ABOUT ME

Sunday, December 12, 2010

INDUSTRI DOKUMENTARI & BUDAYA FILEM DI MALAYSIA

Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman


Pengenalan

Dokumentari adalah berasal dari kata dasar `document` yang memberi makna `to document reality`. Dokumentari merujuk kepada rakaman bersifat non-fiksi yang berperanan dalam memaparkan realiti kehidupan melalui rakaman kamera bagi membolehkan ia ditonton, difahami dan `dinikmati` merentas masa dan ruang. Dokumentari dianggap sebagai asas dalam penceritaan visual. Oleh kerana itu, kebanyakan pengarah filem cereka hebat dunia seperti Majid Majidi (Iran) dan Garin Nugroho (Indonesia) bermula atau pernah terlibat dalam pengarahan filem dokumentari.

Sejarah dokumentari dunia bermula apabila terma dokumentari digunapakai dalam ulasan filem berjudul Moana arahan Robert Flaherty pada tahun 1926 meskipun ketepatan terma tersebut pernah dipertikaikan beberapa tahun kemudian. Di Malaysia, sejarah dokumentari bermula pada awal abad ke-20 apabila rakaman video bergerak (motion picture) digunakan sebagai medium propoganda pihak penjajah ketika itu. Penubuhan Malaysian Film Unit (MFU) pada tahun 1946 oleh pihak kerajaan ketika itu menjadi titik penting dalam sejarah dokumentari di Malaysia.

Pada awal kemunculan dokumentari, penerbitan yang dihasilkan adalah bersifat langsung yang mana menekankan terhadap aspek rakaman realiti. Kamera hanya bertindak sebagai perakam dan merakam situasi sebenar yang kemudiannya ditambahbaik dengan kewujudan audio sebagai narotor di dalam penceritaan. Usaha ini adalah bagi mempertingkatkan kefahaman penonton disamping memberikan nilai tarikan terhadap visual yang dipaparkan.

Dari masa ke masa, revolusi dalam ketamadunan manusia turut merubah corak penontonan filem termasuklah filem dokumentari di seluruh. Penonton global yang menjadi semakin bijak menyebabkan para pembikin filem dokumentari sentiasa mencari pendekatan baru dalam `bercerita` melalui visual. Kemunculan syarikat dan saluran televisyen khusus bagi dokumentari seperti National Geographic turut memberikan dimensi baru dalam pembikinan dokumentari apabila mencipta formula tersendiri dalam penceritaan dokumentari dengan menggunakan pendekatan real life entertainment. Melalui pendekatan ini, National Geographic menggunakan elemen story driven dengan aplikasi watak (charecter) dalam menggerakkan cerita realiti (factual narrative). Ini semua membantu dalam mempelbagaikan dokumentari dalam pasaran sekaligus memastikan minat penonton terhadap filem dokumentari tetap kekal.

Kini, searus dengan perkembangan medium penerbitan dari filem 35mm, video digital hingga high definition (HD), dokumentari mampu berdiri megah sebagai salah satu format penerbitan yang mampu berdiri sendiri sebagai sebuah industri sebagaimana dilakukan oleh filem cereka.


Industri Dokumentari

Melihat dari sudut ekonomi, industri dokumentari di Malaysia berada di tahap yang cukup menggalakkan. Bantuan dan galakan dari pihak seperti Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS), Malaysia Development Corporation (MDEC), Filem Negara Malaysia (FNM) dan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) memberikan ruang kepada pembikin tempatan mula membuka pasaran ke luar negara melalui jualan hak tayangan serta kerjasama produksi.

Sebagai sebuah industri yang kukuh haruslah didukung oleh oleh dasar, tatacara, perundangan dan polisi yang bersepadu, menyeluruh dan saling lengkap melengkapi. Gabungan tiga kementerian melalui Kementerian Penerangan, Komunkasi & Kebudayaan (KPKK) dalam rombakan kabinet pada tahun 2009 yang membolehkan beberapa agensi terbabit bagi bernaung dibawah satu bumbung seharusnya menjadikan usaha ini lebih mudah dan berkesan. Apa yang diperlukan adalah usahasama dan perbincangan yang berterusan dalam mengenalpasti dan merangka bidang tugas dan bidang kuasa masing-masing agar tidak bertindih antara satu sama lain yang hanya akan tambah menyulitkan keadaan.

Keberhasilan Media Development Authority (MDA) di Singapura dalam menjadi perantara dan orang tengah kepada agensi-agensi berkaitan penerbitan dan penyiaran seharusnya menjadi contoh terbaik dalam memastikan dasar dan polisi setiap agensi terbabit adalah menjurus ke arah objektif yang sama dan terarah.

Apabila pihak UNESCO mengkelaskan bahawa industri kreatif sebagai industri kedua terbesar dunia hari ini, ia seharusnya memberi isyarat positif terhadap para penglibat industri ini. Ia adalah antara petanda kepada gelombang baru ekonomi global yang beralih dari berasaskan pengetahuan mutlak kepada nilai tambah yang sangat penting iaitu kreativiti dan inovasi.

Pada penghujung tahun 1990-an dan awal 2000 memperlihatkan polemik berlaku di kalangan penggiat industri filem dan ahli akademik di Malaysia berkenaan pertikaian status dan terma industri yang digunapakai dalam industri filem Malaysia. Ini antaranya mempertikaikan nilai urusniaga yang masih begitu rendah dalam industri ini berbanding industri lain seperti elektronik dan sebagainya. Kini, setelah polemik itu berakhir hasil dari keberhasilan industri filem dan penyiaran termasuklah dokumentari Malaysia mencatat nilai urusniaga sebagai ekonomi ekonomi yang tinggi, ia bukan bermakna penamat kepada isu berkaitan terma terbabit.

Meskipun terma ini diterima dan digunapakai secara rasmi dan meluas, pertikaian berkaitan nilai urusniaga kini harus dialihkan kepada usaha merangka dan menjalankan pelan tindakan dalam mewujudkan sebuah industri yang kondusif kepada para penggiat dan pelabur bagi memastikan pertumbuhan ini terus memperkasa industri filem sebagai industri yang mampan. Dalam mentadbir sesebuah industri, dua perkara utama yang harus diberi penekanan adalah pertumbuhan yang konsisten dan keanjalan pasaran dalam menyerap sebarang perubahan dari aspek situasi ekonomi, politik, trend semasa mahupun budaya popular semasa.

Meskipun berbeza, perkembangan filem dokumentari harus begerak seiring dengan filem cereka memandangkan pasaran bagi kedua bentuk filem ini adalah berasaskan kepada perkara yang sama iaitu budaya penontonan dalam masyarakat.


Budaya Filem

Dalam melahirkan sebuah industri yang mampan, selain dasar, tatacara, perundangan dan insentif, satu perkara lagi yang harus diberikan perhatian serius dan mendalam adalah kesedaran bahawa elemen utama yang menjadi faktor pengukur sesebuah industri adalah pasaran. Pasaran ini adalah terhasil dari permintaan penontonan dan kepenggunaan dikalangan masyarakat selaku pengguna.

Oleh itu, dalam memperluas dan memperkukuh pasaran bagi menyokong kehendak mewujudkan sebuah industri dokumentari di Malaysia yang kukuh, ia harus disokong oleh sebuah masyarakat yang ahlinya mempunyai tahap kefahaman, apresiasi dan budaya menghargai yang tinggi terhadap filem-filem dokumentari ini. Komuniti dalam masyarakat yang mempunyai budaya filem yang mendalam bakal melahirkan permintaan yang lebih besar terhadap produk-produk dokumentari yang sekaligus membolehkan industri dokumentari dapat bertumbuh pada kadar yang lebih kompetitif dan mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap perubahan trend semasa.

Masyarakat harus diberi pendedahan secara akar umbi bagi membolehkan minat terhadap filem tidak kira filem dokumentari mahupun cereka adalah mendalam dan bukan sekadar atas dasar budaya popular semasa semata-mata. Hanya penonton yang setia dan mempunyai kecintaan mendalam mampu memastikan daya tahan industri ini melalui perubahan budaya popular semasa yang boleh mengakibatkan masyarakat beralih arah kepada bentuk hiburan yang lain. Situasi inilah yang pernah membawa kepada zaman gelap industri filem sepertimana yang berlaku kepada industri filem cereka Malaysia pada tahun 1990-an.


Usaha Pembudayaan Filem

Adalah amat sukar untuk membandingkan Malaysia dengan negara Eropah seperti Perancis, Itali mahupun England yang diakui dunia mempunyai tradisi budaya filem dan celik filem yang amat tinggi dalam masyarakat. Sejarah panjang negara terbabit sejak ratusan tahun yang lalu adalah amat sukar jika mahu dibandingkan dari dengan negara kita yang baru mencapai kemerdekaan sekitar 52 tahun yang lalu. Namun begitu, ia seharusnya menjadi pemangkin semangat kepada kita tentang bagaimana mereka mempunyai kefahaman yang tinggi terhadap seni dan budaya yang menjadi teras penting dalam mereka membina keunggulan peradaban dan ketamadun bangsa mereka.

Gelombang generasi muda di Malaysia turut menjanjikan perkembangan positif. Kita dapat melihat bagaimana kemunculan berbagai kumpulan dan komuniti yang kini digerakkan di atas kesedaran terutamanya dalam mendekatkan seni dan filem dengan masyarakat. Acara berkonsep `dari masyarakat untuk masyarakat` seperti Layar Tanchap, Rantai, Urbanscapes dan beberapa lagi digerakkan oleh mereka yang mempunyai kefahaman tentang perkara terbabit dalam menyuburkan seni termasuklah filem dalam komuniti setempat. Terbaru, kemunculan Pertubuhan Sinema Komuniti Malaysia (PSKM) yang kini dalam proses penubuhan digerakkan untuk menjadi pelengkap kepada usaha sedia ada dalam lebih menyuburkan filem di peringkat akar umbi. Acara seperti diskusi dengan mahasiswa filem, bengkel asas filem kepada golongan remaja bermasalah, tayangan filem kepada banduan penjara, program keluarga angkat karyawan muda dengan penduduk kampung dan Anugerah Sinema Rakyat untuk orang awam adalah antara yang dirancang PSKM. Ia adalah bagi membolehkan ia mencapai objektif membuktikan filem mampu memberikan manfaat kepada kehidupan masyarakat sekaligus memberikan keyakinan kepada ahli masyarakat tentang bagaimana filem mampu membawa mereka ke taraf kehidupan yang lebih baik.

Dalam pada itu, peranan yang dimainkan oleh pihak berwajib terutamanya pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebagai sebuah agensi kerajaan yang mempunyai hubungan langsung dengan hal ini dilihat turut memberi kesan yang positif.

Dari berbagai aktiviti pembudayaan filem yang dijalankan oleh pihak FINAS, acara yang dilihat sangat memberikan kesan yang besar dalam pembudayaan filem adalah melalui Program Merakyatkan Filem yang diadakan di pawagam Coliseum, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada setiap bulan. Acara ini berjaya menarik para penonton dari pelbagai latar belakang di peringkat akar umbi apabila memperlihatkan kehadiran dari golongan keluarga kurang berupaya, kanak-kanak terbiar dan remaja bermasalah yang berada di sekitar Jalan Tuanku Rahman dan kawasan sekitarnya. Acara ini meskipun diadakan dengan secara amat sederhana, dengan pemilihan filem yang sewajarnya, diyakini mampu memberikan kesan yang besar dalam usaha menjadi filem sebagai sebahagian dari nilai penting dalam kehidupan masyarakat.

Acara ini juga memperlihatkan komitmen pihak FINAS dalam menganjurkan acara yang efektif dan praktikal dalam usaha terbabit di tengah-tengah lambakan acara yang bersifat pesta yang dianjurkan di merata tempat. Pihak FINAS menyedari bahawa budaya pesta yang semakin menular dalam masyarakat Malaysia hari ini hanya akan memberikan kerugian dan membantutkan usaha dalam melahirkan masyarakat mentaliti kelas pertama yang disarankan oleh kepemimpinan YAB Perdana Menteri.

Dengan budaya filem yang mendalam, nescaya industri filem dokumentari Malaysia akan lebih subur dan akan keluar dari kepompong tayangan di televisyen dan DVD sahaja. Kejayaan filem dokumentari luar negara ditayangkan dipawagam dan mencatat kutipan ratusan juta ringgit seperti March Of The Penguin, Fahrenheit 9/11 dan This Is It harus dijadikan pencetus semangat. Bersama kita tidak kira penggiat, ahli masyarakat dan pentadbir dalam menjayakan slogan `Filem Malaysia Ke Persada Dunia` dalam erti kata yang sebenar.


(Artikel untuk majalah Sinema Malaysia, Edisi Jan-Mac 2010)

No comments:

Post a Comment