ABOUT ME

Thursday, January 6, 2011

GERAN, PINJAMAN & PELABURAN PENERBITAN FILEM DI MALAYSIA

GERAN, PINJAMAN & PELABURAN PENERBITAN FILEM DI MALAYSIA:

PEMBIAYAAN PENERBITAN FILEM CEREKA MALAYSIA TAHUN 2009

Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman

1.0 PENGENALAN

Industri perfileman Malaysia sejak awal tahun 2000-an memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan. Meskipun trend pembangunan tersebut pada kadar yang tidak terlalu drastik, namun ia masih memperlihatkan kadar peningkatan yang lebih pantas berbanding trend peningkatan yang dicatatkan pada dua dekad sebelumnya.

Setelah tamat era studio oleh kapitalis asing pada awal perfileman bertapak di Studio Jalan Ampas, perkembangan perfileman Malaysia seolah terbantut apabila ia hanya mampu berdiri sebagai sebuah bidang perusahaan yang bersifat kecil-kecilan oleh syarikat persendirian pada 1970-an dan 1980-an. Namun, setelah dekad 1990-an memperlihat zaman gelap industri filem Malaysia, dekad berikutnya seolah menjadi detik kelahiran semula industri ini untuk mula memperlihatkan kemampuannya untuk berdiri sebagai sebuah industri mampan yang memainkan peranan dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam usaha memastikan industri ini terus relevan dan mampu memain peranan dalam sebuah negara membangun seperti Malaysia, industri ini harus berdiri sebagai sebuah industri yang mencapaikan peningkatan dalam pasaran dagangan ekonomi berasaskan kepenggunaan/ penontonan khalayak perdana.

Namun, sifat filem itu sendiri yang merupakan salah satu bentuk seni pastinya menimbulkan conflict of interest dalam hal ini. Apabila ia bersifat sebagai sebuah produk seni, pastinya kadangkala berlaku percanggahan dengan kehendak pasaran semasa yang lebih berorentasi budaya popular. Klasifikasi filem sebagai komoditi ekonomi secara mutlak pasti akan tidak dipersetujui oleh sesetengah karyawan filem yang melihat filem sebagai medium mereka untuk berkarya, berekspresi mahupun mengupas permasalahan sosial semasa.

Kedua-dua fahaman ini harus dilihat secara rasional. Pihak pentadbir khususnya agensi bertanggungjawab harus melihat hal ini secara seimbang kerana kedua-dua sudut pandang ini, tidak kira berhubung ekonomi mahupun estetika mempunyai kepentingan secara langsung yang memberikan sumbangan besar dalam usaha membentuk Malaysia sebagai sebuah tamadun yang dihormati. Peradaban yang dihormati tentunya negara yang mempunyai kestabilan ekonomi dan sosial secara seimbang.

Namun, walau apapun pertikaian yang muncul, industri ini hanya akan wujud dan kekal dengan adanya pelaburan yang membolehkan segala aktiviti termasuk penerbitan, pengedaran dan pemameran dijalankan. Pelaburan dalam konteks industri filem cereka di Malaysia merangkumi tidak bentuk utama iaitu pelaburan langsung, pinjaman serta tajaan.

2.0 SKOP ANALISA

2.1 Filem Cereka Malaysia

Kajian ini hanya merangkumi filem cereka Malaysia. Menurut definisi yang ditakrifkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, filem cereka Malaysia bermaksud filem untuk tayangan panggung wayang yang diterbitkan di Malaysia atau mana-mana tempat lain oleh warganegara Malaysia atau suatu syarikat yang diperbadankan di Malaysia yang majoriti sahamnya dipegang oleh warganegara Malaysia.

2.2 Tempuh Kajian

Kajian ini terhad kepada filem cereka Malaysia yang ditayangkan di pawagam tempatan sepanjang tahun 2009.

3.0 DATA FILEM CEREKA TAHUN 2009

Bagi tujuan analisa ini, pengkaji telah mengumpul data penerbitan filem-filem cereka yang ditayangkan sepanjang tahun 2009. Data-data ini meliputi kos penerbitan, kutipan, pelabur, penaja dan pinjaman.

Sepanjang tahun 2009, sejumah 28 buah filem cereka Malaysia telah ditayangkan di pawagam tempatan.

FILEM YANG DITAYANGKAN TAHUN 2009

Bil

Judul Filem

Genre

Kos Penerbitan & Pemasaran

Kutipan Kasar (RM)

Mula Tayang

Bilangan Pawagam

Maut

Seram

1.50 juta

1.60 juta

15.01.09

32

Sifu & Tongga

Komedi

1.60 juta

2.57 juta

29.01.09

58

Geng: Penggembaraan Bermula

Animasi

4.00 juta

6.20 juta

12.02.09

55

Rasukan Ablasa

Seram

1.50 juta

0.82 juta

26.02.09

38

Jin Hutan

Seram/ Misteri

0.63juta

0.23 juta

12.03.09

40

Sayang

Romantik

1.86 juta

0.37 juta

12.03.09

47

Talentime

Drama

1.30 juta

0.42 juta

26.03.09

38

Jangan Tegur

Seram

1.72 juta

3.42 juta

09.04.09

59

Bohsia...Jangan Pilih Jalan Hitam

Aksi Drama

1.50 juta

4.14juta

23.04.09

49

Sell Out?

Komedi

2.92 juta

0.16juta

07.05.09

20

Syurga Cinta

Romantik

1.50 juta

2.38juta

21.05.09

52

Jomlah C.I.U.M

Patriotik

0.20 juta

0.03 juta

21.05.09

52

Jangan Pandang Belakang Congkak

Komedi Seram

1.72 juta

6.09juta

04.06.09

58

Skrip 7707

Seram

1.27 juta

1.91juta

16.07.09

43

Setem

Komedi Aksi

1.90 juta

1.27juta

30.07.09

51

Jin Notti

Komedi

0.48 juta

2.04juta

20.09.09

61

Momok The Movie

Seram

1.90 juta

2.09juta

20.09.09

50

Papadom

Seram

1.44 juta

3.37juta

08.10.09

41

Lembing Awang Pulang Ke Dayang

Sejarah

1.88 juta

0.09 juta

22.10.09

30

Pisau Cukur

Romantik Komedi

1.40 juta

2.32juta

05.11.09

43

Senario The Movie Episode 2: Beach Boys

Komedi

1.70 juta

3.09juta

19.11.09

62

Jalang

Drama

0.68 juta

0.67juta

26.11.09

46

My Spy

Romantik

2.00 juta

1.19juta

03.12.09

48

Pulau Asmara

Romantik

0.15 juta

0.04juta

17.12.09

25

Santau

Sejarah

1.72 juta

3.48juta

10.12.09

61

Muallaf

Drama

1.30 juta

0.19juta

24.12.09

17

Duhai Si Pari-pari

Komedi Fantasi

1.30 juta

0.58juta

31.12.09

38

Karaoke

0.40 juta

0.005juta

JUMLAH

41.47 juta

52.92 juta

PURATA PER FILEM

1.49 juta

1.89 juta

Dari 28 buah filem yang ditayang sepanjang tahun 2009 :

  • Sejumlah RM41.47 juta dibelanjakan bagi kos penerbitan & pemasaran manakala sejumlah RM52.92 juta diperolehi dari kutipan tiket.
  • Lebihan pendapatan dari perbelanjaaan adalah sejumlah RM 11.45 juta (21.64%)
  • Purata kos penerbitan & pemasaran setiap filem adalah RM1.49 juta manakala purata kutipan tiket setiap filem adalah RM1.89 juta.

ANALISA SYARIKAT PENERBIT & SYARIKAT PRODUKSI

Dari 28 buah filem yang ditayang sepanjang tahun 2009 :

  • Sebanyak 22 buah syarikat melibatkan diri selaku syarikat penerbit (melabur)
  • Sebanyak 19 buah syarikat melibatkan diri sebagai syarikat produksi (melibat diri dalam kerja pembikinan)

Daripada jumlah itu:

  • Sebanyak 3 buah syarikat terlibat sebagai syarikat produksi sahaja TANPA terlibat sebagai penerbit
  • Sebanyaj 5 buah syarikat menjadi penerbit sahaja TANPA terlibat dalam produksi

ANALISA PELABURAN, PINJAMAN, DANA & PENAJA UTAMA*

Dari 28 buah filem yang ditayang sepanjang tahun 2009 :

  • Sebanyak 20 buah syarikat melibat diri dalam pelaburan penerbitan filem cereka
  • Sebanyak 1 skim pinjaman digunakan dalam penerbitan filem cereka
  • Sebanyak 4 pihak (organisasi dan individu) menyediakan dana dalam penerbitan
  • Sebanyak 4 syarikat melibatkan diri selaku penaja utama dalam penerbitan

Dari 28 buah filem yang ditayang sepanjang tahun 2009 itu juga :

  • Sebanyak 27 buah filem diterbitkan dengan pelaburan dari pelabur
  • Sebanyak 5 buah filem diterbitkan dengan bantuan pinjaman
  • Sebanyak 3 buah filem menerima bantuan filem dalam bentuk geran
  • Sebanyak 4 buah filem menerima tajaan dalam bentu penaja utama

* Penaja Utama diklasifikasikan sebagai syarikat atau organisasi yang menyumbang tajaan hingga memperoleh hak eksklusif mempamerkan logo di poster dan material promosi filem. Ini tidak termasuk penaja kecil dengan jumlah tajaan yang kecil.

4.0 ISU BERBANGKIT

4.1 Pelaburan

Dalam memperkatakan tentang pelaburan industri filem, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, secara rambang, kemasukan pelabur dalam bidang perfileman khususnya penerbitan dan pemameran (pawagam) semakin meningkat.

Dalam bidang penerbitan, kebanyakan pelabur baru terdiri dari pelabur individu dan syarikat persendirian. Ini turut dipengaruhi oleh bantuan dan skim pinjaman yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC). Kemunculan pelaburan baru dari sektor korporat pula sangat perlahan dengan bergantung kepada pelabur sedia ada seperti Media Prima Berhad (melalui anak syarikat Primeworks Studio Sdn Bhd) dan Astro All Asia Network (melalui anak syarikat Astro Shaw Sdn Bhd & Tayangan Unggul Sdn Bhd).

Ketidakyakinan para pelabur korporat diyakini atas faktor industri perfileman sendiri yang dilihat tidak mempunyai jaminan pulangan yang pasti disamping ketiadaan persekitaran industri yang kondusif dan diyakini. Ini dilihat apabila pihak kerajaan sendiri tidak memberikan keyakinan terhadap industri ini. Ini dapat dilihat apabila pelaburan langsung asing (FDI) bagi bidang ini tidak memperoleh sebarang insentif khusus serta dapat dilihat daeri pengangihan bajet negara setiap tahun. Bajet 2011 yang dibentang oleh YAB Perdana Menteri pada 15 Oktober 2010 hanya memperuntukkan sekitar RM200 juta atau 0.09 % dari bajet negara untuk perolehan industri kreatif. Jumlah tersebut pasti lebih rendah bila dibahagikan kepada semua bidang dalam industri kreatif termasuk industri filem cereka. Ini secara tidak langsung memperlihatkan kurang keyakinan pihak kerajaan secara langsung kepada industri filem cereka yang pastinya turut mempengaruhi keputusan para pelabur.

4.2 Pinjaman

Setakat ini, tiada organisasi perbankan yang pernah menawarkan khidmat pinjaman khusus bagi penerbitan filem cereka. Namun, terdapat dua dana pijaman kerajaan yang dikendalikan oleh dua buah bank berkaitan kerajaan.

Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) – FINAS/ SME Bank

Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) bertujuan untuk membantu dan meningkatkan pembangunan industri perfileman cereka tempatan. Tabung ini diwujudkan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi Kebudayaan (KPKK) untuk industri perfileman negara dibawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan diletakkan dibawah Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) sebagai agensi pelaksana.

Ia menyediakan modal produksi sehingga 90% kos penerbitan bagi menggalakkan pengeluaran filem cereka tempatan. Keutamaan kepada syarikat filem tempatan yang baru dan belum established namun berupaya menyediakan sumbangan daripada kos produksi untuk menyempurnakan filem yang dicadangkan serta keupayaan membayar balik pinjaman. Keutamaan juga diberikan kepada Pengarah-Pengarah Syarikat/Filem mempunyai pengalaman dan/atau rekod prestasi produksi filem yang baik.

Isu yang timbul dikalangan para pemohon yang melihat pinjaman ini mempunyai syarat yang begitu rigid. Salah seorang peminjam menyatakan banyak masalah timbul ketika proses produksi dan pasca produksi akibat faktor itu. Katanya, pinjaman syarikatnya telah diluluskan dengan pengeluaran secara berperingkat, namun syarat pengeluaran wang sebanyak empat kali itu begitu ketat dan tidak sesuai dengan gerak kerja dalam industri filem. Pihak bertanggungjawab terutamanya pihak bank harus memahami terlebih dahulu gerak kerja industri filem (yang berbeza dengan industri lain) sebelum menyatakan setiap syarat dan kriteria.

Dana Industri Kreatif – KPKK / BSN

Lanjutan dari pembentangan Bajet 2010 oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 23hb. Oktober 2009, sebanyak RM200 juta dana telah diperuntukkan sebagai pemangkin kepada pembangunan aktiviti industri kreatif seperti penerbitan filem, muzik, animasi, pembangunan dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.

Bank Simpanan Nasional (BSN) telah diberi mandat oleh Kerajaan untuk menguruskan dana yang diperuntukan dengan menyediakan kemudahan pinjaman untuk membiayai keperluan kewangan bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam industri tersebut. Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan pula dilantik sebagai urusetiapermohonan.

Kemudahan Pinjaman ini menawarkan kadar faedah yang kompetitif dimana permohonan akan dipermudahkan bagi memastikan pembangunan dan perkembangan industri tersebut mencapai hasrat kerajaan dengan jayanya.

Kemudahan Pinjaman Industri Kreatif ini layak dipohon oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan aktiviti industri kreatif seperti Pemilik Tunggal, Pemilik Bersama dan Syarikat Sdn Bhd. Entiti perniagaan mestilah dikuasai sekurang-kurangnya 51% oleh warganegara Malaysia.

Namun begitu, timbul isu tentang ketelusan kelulusan bagi pinjaman ini. Ini apabila panelnya terdiri daripada penerbit yang mempunyai kepentingan langsung dalam perniagaan filem. Beberapa syarat dan kriteria seperti kewajipan untuk para peminjam menggunakan khidmat syarikat panel yang dilantik juga dipertikai apabila kebanyakan syarikat panel tersebut dimiliki oleh pihak-pihak tertentu.

4.3 Penajaan

Mendapat penajaan bagi filem cereka adalah salah satu proses yang sukar. Statistik peruntukan terbesar bagi pengiklanan dan promosi bagi syarikat-syarikat di Malaysia dikuasi oleh tiga syarikat penyedia khidmat telekomunikasi utama di Malaysia iaitu Maxis Bhd, Celcom Axiata Bhd dan Digi.

Ketiga-tiga syarikat tersebut pernah muncul sebagai penaja utama filem cereka Malaysia, namun hanya syarikat Celcom Axiata Bhd yang memperlihatkan komitmen yang konsisten dalam hal ini. Naib Presiden (Pemasaran) Celcom Axiata, En Zalman Affendi selaku individu yang bertanggungjawab dalam hal ini menyatakan bahawa ini kerana komitmen Celcom Axiata Bhd selaku sebuah jenama Malaysia terhadap industri filem tempatan. Namun katanya, ia masih bergantung kepada sejauh mana cerita sesebuah filem itu sesuai dengan khalayak sasaran syarikat serta tidak bercanggah dengan imej korporat syarikat terbabit.

Ahmad Puad Onah, Pengurus Besar Filem Primework Studio Sdn Bhd menyatakan bahawa meskipun syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat penerbitan filem yang kukuh dan dikenali, ia masih belum mampu meyakinkan para penaja. Penaja kebiasaannya hanya tertarik kepada filem untuk pasaran urban khususnya filem berkisar remaja bandar. Ini mengecilkan potensi penajaan bagi filem-filem terbitan mereka lain yang pastinya dengan kisah dan latar yang pelbagai.

5.0 CADANGAN

Dalam memberikan cadangan dan pandangan, ia haruslah berifat relevan dan realitistik dengan situasai dan kemampuan semasa industri kini. Ini bagi memastikan cadangan ini praktikal dan tidak hanya menjadi `angan-angan` yang tak tercapai.

Dalam konteks industri kini, saya ingin mencadangkan tiga cadangan yang dirasakan praktikal buat masa ini.

5.1 Menceburi Jualan Awal (Pre-Sale)

Bagi industri filem di negara maju, jualan awal atau pre-sale adalah salah satu pendekatan yang digunakan bagi mendapatkan modal bagi penerbitan filem, terutamanya bagi judul-judul yang mempunyai reputasi dan penjenamaan yang baik. Ini adalah pendekatan paling mudah tanpa perlu melalui syarat ketat pelaburan, pinjaman mahupun penajaan.

Ia mungkin salah satu yang harus diceburi oleh penerbit Malaysia secara berperingkat sebagai salah satu sumber dalam mendapat modal membiayai penerbitan filem mereka. Ini membolehkan para penerbit tidak terlalu bergantung kepada pinjaman, tajaan mahupun pelaburan dari modal sendiri.

5.2 Pengukuhan Pelabur Korporat

Dengan tidak menafikan kepentingan pelaburan individu dan syarikat persendirian, pertambahan pelabur korporat khususnya dari syarikat senarai awam (public listed company) dirasakan perlu kerana secara tidak langsung mampu membina reputasi sebuah industri yang kukuh dan diyakini. Ini sangat penting bagi meyakinkan pengurus dana dalam membawa masuk pelabur ke dalam industri. Begitu juga dengan pelaburan dari syarikat-syarikat modal teroka (venture capital) dan syarikat dana ekuiti persendirian.

Ini hanya dapat dilaksanakan apabila pihak kerajaan mengemukan insentif dan persekitaran pasaran & pelaburan yang kondusif dalam menarik perhatian para syarikat pengurus dana pelaburan ini.

5.3 Mewujudkan Syarikat Studio Sebagai Pelabur

Dalam menggalak kemunculan karyawan dan penerbit muda, kewujudan syarikat pelabur penerbitan filem berasaskan sistem studio dirasakan perlu, sekaligus mampu menggalak pertumbuhan industri. Dalam konteks Malaysia, dalam masa terdekat, kita memerlukan sekurang-kurang satu syarikat pelabur/ studio yang memfokuskan kepada pelaburan penerbitan filem. Mungkin pihak kerajaan, melalui Goverment Linked Company (GLC) boleh memainkan peranan dalam mengisi keperluan ini. Kewujudan syarikat pelabur yang mengkhususkan kepada pelaburan dengan urusan produksi dijalankan oleh syarikat produksi akan mewujudkan pengkhususan yang lebih sistematik sepertimana diamalkan di negara maju khususnya Holllywood. Ia juga membuka ruang kepada tenaga muda tempatan berbakat yang menghadapi masalah modal untuk melaksanakan projek mereka. Dengan cara ini, syarikat produksi milik mereka akan lebih fokus terhadap produksi dan penghasilan produk yang lebih baik dengan hal kewangan, pemasaran, pengedaran dan analisis pasaran dijalankan oleh syarikat studio yang lebih memiliki kepakaran dalam bidang pelaburan dan strategi perniagaan. Pengkhususan ini mewujudkan sebuah industri yang lebih profesional dan sistematik, sekaligus menarik keyakinan pelabur korporat asing.

6.0 PENUTUP

Seperti yang dinyatakan terdahulu, survival dan daya tahan industri perfileman dalam memastikan ia relevan dengan cara hidup hari ini bergantung kepada keupayaannya memainkan peranan dalam sistem urusniaga dan ekonomi. Mahu atau tidak perfileman harus berdiri sebagai sebuah industri, dengan kata lain mampu menjadi penyumbang kepada ekonomi.

Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang baru dilancarkan baru-baru ini harus menyedarkan para penglibat industri terhadap hal ini. Setiap pengurus harus menyedari bahawa industri filem harus berdiri sebagai sebuah industri dominan yang relevan dan memainkan peranan jelas dalam KDNK negara sekiranya mahu industri ini `dipandang` oleh pihak kerajaan dan juga para pelabur. Perhatian kedua pihak ini amat diperlukan, dan ini menjadi tugas amat berat kepada para pengurus industri untuk memastikan industri filem berada dalam `agenda penting` kedua pihak ini.