dan geran berkaitan industri media. Ia telah menggabungkan pelbagai kemudahan bantuan berbentuk kewangan dari pelbagai agensi termasuk Singapore Film Commision (SFC) dan MDA sendiri kepada sistem berpusat; yang diterajui MDA. Ini membantu mengurangkan risiko berlakunya ketirisan, serta pertindihan bidang tugas dan bidang kuasa yang dilihat memberi impak kurang saksama kepada keseluruhan industri.

Namun, yang lebih menariknya adalah apabila Malaysia Content Pitching Centre tidak hanya menyediakan bantuan berbentuk kewangan semata-mata, tetapi juga menjadi fasilitator dan pemudahcara dalam hal berkaitan latihan, pembangunan bakat, perantara dalam urusan Business to Business (B2B), penyeliaan terhadap kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D), membantu dalam mencari dan meneroka pasaran bagi produk tempatan, dan sebagainya.

Ini merupakan nilai tambah yang sangat diperlukan oleh industri kandungan kreatif Malaysia sebagai sebuah industri yang selama ini saban tahun menerima peruntukan dari kerajaan dalam pembangunan produk kreatif, namun masih gagal bersaing dengan beberapa negara jiran; yang mana pembikin mereka lebih tidak bernasib baik dari aspek sokongan kerajaan. Ini memperlihat bahawa peranan membangun industri bukan sekadar soal penyaluran dana yang telus, tetapi bagaimana perlaksanan projek yang dibantu itu disokong dalam aspek-aspek lain seperti pembangunan, pemasaran dan sebagainya.


Peranan Modal Teroka

Sebagai suntikan dan pemangkin kepada usaha meningkatkan  kadar pertumbuhan industri yang lebih tinggi, pihak pentadbir dilihat sedar tentang kepentingan modal teroka (venture capital) dalam pembangunan industri kandungan kreatif ini. Kerana itu diwujudkan MyCreative Ventures Sdn Bhd, iaitu sayap pelaburan milik penuh kerajaan yang memberikan fokus kepada pelaburan modal teroka dalam industri kandungan kreatif, dan industri kreatif secara keseluruhan.

Jika sebelum ini, penggiat kandungan kreatif terpaksa bergantung harap kepada syarikat-syarikat modal teroka umum milik kerajaan dan swasta yang lain. Potensi untuk berjaya mendapat pelaburan juga agak tipis memandangkan organisasi sektor kewangan ketika itu, termasuklah bank-bank perdagangan masih belum jelas tentang budaya perniagaan industri kreatif seperti hal-hal berkaitan nilai harta intelek (IP), dan sebagainya.

Namun, dengan peningkatan kefahaman dan kepercayaan terhadap industri ini, syarikat modal teroka yang lain juga, seperti Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP), Malaysia Technology Development Berhad (MTDC) serta banyak lagi syarikat modal teroka milik swasta dilihat mula memberikan perhatian kepada industri kandungan kreatif.

Terbaharu, Memorandum Persefahaman (MoU) yang dijalinkan oleh pihak MyCreative Venture dan FINAS yang membolehkan MyCreative Venture menyalurkan pinjaman secara modal padanan (Matching Grant) bagi penerima geran Pitching Centre, sekaligus membantu kelancaran proses kerja penerbitan para penerima geran ini.


Pembangunan Bakat

Apabila kita berbicara soal pembangunan industri, ia bukan sekadar soal meningkatkan nilai urusniaga semata-mata. Harus diingat, dalam mana-mana bidang  sekalipun, ia tetap berkaitan soal manusia yang menjadi tulang belakang, perancang dan penggeraknya. Sesuatu yang penting untuk diberikan perhatian ialah soal pembanguan bakat, yang menjadi asas dan pra-syarat penting dalam membina sebuah industri yang kukuh. Ini termasuklah bakat teknikal dan bakat kreatif yang menjadi subjek dalam sesebuah produk; serta tidak boleh dilupa bakat mentadbir, bakat pemasaran, bakat kewangan berkaitan, bakat inovasi dan sebagainya.


Komoditi Ekonomi Yang Kompleks

Selain itu, apabila berbicara tentang industri filem secara khusus, apa yang harus kita sedar bahawa ia mempunyai ciri yang kompleks untuk diberikan justifikasi secara mutlak. Ini kerana filem boleh dibincangkan dari pelbagai sudut, dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosio-budaya, pengajian sosial, malah filem sebagai filem; dan sebagainya. Dan setiap bidang ini mempunyai kepentingannya dalam pembinaan dan pembangunan negara. Namun, bagi penulis, apa yang penting, sebagai produk seni bernilai ekonomi, filem harus punya citarasa.

Filem adalah seni kraf bercerita. Jadi, apa sahaja cerita yang anda ingin angkat, bawalah ia dengan kemahiran dan skil penceritaan anda yang sebaik mungkin, mengikut khalayak sasar yang telah anda pilih. Malah sebaiknya penceritaan itu harus memperkaya budaya fikir manusia (walau frasa ini juga boleh dibahaskan dalam pelbagai konotasi yang berbeza dengan panjang lebar).

Diakhirnya, penonton sebagai pemegang kuasa membeli berhak untuk merayakan filem mengikut definisi, tafsiran dan citarasa masing-masing.


Penutup

Dari semua yang diperkatakan di atas, kita dapat melihat bahawa industri kandungan kreatif di Malaysia berada dalam landasan dengan hala tuju yang semakin jelas berbanding beberapa tahun kebelakangan. Namun, tanggungjawab memastikan kelancarannya terpikul di bahu setiap pentadbir dan penggiat industri kandungan kreatif.

Gagasan dan rangka asasnya telah ada. Apa yang perlu kini adalah segala rangka kerja ini disusun terperinci dan diusahakan secara bersepadu. Dasar Perfileman Negara dan Dasar Industri Kreatif harus diteliti dan dinilai semula kerana wujud beberapa hala tuju yang bercanggah; dan lebih penting adalah bagi melihat bagaimana ia mampu mendukung ETP sebagai kerangka utama hala tuju negara seperti yang ditetapkan kerajaan ketika ini.

Dalam tempoh lima tahun terakhir menjelang negara maju ini, mahu atau tidak, industri kandungan kreatif harus terus komited dalam mempertingkat kedudukan dalam KDNK negara jika mahu industri ini terus kekal signifikan kepada ekonomi dan masa depan negara. Trend global hari ini sememangnya menuju ke arah perkembangan itu. Secara tidak langsung, industri kandungan kreatif di Malaysia akan turut ikut serta. Namun, tidak bermakna jika sekadar ikut serta, tanpa komitmen untuk melakukan yang terbaik untuk industri ini.

Bagi pembikin filem, selamat meraikan kepelbagaian dengan penuh iltizam untuk terus menghasilkan filem yang baik; baik untuk ekonomi dan baik untuk manusia yang menontonnya.

Kembali kepada fitrah manusia, penulis ingin memetik kata-kata tokoh besar Nusantara, Prof Dr Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka. Katanya, “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja.”


Jadi, kita perlukan lebih dari itu.


(Artikel untuk buku cenderamata Festival Filem Malaysia 2016)