Pengenalan
Perjalanan panjang industri perfileman Malaysia telah melalui pelbagai senario dan zaman suka duka. Setelah mencapai zaman kegemilangan filem Melayu di Studio Jalan Ampas, beberapa fasa seperti kemunculan televisyen di Malaysia serta `zaman gelap` industri perfileman pada tahun 1990-an adalah antara detik hitam yang telah dilalui oleh industri ini sejak mula wujud lebih kurang 78 tahun yang lalu.
Dari pengalaman itu, industri seharusnya telah mula belajar dan berusaha dalam membina sebuah industri yang lebih kukuh dan relevan kepada masyarakat semasa. Ini adalah bagi memastikan survival industri filem Malaysia terus bertahan dan berkembang dalam arus globalisasi kini.
Dalam segala bidang, golongan muda dilihat sebagai barisan pelapis yang diperlukan dalam memikul tanggungjawab masa hadapan. Begitu juga dalam konteks industri perfileman di Malaysia. Dalam trend pembangunan industri perfileman tempatan yang begitu menggalakkan ketika ini, golongan penggiat muda diperlukan dalam memastikan energi dan momentum ini berjalan lancar dan tidak terhenti begitu sahaja.
Dalam memperkatakan tentang penggiat muda ini, kita sering merujuk kepada golongan karyawan, khususnya pengarah dan penulis skrip. Harus diakui bahawa mereka adalah tulang belakang dalam pembikinan sesebuah filem. Karyawan filem amat diperlukan dalam membawa idea-idea baru dan pendekatan yang lebih segar dalam memenuhi kehendak khalayak semasa.
Pembangunan intelektual masyarakat dalam pembinaan mentaliti masyarakat kelas pertama juga melahirkan golongan profesional yang secara tidak langsung mewujudkan kelompok khalayak dengan citarasa penontonan yang berbeza dari khalayak menengah rendah yang menjadi khalayak massa dalam pasaran filem tempatan. Oleh yang demikian, idea-idea baru ini amat diperlukan dalam memenuhi permintaan tersebut, termasuklah permintaan kepada penontonan alternatif.
Gerakan Baru
Gerakan karyawan muda biasanya hadir dengan membawa gaya dan cerita yang baru dari apa yang sedia ada ketika itu. Ia adalah suatu kelaziman dalam mana-mana industri perfileman seluruh dunia. Dalam konteks Malaysia, ia juga telah berlaku dari semasa ke semasa. Yang berbeza mungkin hanya dari segi pendekatan mahupun skalanya. Sebagai contoh, penglibatan pengarah seperti Datuk Rahim Razali dan Nasir Jani pada tahun 1980-an menerusi filem-filem seperti Abang, Matinya Seorang Patriot dan Kembara Seniman Jalanan dilihat membawa sesuatu yang baru dalam lanskap perfileman Malaysia ketika itu dengan mengangkat cerita dan ideologi yang lebih kritikal. Pengarah Hussein Haniff pula telah lebih dahulu tampil dengan konsep anti-hero dalam filem seperti Hang Jebat.
Dalam senario semasa, dekad 2000-an dilihat membawa gelombang penggiat muda dalam skala yang lebih besar. Pengarah seperti Amir Muhamad, Ho Yuhang, Tan Chi Mui, Deepak Kumaron Menon, Azharuddin dan ramai lagi memberikan harapan baru kepada sinema Malaysia yang lebih pelbagai, bukan sahaja dari cerita dan ideologi yang dibawa, tetapi juga skala dan konsep pembikinan yang lebih indiependen. Meskipun penerimaan oleh masyarakat massa masih tidak menyeluruh, karya-karya pengarah muda ini harus diakui berjaya mengubah wajah sinema tempatan menjadi lebih `Malaysia`, dengan membantu mewujudkan representasi kisah-kisah Malaysia dari sudut pandang kepelbagaian kaum yang hidup secara muhibah di negara ini. Saban tahun, hasil kerja mereka juga membantu menaikkan nama Malaysia dalam sirkit festival filem antarabangsa.
Selain pengarah muda yang bergerak secara indie ini, industri turut disokong dengan kemunculan tenaga produksi mahir seperti pengarah sinematografi Raja Mukhriz, pengarah muzik Hardesh Sigh, penerbit Lorna Tee, penulis skrip Shahnon Shah dan ramai lain. Semua ini memperkukuhkan pembangunan bidang penerbitan filem di Malaysia.
Pengurus Muda
Namun, dalam kita memperkatakan kejayaan karyawan muda ini, kita seharusnya tidak melihat industri perfileman dari sudut pandang yang sempit. Industri perfileman adalah sebuah industri yang tidak terhad kepada bidang penerbitan semata-mata, luas bidangnya, serta mempunyai pelbagai cabang kerjaya dan bidang tugas yang lain. Barisan karyawan dan tenaga produksi mahir ini harus disokong oleh barisan pengurus yang `memahami` serta mampu `membawa` hasil kerja ini ke tempat dan tahap yang sepatutnya.
Pengurus yang dinyatakan disini merujuk kepada tenaga mahir dalam bidang pengurusan. Tidak hanya terhad kepada bidang penerbitan bagi jawatan seperti penerbit dan pengurus produksi, kita juga memerlukan tenaga muda mahir dalam bidang pengurusan pengedaran & pemameran filem (distribution & exhibition), pelaburan perfileman (creative industry investment), pengurusan sumber manusia, pemasaran seni (art marketing) dan sebagainya.
Dengan kualiti penerbitan yang semakin baik hasil aplikasi teknologi dan kepakaran pembikin, pembangunan industri filem juga harus didukung oleh perkembangan dalam pengedaran, pemameran dan keupayaan meyakinkan potensi pelabur untuk terlibat dalam industri ini secara lebih progresif. Kemampuan dan bakat dimiliki oleh para karyawan muda hanya akan terkubur tanpa kekuatan dalam aspek-aspek ini. Di situlah letaknya peranan para pengurus muda ini, termasuklah penerbit muda.
Kemudahan dan khidmat latihan yang disediakan dikebanyakkan tempat ketika ini, termasuk di institut pengajian tinggi dilihat lebih menjurus kepada bidang kreatif dan teknikal. Meskipiun beberapa institusi yang menawarkan kursus bekaitan pengurusan industri filem, ia dirasakan masih tidak mampu dalam memenuhi keperluan industri yang semakin membesar.
Pihak bertanggjawab diharapkan memberikan perhatian kepada aktiviti latihan dan pembangunan sumber manusia seimbang dengan bidang-bidang lain, terutama apabila ketika mengangihkan peruntukan organisasi. Peruntukan terhadap aktiviti pembangunan sumber manusia juga adalah sebahagian aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menjadi tapak asas pembangunan sesebuah industri mahupun organisasi, sepertimana yang dinyatakan oleh pelan Malaysia Inovatif 2010.
Profesionalisme
Sekiranya para karyawan muda tampil mengubah lanskap industri filem dengan idea-idea yang segar dan terkini, satu nilai yang harus disuntik oleh para pengurus muda pula dalam usaha pembangunan industri perfileman tanah air pula adalah profesionalisme.
Bagi pengurus muda yang berkhidmat sebagai pentadbir dalam sektor awam khususnya dalam organisasi berkaitan dengan industri filem, harus memperlihatkan profesionalisme mereka bukan sahaja dalam kemampuan menjalankan tugas pentabiran industri serta meneruskan segala usaha yang telah disumbangkan oleh penjawat terdahulu dengan baik, tetapi juga berkemampuan dalam menambahbaik perancangan melalui pelan tindakan yang sesuai dengan situasi pasaran semasa serta pendekatan yang lebih praktikal. Dalam hal ini, pengurus muda yang memiliki idea dan tenaga, dan pengurus berpengalaman yang memahami selok belok pentadbiran awam harus bergabung tenaga dan usaha mencari pendekatan terbaik dalam mentadbir industri ini.
Melalui satu kajian yang dijalankan oleh penulis telah menyarankan bahawa polisi atau dasar sedia ada, dalam konteks ini Dasar Filem Negara (DFN) harus dijayakan bukan sekadar secara perlaksanaan program tertentu, tetapi memerlukan sebuah pelan tindakan yang jelas dan terarah bagi tempoh masa tertentu. Ia juga memerlukan satu sasaran dan objektif yang jelas, khususnya kedudukan industri filem secara tepat dalam KDNK negara. YAB Perdana Menteri sendiri telah melihat kepentingan hal ini apabila beliau memperkenalkan Indeks Pengukur Prestasi (KPI) dalam semua aktiviti dan program yang dijalankan oleh pihak kerajaan.
Dalam sekian banyak memperkatakan tentang usaha meletak peranan industri filem dalam sistem ekonomi negara, ia bukanlah bagi menafikan sifat filem itu sendiri sebagai sebuah bentuk seni yang menitik beratkan nilai artistik dan sosial. Percanggahan antara nilai artistiknya sebagai satu medium karya seni serta nilai komersilnya sebagai sebuah produk ekonomi dapat dihapuskan sekiranya pengurus mempunyai apresiasi yang baik tehadap seni. Pengurus yang terlibat dalam pemasaran produk kreatif seperti filem harus memahami konsep asas dalam pemasaran seni (art marketing concept) yang tidak hanya berteraskan demand based tetapi juga product based. Ini termasuk memahami skala dan khalayak setiap segmen pasaran termasuk segmen pasaran alternatif. Dengan kefahaman itu, pengurus akan memahami pendekatan yang sesuai dalam menangani industri filem termasuk ketika membuat keputusan pelaburan dan juga merangka strategi pemasaran.
Pelaburan
Seperti yang dinyatakan terdahulu, survival dan daya tahan industri perfileman dalam memastikan ia relevan dengan cara hidup hari ini bergantung kepada keupayaannya memainkan peranan dalam sistem urusniaga dan ekonomi. Mahu atau tidak perfileman harus berdiri sebagai sebuah industri, dengan kata lain mampu menjadi penyumbang kepada ekonomi.
Pelan Tranformasi Ekonomi (ETP) yang baru dilancarkan baru-baru ini harus menyedarkan para penglibat industri terhadap hal ini. Setiap pengurus harus menyedari bahawa industri filem harus berdiri sebagai sebuah industri dominan yang relevan dan memainkan peranan jelas dalam KDNK negara sekiranya mahu industri ini `dipandang` oleh pihak kerajaan dan juga para pelabur. Perhatian kedua pihak ini amat diperlukan, dan ini menjadi tugas amat berat kepada para pengurus industri untuk memastikan industri filem berada dalam `agenda penting` kedua pihak ini.
Dalam memperkatakan tentang pelaburan industri filem, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, secara rambang, kemasukan pelabur dalam bidang perfileman khususnya penerbitan dan pemameran (pawagam) semakin meningkat.
Dalam bidang penerbitan, kebanyakan pelabur baru terdiri dari pelabur individu dan syarikat persendirian. Ini turut dipengaruhi oleh bantuan dan skim pinjaman yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC). Kemunculan pelaburan baru dari sektor korporat pula sangat perlahan dengan bergantung kepada pelabur sedia ada seperti Media Prima Berhad (melalui anak syarikat Primeworks Studio Sdn Bhd) dan Astro All Asia Network (melalui anak syarikat Astro Shaw Sdn Bhd & Tayangan Unggul Sdn Bhd).
Dengan tidak menafikan kepentingan pelaburan individu dan syarikat persendirian, pertambahan pelabur korporat khususnya dari syarikat senarai awam (public listed company) dirasakan perlu kerana secara tidak langsung mampu membina reputasi sebuah industri yang kukuh dan diyakini. Begitu juga dengan pelaburan dari syarikat-syarikat modal teroka (venture capital).
Dalam menggalak kemunculan karyawan dan penerbit muda, kewujudan syarikat pelabur penerbitan filem berasaskan sistem studio dirasakan perlu, sekaligus mampu menggalak pertumbuhan industri. Dalam konteks Malaysia, dalam masa terdekat, kita memerlukan sekurang-kurang satu syarikat pelabur/ studio yang memfokuskan kepada pelaburan penerbitan filem. Mungkin pihak kerajaan boleh memainkan peranan dalam mengisi keperluan ini. Kewujudan syarikat pelabur yang mengkhususkan kepada pelaburan dengan urusan produksi dijalankan oleh syarikat produksi akan mewujudkan pengkhususan yang lebih sistematik sepertimana diamalkan di negara maju khususnya Holllywood. Ia juga membuka ruang kepada tenaga muda tempatan berbakat yang menghadapi masalah modal untuk melaksanakan projek mereka. Dengan cara ini, syarikat produksi milik mereka akan lebih fokus terhadap produksi dan penghasilan produk yang lebih baik dengan hal kewangan, pemasaran, pengedaran dan analisis pasaran dijalankan oleh syarikat studio yang lebih memiliki kepakaran dalam bidang pelaburan dan strategi perniagaan. Pengkhususan ini mewujudkan sebuah industri yang lebih profesional dan sistematik, sekaligus menarik keyakinan pelabur korporat asing.
Penutup
Industri perfileman secara kasarnya mungkin dilihat sebagai sebuah bidang yang mencabar dan sukar dijangka. Itulah antara cabaran besar yang menanti dan harus digalas oleh para karyawan dan pengurus muda ini. Tanggungjawab ini bukan satu tugas mudah, namun harus dihadapi berganding bahu dalam membina sebuah industri filem yang lebih cemerlang, gemilang & terbilang.
Pembangunan industri filem Malaysia yang diterajui oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi & Penerangan Malaysia (KPKK) telah memperlihatkan satu hasil usaha semasa yang sangat memberangsangkan. Sepanjang sepuluh tahun terakhir ini, industri filem khususnya bidang penerbitan memperlihatkan pertumbuhan pada tahap yang sangat kompetatif. Ini adalah usaha semua pihak yang memberikan komitmen yang padu ke arah pencapaian ini.
Oleh yang demikian, negara harus bersedia dengan menyediakan barisan karyawan dan pengurus muda yang berkredibiliti untuk mewarisi serta meneruskan kelangsungan pembangunan yang menggalakkan ini bagi kepentingan jangka masa panjang. Pelan tindakan yang mendalam dalam menyediakan karyawan dan pengurus muda ini harus dirangka dan menjadi salah satu agenda penting dalam pentadbiran industri filem. Hanya kepada golongan ini industri bergantung harapan untuk melihat industri filem Malaysia terus relevan dalam tempoh masa beberapa puluh tahun dari sekarang.