ABOUT ME

Thursday, December 10, 2020

TITIK TENGAH DALAM MEMPERKASA KAWALAN & KEBEBASAN KANDUNGAN KREATIF

 

TITIK TENGAH DALAM

MEMPERKASA KAWALAN & KEBEBASAN KANDUNGAN KREATIF

 Oleh Ts Azharul Azmir Kamarulzaman


        Beberapa hari lalu heboh diperkatakan mengenai jawapan balas Menteri Komunikasi & Multimedia mengenai keperluan mendapatkan lesen bagi penerbitan video persendirian. Sekiranya kita membaca hansard parlimen atau menonton rakaman video terbabit, jelas kita dapat melihat bahawa kenyataan yang dipetik menjadi tajuk berita di kebanyakan media bukanlah jawapan yang keluar langsung dari mulut beliau.

YB Menteri hanya menjelaskan  segala yang termaktub dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Akta 244), yang secara tidak langsung jelas memperlihatkan akta tersebut meletakkan syarat sedemikian bagi kesemua bentuk penerbitan.

Walau penulis percaya bahawa YB Menteri sangat memahami bahawa akta yang dikuatkuasa sejak tahun 1981 tersebut sudah tidak praktikal, keengganan beliau menjawab sebaliknya boleh dilihat sebagai tindakan mengelak dari terperangkap; supaya sebagai seorang ahli kabinet, beliau tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan akta di Parlimen, dan seterusnya tercatat di dalam hansard parlimen.

Ini diperkukuhkan lagi oleh kenyataan media yang dikeluarkan beliau pada 24 Julai 2020 tentang komitmen kabinet untuk menilai dan meminda Akta 244, dalam memperkasa kebebasan media di media sosial.

Kita mengharapkan bahawa kenyataan media yang dikeluarkan tersebut bukan sekadar untuk meredakan ketegangan, tetapi menjadi satu iltizam, seterusnya disambut dengan proaktif oleh para penjawat awam dan penggubal polisi yang berkaitan - untuk segera merangka gerak kerja ke arah itu.

Bagi penerbit perfileman, khususnya yang cakna dan mengikuti rapat perihal perundangan dalam industri ini, sememangnya syarat pelesenan penerbitan, pengedaran dan pemameran sepertimana yang diperjelaskan di dalam Akta 244 merupakan sesuatu telah kita sedia maklum.

Dengan perkembangan teknologi dan platform baharu dalam talian termasuklah saluran media sosial serta OTT, menjadikan ekosistem perfileman dan kandungan kreatif telah banyak berubah - sekaligus keperluan untuk merombak Akta 244 menjadi sangat mendesak.

Buat yang tidak mengetahui, usaha untuk meminda Akta 244 ini telah berjalan sekian lama di peringkat kementerian dan agensi bertanggungjawab. Malah beberapa tahun lalu ia hampir dikuatkuasakan. Namun birokrasi memperlahankan usaha itu.

Jika mahu memperkatakan tentang kebebasan media secara lebih terperinci, sebenarnya Akta 244 bukanlah satu-satunya akta yang mampu mencapai hasrat tersebut. Beberapa akta lain seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) adalah lebih penting untuk disemak semula. Pastinya ia usaha yang mencabar apabila akan melibatkan beberapa kementerian, khususnya Akta 620 yang diletakkan di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selain itu, penapisan penontonan dalam dunia hari ini juga sedang berubah. Pendekatan penapisan secara mandiri (self-regulatory) semakin berkembang di kebanyakan negara. Dalam dunia tanpa sempadan pada masa kini – ditambah teknologi seperti VPN yang mampu memecah sebarang sekatan dalam talian - pendekatan penapisan yang rigid oleh kerajaan dilihat semakin kurang berkesan, malah boleh dianggap kurang relevan. Seketat mana pun penapisan oleh kerajaan, masyarakat tetap akan mendapat akses kepada pelbagai bahan tontonan tanpa tapisan ini.

Oleh itu, pendekatan kerajaan pada masa kini seharusnya tidak semakin autokratik, tetapi lebih untuk mendidik masyarakat bagi menjadi penonton yang bijak; dalam menapis dan menilai sendiri tontonan mereka. Peranan Lembaga Penapisan Filem contohnya tidak harus dilihat sebagai platform penguatkuasaan semata-mata, tetapi juga organisasi yang seharusnya edukatif.

Kita sedar bahawa perundangan itu harus wujud dalam melahirkan sebuah sistem kehidupan bermasyarakat yang harmoni, namun mekanismenya harus sesuai dan ideal dengan situasi semasa.

Ini termasuklah tentang bagaimana kita mengendalikan isu ancaman dari media asing yang cuba memporak-perandakan perihal dalaman negara kita, sepertimana yang berlaku dalam penerbitan dokumentari `Locked Up in Malaysia’s Lockdown` terbitan Al Jazeera.

Penulis amat berharap bahawa usaha menyuburkan kebebasan media harus diusahakan dengan penuh iltizam di semua peringkat – dalam masa sama gerakan mempertahankan kedaulatan negara harus terus diperkasakan.


Draf  tulisan untuk akhbar Berita Harian siaran 26 Julai 2020. (Tanpa suntingan)

No comments:

Post a Comment