ABOUT ME

Thursday, November 19, 2015

INTEGRASI DALAM INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF MALAYSIA

INTEGRASI DALAM INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF MALAYSIA
Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman


Pengenalan

Terma `industri kandungan kreatif` mula banyak diperkatakan di Malaysia pada tahun 2000-an seiring dengan perkembangan teknologi. Kemunculan media baru, telefon pintar dan pelbagai platform dan gajet canggih yang lain membawa dimensi baru kepada kandungan kreatif yang selama ini lebih mirip kepada bentuk hiburan satu hala sahaja. Dengan perkembangan ini, satu demi satu bentuk hiburan yang lebih interaktif diperkenal dalam mengekalkan momentum daya tarik para penonton dan pengguna.

Dalam memastikan perkembangan industri ini terus konsisten dengan kadar pertumbuhan yang kompetatif, amat penting bagi industri ini diberikan perhatian khusus oleh pihak pentadbir industri dan pengurusan tertinggi. Namun, dalam mewujudkan industri yang mapan, apa yang penting bukanlah suntikan kewangan semata-mata, tetapi pihak pentadbir proaktif untuk mewujudkan sebuah ekosistem industri yang konsudif dalam pelbagai aspek termasuklah perundangan, galakan, prosedur dan sebagainya.

Oleh itu, sebagai pemain industri, adalah amat penting bagi memperlihatkan komitmen, khususnya dalam memperlihatkan bahawa industri ini adalah sebuah industri yang serius, berdaya saing, berpotensi serta mampu memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan ekonomi negara. Hanya dengan cara itu industri ini akan dilihat secara serius oleh kerajaan sebagai industri yang penting dan dipermudah segala urusan birokrasi.


Sinergi Silang Industri

Dalam melihat kepentingan dan signifikan industri kandungan kreatif ini kepada negara, kita harus melihat industri ini dan hubungannya dengan pelbagai industri berkaitan. Ini memandangkan kandungan kreatif mempunyai hubungan langsung yang agak akrab dengan industri-industri lain.

Jika dahulu, industri kandungan kreatif dan industri filem khususnya dilihat dari fungsinya yang lebih menjurus sebagai platform hiburan dan propaganda semata-mata, kini ia sudah menjangkau lebih dari itu. Ini memperkuatkan lagi hujah bahawa perfileman dan industri kandungan kreatif tidak boleh dilihat sebagai satu bidang sahaja. Dengan menjadi komoditi ekonomi penting di peringkat global, kandungan kreatif menjadi elemen penting kepada pelbagai sektor huluan dan hilirannya yang lain seperti pelancongan, teknologi, pengiklanan, penjenamaan dan lain-lain.

Dengan meyakini bahawa sifatnya yang berintegrasi dengan pelbagai industri ini, kita berpotensi untuk melihat usaha membangun industri kandungan kreatif bukan dari agensi industri kreatif, kebudayaan atau multimedia semata-mata. Dengan itu, organisasi dari pelbagai bidang seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran (pembangunan skill pekerja kandungan kreatif), Tourism Malaysia (mempromosi Malaysia melalui filem), Jabatan Warisan Negara (pemeliharaan filem sebagai warisan negara), Arkib Negara (pembangunan arkib filem), MATRADE (menggalak jualan hak kandungan kreatif sebagai komoditi eksport) dan lain-lain dapat digerakkan dalam membantu perkembangan industri ini.

Ini dapat dilihat apabila negara-negara serantau seperti Singapura dan Thailand yang memberikan peruntukan amat besar bagi penganjuran festival filem antarabangsa melalui peruntukan dari badan penggalak pelancongan negara mereka. Hasilnya, Singapore International Film Festival dan Bangkok International Film Festival muncul sebagai antara festival filem penting di rantau ini, yang pastinya sekaligus mempromosi negara mereka dari aspek pelancongan, menggalak pelaburan di negara mereka, pemindahan teknologi ke negara mereka, dan pelbagai lagi.

Selain itu, kandungan kreatif dalam bidang muzik, permainan interaktif dan lain-lain mempunyai hubungan rapat dengan perkembangan industri teknologi, yang menyaksikan pertumbuhan platform pengedaran di medium digital seperti telefon pintar, televisyen pintar, malah gajet lain seperti jam pintar dan lain-lain. Ia kemudian turut melibatkan perihal perundangan, khususnya dalam soal hakcipta, hak pemasaran, kontrak dan sebagainya.

Perkembangan industri kandungan kreatif juga memberikan impak jeas terhadap bidang akademik dengan lahirnya sekian banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang pengajian berkaitan seperti multimedia, perfileman, pembangunan aplikasi, penataan bunyi, dan lain-lain. Ini termasuklah yang menawarkan kursus-kursus berkaitan pengajian sosial, yang memberikan penekanan terhadap subjek berkaitan kandungan kreatif dalam konteks sosio budaya dan lain-lain. Ini semua tidak termasuk pengaplikasian kandungan kreatif sebagai mekanisme dan bahan dalam pedagogi pembelajaran dalam pelbagai bidang pengajian.


Gerak Kerja Industri

Selain melihat integrasi industri kandungan kreatif dengan industri berkaitan yang lain, aspek integrasi juga harus diberikan penekanan dalam gerak kerja industri ini sendiri. Ini terutamanya yang berkaitan dengan perihal pentadbiran, perundangan dan penguatkuasaan industri. Salah satu penyelidikan yang dijalankan oleh Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) menyatakan bahawa dasar, perundangan dan pentadbiran industri filem yang berkesan harus memenuhi tujuh kriteria utama iaitu (1) jelas, (2) terarah, (3) terperinci, (4) menyeluruh, (5) konsisten, (6) menggalak serta (7) lengkap melengkapi.

Sebagai contoh, industri perfileman negara semakin hari memperlihatkan kelancaran gerak kerja apabila beberapa agensi seperti Multimedia Development Corporation (MDeC), Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Jabatan Filem Negara (kini bergabung dengan FINAS) diletakkan dibawah seliaan Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM) yang baru ditubuhkan, berbanding penyeliaan dari beberapa kementerian berbeza sebelumnya.

Namun begitu, beberapa agensi teras industri perfileman masih dibawah kementerian yang dilihat kurang sesuai. Contoh yang paling jelas adalah apabila Lembaga Penapisan Filem (LPF) diletakkan dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ini mewujudkan perbezaan sudut pandang dalam melaksanakan bidang tugas dan bidang kuasa terbabit. Kementerian Dalam Negeri mungkin akan melihat penapisan filem sebagai `satu usaha penguatkuasaan`, manakala Kementerian Komunikasi & Multimedia akan melihat penapisan filem sebagai `satu usaha pengawalan kualiti`.


Content Malaysia Pitching Centre

Salah satu usaha mewujudkan gerak kerja yang berintegrasi dalam industri ini adalah dengan wujudnya Content Malaysia Pitching Centre, iaitu pusat sehenti yang berperanan sebagai pembantu dan pemudahcara para pembikin kandungan kreatif dalam mendapatkan bantuan kewangan, rundingan dan bimbingan dalam melaksanakan projek kandungan kreatif mereka. Ini merupakan satu usaha yang wajar dijadikan rujukan, tentang bagaimana integrasi boleh diaplikasi dalam sebuah industri dengan pelbagai elemen.

Pusat ini lahir dari kesedaran KKMM melihat kepentingan gerak kerja yang bersepadu di antara setiap agensi. Oleh kerana itu, bahagian bertanggungjawab berkenaan usaha galakan di FINAS, SKMM dan MDeC digabungkan dibawah Content Malaysia Pitching Centre ini. Penglibatan wakil pelbagai agensi dalam penyelarasan berpusat akan memudah, melancar dan meningkatkan keberkesanan usaha penyaluran dana dan bimbingan konsultasi penerbitan, pemasaran dan lain-lain untuk industri kandungan kreatif.


Signifikan Akreditasi

Integrasi juga harus diwujudkan dalam penyelarasan kelayakan penggiat industri. Dalam mewujudkan sebuah industri yang ditadbir urus secara profesional, amat penting mempunyai satu sistem akreditasi yang diiktiraf secara bersama oleh semua agensi yang berkaitan. Dalam bidang pendidikan, kita dua cabang akreditasi utama adalah melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), yang mewakili bidang pengajian tinggi akademik dan skill kemahiran.

Oleh itu, penglibatan dalam industri memerlukan satu standard kelayakan yang boleh digunapakai dalam peringkat industri. Kerana itulah diwujudkan Creative Content Industry Guild (CCIG), yang ditubuhkan dibawah seliaan FINAS dan Unit Pengurusan Prestasi & Pelaksanaan (PEMANDU), sebagai sebuah badan berkecuali yang dipertanggungjawabkan mengendalikan pentauliahan para penggiat industri. Ia merupakan satu inisiatif dibawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang menjadi pelan induk pembangunan negara menuju negara maju pada tahun 2020.

Penulis melihat timbul banyak salah tanggapan tentang akreditasi yang diwujudkan dalam industri. Ini kerana ramai melihat akreditasi sebagai persepsi. Timbul persoalan bahawa yang mempunyai akreditasi tidak semestinya lebih mahir berbanding yang tidak dinilai dalam akreditasi. Soal itu sepatutnya tidak timbul.

Persepsi bahawa akreditasi untuk menilai `siapa yang lebih bijak` atau `siapa yang lebih berkemahiran` adalah sesuatu yang tidak tepat. Akreditasi dalam industri diwujudkan sebagai satu sistem atau tatacara dalam industri. Bayangkan jika sebuah industri ditadbir tidak mengikut tatacara atau piawaian, dan hanya diurustadir mengikut `ikut rasa` dan `agak-agak`. Oleh kerana itulah pentingnya akreditasi dalam industri, bukan untuk menilai `siapa hebat`, tetapi keperluan mewujudkan sistem dan tatacara dalam mengurus industri secara profesional.


Penutup

Seharusnya diakui bahawa setiap tindakan mempunyai pro dan kontra. Apa yang dibahaskan disini adalah mengikut perspektif industri. Penulis cuba untuk memberikan gambaran bagaimana siginifikannya integrasi dalam sesebuah pengurusan dn pentadbiran sesebuah industri.

Namun, ingin ditegaskan bahawa penulis tidak menbincangkan usaha melahirkan filem atau kandungan kreatif yang baik secara khusus di sini. Itu soal lain, dalam konteks yang lain. Penulis sedang membicarakan tentang usaha mengurus dan mentadbir sebuah industri. Usaha mewujudkan sistem yang berintegrasi dan bersepadu harus dilihat secara positif, kerana hanya dengan itu, sebuah industri maju akan dapat dicapai; yang pastinya sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kualiti kandungan kreatif yang dihasilkan.