ABOUT ME

Tuesday, April 1, 2014

DUNIA DARI LENSA MYDOCS


DUNIA DARI LENSA MyDocs

Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman


Bayangkan hidup kita jika setiap hari dipenuhi perkara yang sama. Bayangkan tidak wujud kesedihan, suka duka, gembira, debaran, teruja dan sebagainya. Pasti hilanglah nikmat dan makna sebenar apa yang kita panggil sebagai kehidupan.

Sebagai seorang peminat filem, saya menyedari bahawa dokumentari mempunyai peranan yang jelas sebagai medium dokumentasi masyarakat dan perakam zaman. Ia menjadi rakaman penting untuk bercerita tentang dunia dan manusianya. Kebanyakan pengarah filem cereka terkenal dunia bermula dari genre ini.

Menyorot kembali sejarahnya, dokumentari wujud selari dengan kewujudan filem sebagai medium manusia merakam dan bercerita sejak lebih seabad yang lalu. Ia berkembang menjadi satu platform propaganda yang begitu berkesan dalam separuh pertama abad ke-20. Sehingga kini, seiring perkembangan zaman, dokumentari turut berevolusi tidak kira dari sudut pembikinan, penceritaan mahupun fungsi dan matlamatnya.

Suatu ketika dahulu, saya masih ingat persepsi orang di sekeliling saya, termasuk saya sendiri yang menyatakan bahawa dokumentari adalah bentuk filem yang sangat membosankan, malah jauh berbeza dari filem cereka. Kisah benar, fakta dan kenyataan biasanya tidak cukup `indah` berbanding dunia ciptaan dalam cereka yang penuh warna warni.

Apabila saya membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam bidang perfileman, dokumentari diletak sebagai pilihan genre paling belakang. Dokumentari Malaysia ketika itu terlalu sinonim dengan penceritaan yang mendatar; lalu membosankan. Ilmu penceritaan semudah menaburkan fakta dan info begitu sahaja, atau dengan kata lain cukup sekadar bercerita; `gagap` atau `pelat `menjadi tidak penting.

Ketika itu, perihal inilah yang membezakan dokumentari kita dengan dokumentari antarabangsa. Sebagai contoh, saluran Discovery Network, saluran antarabangsa yang kita semua kenal mempunyai reputasi yang tinggi, tidak mengenal dokumentari sebagai dokumentari. Mereka sebaliknya lebih selesa memanggil ia sebagai `real-life entertainment`. Mereka memahami bahawa dengan perubahan pengetahuan manusia tentang dunia dan alamnya, turut akan merubah `apa yang manusia suka` dan `apa yang menyebabkan manusia suka`. Jadi, penceritaan dokumentari harus menjadi lebih interaktif, bersebab dan mempunyai emosi yang mampu menyentuh hati penonton.

Namun, dari sehari ke sehari, dokumentari Malaysia semakin memperlihatkan sinar. Persepsi saya terhadap dokumentari mula berubah. Kemunculan pengarah dan penerbit yang serius dalam membangunkan kualiti dokumentari Malaysia membawa kesan yang positif. Nama seperti David Moggie, Naguib Razak dan Harun Rahman memberitahu dunia bahawa Malaysia ini kaya dengan kisah yang hanya menanti masa untuk diceritakan.

Ia seakan menjadi pemula kepada gelombang dokumentari di Malaysia yang disusuli dengan kemunculan penggiat-penggiat lain, muda dan tua, seperti Zan Azlee dengan gaya jurnalis, Syirfan Indra dengan dokumentari sejarah, Jak Othman dengan dunia silat, Ahmad Yazid yang sebati dengan kisah jenayah, Kamal Ishak dengan jiwa sinematik, Mansor Puteh dengan roh Melayu Islamnya, dan ramai lagi.

Masing-masing berkarya dengan kepelbagaian pendekatan dan ideologi. Namun, perbezaan itu tidak penting. Yang lebih penting adalah dokumentari mula diraikan pada kedudukan yang sepatutnya.

Pada 26 Februari 2013, dalam satu majlis kecil berjiwa besar, MyDocs atau Persatuan Dokumentari Malaysia dilancarkan secara rasmi di Publika, Dutamas. Ini adalah usaha yang digerakkan oleh sekumpulan pembikin dokumentari tempatan yang mempunyai reputasi di kalangan penyiar antarabangsa, diketuai oleh Harun Rahman selaku Presiden.

Berbeza dari kelaziman majlis perlancaran yang biasa kita saksikan dalam `budaya Malaysia` seperti kata aluan yang panjang dari VIP, memotong riben, memukul gong, atau mungkin dengan gimik persembahan bunga api, majlis pelancaran MyDocs sebaliknya diisi dengan tayangan filem dokumentari 5 Broken Cameras, sebuah dokumentari catatan Emad Burnat  selaku pengarah yang menetap di Palestin dan kisahnya menghadapi kekejaman rejim Zionis. Dokumentari ini  menjadi finalis dalam Academy Awards 2012. Sessi tayangan diikuti diskusi santai mengenai filem dokumentari yang sarat dengan nilai kemanusian itu.

Mungkin masih terlalu awal untuk saya memuji atau mengkritik MyDocs, tapi setidaknya ia menjadi simbol harapan dokumentari Malaysia pada masa depan. Usaha melahirkan pembikin yang lebih bijak dari penonton; sepertimana yang seharus begitu sejak sekian lama.

Pada ketika banyak persatuan perfileman memberikan tumpuan aktiviti terhadap perihal berkempen menambah keahlian, mesyuarat ke sana sini, menyampaikan mock cheque bantuan kebajikan kepada ahli, sessi-sessi bertemu menteri, atau mungkin lebih sibuk merebut jawatan Presiden dan sebagainya, MyDocs tampil berbeza dengan memberikan fokus yang lebih jelas terhadap usaha aktiviti meningkatkan kualiti dokumentari Malaysia. Kualiti dari segenap sudut mengikut cara, pegangan dan interpretasi masing-masing. MyDocs percaya untuk meraikan kepelbagaian.

Aktiviti utama yang dirancang adalah menganjurkan seberapa kerap sessi tayangan pelbagai dokumentari tempatan dan antarabangsa, diikuti sessi diskusi bagi membicarakan tentang dokumentari tersebut dari segenap aspek termasuklah kualiti penerbitan, gaya pengarahan dan penceritaan, apresiasi estetika, malah juga aspek pemasaran & pembiayaan.

Selain itu, MyDocs turut membantu dalam menjadi pemudahcara kepada para ahli untuk meneroka ruang potensi dan hubungan baik dengan penyiar & pengedar di peringkat tempatan dan antarabangsa. Dengan bantuan pembiayaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), MyDocs juga membantu mengemukakan nama ahlinya yang berpotensi untuk menyertai delegasi Malaysia ke forum, seminar dan pasar kandungan kreatif di seluruh dunia.

Keterujaan saya untuk meraikan semangat MyDocs dalam majlis pelancaran malam itu sedikit terganggu apabila dalam satu perbualan santai selepas selesai majlis, salah seorang tetamu yang hadir dalam majlis tersebut menyatakan kepada saya bahawa usaha meningkatkan kualiti tidak sepatutnya menjadi keutamaan MyDocs. MyDocs silap katanya. Menurut beliau lagi, sebagai sebuah persatuan, MyDocs harus berperanan membantu ahli untuk mendesak kerajaan supaya menyediakan peruntukan yang lebih besar kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi membolehkan lebih banyak syarikat penerbit dokumentari mendapat projek penerbitan. Katanya, tugas melatih pembikin, itu adalah tugas universiti. Inikah yang sewajarnya pendapat yang keluar dari mulut seorang tetamu yang merupakan seorang VIP merangkap `orang lama` dalam bidang perfileman?

Perihal pembiayaan tidak kira secara pelaburan, commisioning, JV atau apa sahaja memang penting, tetapi apa manfaatnya semua itu jika kualiti dokumentari terus terhenti pada gaya 1970-an?

Bagi saya, inilah masalah sebenar kita. Mentaliti tinggalan projek drama swasta RTM tahun 1980-an masih membelenggu penerbit kita, yang majoritinya masih menganggap penerbit seperti kontraktor pembinaan; menunggu tender dibuka, berebut memenangi bidaan dan  seterusnya “jika ada konkrit pasang siap lebih bagus!”.

Momentum kebangkitan dokumentari Malaysia dikalangan penyiar antarabangsa bermula pada pertengahan 2000-an apabila Tan Sri Dr Rais Yatim yang ketika itu menjawat jawatan menteri memulakan inisiatif dokumentari untuk pasaran antarabangsa melalui penyelarasan FINAS. FINAS bernasib baik kerana `berkenalan` dengan penerbit-penerbit yang baik seperti Harun, Lina Teoh, Nandita, Lydia Lubon, Rudi Affendi Khalik dan ramai lagi yang masih punya kewarasan bahawa gelanggang pembikinan dokumentari bukan trek lumba lari; mengukur siapa lebih pantas, atau bukan juga pusat pembiakan ayam; melihat ayam mana bertelur lebih banyak.

Dalam dunia hari ini yang semakin kompleks, dan orang membikin dokumentari dengan pelbagai cara dan tujuan, MyDocs jelas memperjuangkan apa yang paling asas dalam dokumentari; cerita & penceritaan yang berkualiti, diikuti produksi yang tidak sekadar `visual yang cantik di mata`, tetapi bersesuaian mendukung kisah yang dibawa.

Dunia dari kaca lensa MyDocs lebih indah, kadangkala mendebarkan. Penuh makna dan penuh dengan duka gembiranya, ada kesakitan dan ada kepuasan. Ada gundah gulananya. Itulah yang membawa dokumentari lebih dekat dengan jiwa kita.


Sunday, July 15, 2012

PENYELIDIKAN INDUSTRI : MEMBINA REPUTASI INDUSTRI FILEM MALAYSIA


PENYELIDIKAN INDUSTRI :
MEMBINA REPUTASI  INDUSTRI FILEM MALAYSIA

Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman


Pengenalan

Industri kandungan kreatif global dan Malaysia berkembang pesat, tetapi adakah industri filem Malaysia (dalam konteks ini penulis klasifikasikan sebagai filem cereka & filem dokumentari) turut berkembang?

Jika berkembang, adakah kadar pertumbuhannya pada kadar yang sepatutnya atau selari dengan kadar pertumbuhan industri kandungan kreatif keseluruhannya?

Adakah penyertaan pelabur baru  semakin meningkat atau hanya bergantung kepada pelabur  sedia ada? Dari pelabur sedia, sejauh mana  penglibatan syarikat senaraian awam (public listed  company) berbanding syarikat persendirian (private company) yang dilihat lebih menyerlah kedudukannya? Berapa peratusan dan  kadar peningkatan dari pelabur korporat, dan jika masih rendah, adakah ia memperlihatkan  ketidakyakinan dari pemodal korporat ini terhadap industri filem  negara?

Persoalan-persoalan di atas bukan berniat untuk menafikan pembangunan industri filem Malaysia, tetapi apa yang ingin penulis sampaikan, kita tidak harus melihat segalanya secara makro, tetapi harus mempunyai statistik terperinci dalam mengkaji perkembangan industri filem tanah air. Hanya melalui ketelitian kita dalam melihat dan mentafsir sesuatu gelombang tersebut, barulah kita dapat memahami secara tepat sesuatu persoalan sekaligus membantu kita dalam membuat perancangan jangka panjang dan jangka pendek yang tepat, relevan dan praktikal.

Semua jawapan kepada persoalan diatas hanya dapat dijawab melalui penyelidikan industri (industrial research) yang mendalam dan terperinci.

Penyelidikan industri yang penulis maksudkan adalah penyelidikan aplikasi (applied research)  yang menjurus penyelidikan industri filem dalam konteks sebuah industri. Pemerhatian rambang penulis menjelaskan bahawa terdapat kekosongan  yang besar dalam bidang ini. Kebanyakan institut pengajian tinggi menjurus penyelidikan filem dalam konteks pengajian sosial (social studies) mahupun pengajian filem (film studies).

Oleh kerana itu, langkah proaktif harus diambil bagi menangani hal ini, tanpa menafikan usaha dan kepentingan penyelidikan dalam konteks lain yang dinyatakan di atas.


Diversiti & Hibriditi Industri Filem

Semua sedia maklum, industri filem merupakan salah satu bidang dalam industri kandungan kreatif yang penuh kepelbagaian. Dalam senario semasa, industri filem tidak lagi harus dilihat secara konvensional yang hanya berkisar dalam penerbitan, pengedaran & pemameran semata-mata. Ia tidak dapat lari dari terlibat sama dalam silang-industri (industrial-cross) dengan industri yang lain.

Kita tidak boleh melihat senario ini secara menyeluruh semata-mata, sebaliknya harus mempunyai maklumat terperinci bagi setiap bidang bagi memastikan setiap daripadanya mampu digabung-jalin secara sebaiknya.

Hubungkait industri filem dalam bidang teknologi (peralatan produksi, medium & aplikasi tayangan), harta intelek (penjenamaan, merchandise, pengiklanan), sumber manusia (bakat kreatif, pengurusan, teknikal), perlancongan (lokasi penggambaran), penyelesaian perniagaan/ pelaburan dan sebagainya memerlukan pemahaman yang terperinci kepada pengurus industri ini secara profesional.

Hal ini telah menjadikan industri filem sebagai sebuah industri yang semakin kompleks. Ini menambahkan lagi keyakinan penulis bahawa penyelidikan merupakan satu aspek yang tidak harus diketepikan. Jika tidak dimulakan sekarang, industri ini akan menjadi sebagai sebuah industri yang `semakin kurang difahami` (pastinya menyukarkan sebarang keputusan pelaburan ke dalam industri ini terutama di kalangan potensi pelabur korporat).



Rujukan Lanksap Industri

Penulis amat gembira melihat kepemimpinan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional  (FINAS) kini semakin aktif menggerakkan sinergi industri filem Malaysia dengan beberapa inisiatif kerajaan yang lain seperti Program Tranformasi Ekonomi (ETP), Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Wilayah Pembangunan Iskandar (Iskandar Malaysia). Hal ini telah lama penulis suarakan melalui pelbagai hasil penulisan terdahulu. Akhirnya, kepemimpinan FINAS telah menggerakkan hal ini secara besar-besaran. Dalam usaha tersebut, penulis mencadangkan beberapa hal lain yang harus diberikan perhatian oleh pihak FINAS.

Kita telah mempunyai pelbagai program dan pelan induk pembangunan industri termasuklah Dasar Filem Negara (DFN), Dasar Industri Kreatif (DIKN) dan inisiatif-inisiatif di atas. Namun, yang menjadi permasalahan utama, pelan tindakan dirangka dan dipacu secara tidak bersepadu. Integrasi menjadi masalah utama dalam perancangan pelan induk dan pelan tindakan yang dirangka. Sebagai contoh, pelan tindakan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) dilihat tidak selari dengan yang telah digariskan dalam NKEA Kandungan Komunikasi & Infrastruktur ETP.  Pada penulis, ini yang membezakan industri kita dengan industri maju yang lain.

Hal ini mungkin tidak dapat dikesan jika melihat secara rambang. Ia hanya akan dapat dilihat sekiranya penyelidikan industri dilakukan oleh golongan yang pakar dan arif dalam industri kandungan kreatif konteks industri.

Selain itu, hasil penyelidikan industri yang dijalankan bakal membantu usaha memperlengkapkan `pusat sumber` untuk para pengamal bagi memahami lanskap industri filem Malaysia. Ini termasuklah dari aspek ekonomi, teknologi, penontonan, harta intelek dan lain-lain. Ia seterusnya dapat membantu dalam menjadi rujukan mengenai industri kepada pelbagai bidang dan pelbagai pihak termasuklah penyelidik, mahasiswa, penggiat, pentadbir, dan sebagainya. Pastinya ia akan menyuburkan budaya penyelidikan dan pembangunan  (R&D) dalam industri ini, sepertimana yang diamalkan  oleh industri maju di serata dunia.

Bidang penyelidikan industri ini mempunyai kepentingan yang amat besar, tidak kira secara langsung mahupun secara tidak secara langsung. Selain dari hal di atas, penulis melihat satu kepentingan tidak secara langsung, tetapi memberikan kesan yang amat besar terhadap pembangunan industri ini dalam jangka masa panjang; ialah bagi membina keyakinan masyarakat umum dan potensi pelabur terhadap keseriusan industri filem Malaysia.


Persepsi Masyarakat Umum

Harus diakui, masyarakat Malaysia, termasuk golongan menengah dan ke atas, masih belum dapat melihat industri filem sebagai satu industri yang serius. Mereka masih belum dapat melihat bidang ini setaraf kerjaya profesional yang lain seperti bidang perubatan, kejuruteraan, dan lain-lain. Tidak dinafikan gelombang industri teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan industri kreatif mula membuka mata umum, namun masih ramai belum dapat melihat kedudukan industri filem dalam gelombang ini.

Mungkin pada pandangan sesetengah pihak, persepsi masyarakat umum khususnya golongan yang tidak mempunyai hubungan langsung dengan industri filem tidak memberikan impak besar terhadap pembangunan industri selain dari hanya menjadi penonton dan pengguna.

Tetapi harus disedari bahawa, dalam usaha menggalak bakat serta barisan pelapis dalam industri ini, tidak kira dalam aspek kreatif serta pengurusan, masyarakat umum harus mempunyai keyakinan terhadap industri ini sebagai industri yang serius.

Hanya setelah masyarakat, khususnya golongan ibu bapa  mempunyai keyakinan terhadap industri ini sebagai sebuah industri yang dalam kata mudahnya, mampu menjamin masa depan, barulah mereka akan memberikan galakan, atau sekurangnya kebebasan kepada anak-anak mereka untuk menceburi bidang ini secara serius.

Ini seterusnya akan memberikan ruang untuk para pelapis industri ini mendapat pendidikan formal dalam bidang ini seawal di peringkat remaja, mahupun di peringkat universiti. Oleh yang demikian, dengan memperlengkapkan industri ini dengan budaya penyelidikan, ini dapat membantu menarik `kepercayaan` ini.

Bila ini semua menjadi kenyataan, industri filem tidak akan ketandusan  pengurus, penyelidik, pemudahcara, perunding dan pengedar dan lain-lain yang terlatih secara formal dan  profesional. Barisan ini akan membantu para karyawan/ pengarah filem dalam mengerjakan hasil seni mereka secara penuh telus dan jujur.


Keyakinan Pelabur

Seperti yang seringkali penulis tegaskan, industri didukung oleh dua elemen utama iaitu pasaran dan pelaburan.

Seiring matlamat pentadbir industri dalam menggalakkan pelaburan dalam industri ini, tidak kira Pelaburan Langsung Domestik (DDI) mahupun Pelaburan Langsung Asing (FDI), pelabur harus mempunyai keyakinan terhadap industri ini dalam dua elemen utama; kekukuhan pasaran dan keanjalan terhadap sebarang perubahan trend pasaran.

Pelabur akan melihat kepada dua elemen ini. Hanya setelah keyakinan terhadap sesebuah industri, pilihan pelaburan diputuskan. Jika kita gagal memperlihatkan industri filem di Malaysia sebagai sebuah industri yang mempunyai reputasi, kita akan kehilangan potensi pelaburan yang mampu menjana perkembangan industri.

Lebih teruk dari itu, kita akan kehilangan keyakinan dari para pihak pengurusan tertinggi kerajaan kita sendiri tentang kepentingan yang mampu industri ini mainkan dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Jika ini berlaku, pastinya sukar bagi kita menawarkan pelbagai insentif seperti pengecualian cukai dan sebagainya kepada potensi pelabur. Situasi timbal balik ini akhirnya membuatkan industri filem Malaysia semakin lama semakin perlahan dan hilang daya saingnya.

Selain itu,  sebagai sebuah industri, industri filem hanya mampu membangun secara konsisten dengan `kesetiaan` dari pelabur. Pelabur yang serius akan tetap bertahan dalam industri untuk bersama-sama pentadbir mendepani sebarang isu mahupun senario perubahan dalam industri serta mencari penyelesaian yang paling ideal. Kita tidak mahu pelabur `bidan terjun` atau `mee segera` yang hanya mengambil kesempatan dalam perkembangan industri ini. Golongan ini hanya akan menjadikan industri dalam hala tuju yang tidak menentu.

Usaha menarik pelaburan asing juga adalah salah satu pendekatan yang relevan dalam memperkembang industri filem di Malaysia. Penyertaan dari syarikat gergasi penerbitan dari luar negara pasti memberikan nilai tambah kepada industri dari sudut kredibiliti. Namun, secara perkiraan mudahnya, kita sendiri dapat melihat kesukaran untuk kita menarik pelabur asing jika syarikat modal teroka (venture capital) di negara kita sendiri kurang yakin dengan industri ini.

Penulis amat berharap, seiring perkembangan bidang penyelidikan industri dalam industri filem Malaysia, ia akan memberikan persepsi positif terhadap industri ini dikalangan pelabur  korporat ini.


Peranan Pentadbir & Institusi Penyelidikan

Jika dilihat dari sudut pandang  pentadbir, penulis dapat melihat peningkatan kesedaran terhadap  penyelidikan industri yang semakin subur dikalangan pentadbir industri. Ini termasuklah di organisasi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Unit Perlaksanaan & Pengurusan Prestasi (PEMANDU), Multimedia Development Corporation (MDEC) dan sebagainya.

Namun, harus diakui usaha dari pihak pentadbir sahaja tidak mencukupi. Organisasi ini adalah badan pentadbir yang mempunyai bidang tugas yang amat luas dan mencabar. Tugas mentadbir sebuah industri yang berpotensi dan berkembang ini adalah suatu tugas yang bukan mudah. Mereka tidak seharusnya dibebankan lagi dengan penyelidikan industri yang pastinya menuntut skill dan kemahiran yang berbeza.

Penulis mencadangkan agar badan pentadbir ini bagi mendapatkan kerjasama dan khidmat dari institut pengajian tinggi dan organisasi penyelidikan yang berkecuali dalam mendapatkan maklumat berkaitan mahupun menjalankan penyelidikan bagi pihak mereka. Hasil penyelidikan dari badan berkecuali, meski dibiayai oleh organisasi pentadbir, pastinya mempunyai reputasi dan kredibiliti lebih tinggi dari aspek ketepatan dan ketelusan.


Penutup

Boleh disimpulkan,  idea besar yang ingin penulis sampaikan di atas adalah berkisar ke arah membina sebuah industri yang mempunyai reputasi tinggi. Penyelidikan industri mampu salah satu elemen yang membantu ke arah usaha ini.

Penyelidikan akan memberikan reputasi yang positif terhadap industri filem Malaysia kepada semua pihak.  Lebih penting dari itu, ia bakal menyediakan maklumat-maklumat tepat dan terperinci dalam membantu menyediakan tapak asas yang kukuh terhadap gerakan pembangunan industri ini.

Semoga gandingan semua pihak termasuk pentadbir, penyelidik, penggiat, pelabur, penonton dan sebagainya mampu membina industri filem sebagai sebuah industri yang kondusif dan kompetatif, sekaligus memperkukuh industri filem dalam `meraikan` peradaban abad ke-21.

CABARAN INDUSTRI FILEM MALAYSIA TAHUN 2012

CABARAN INDUSTRI FILEM MALAYSIA TAHUN 2012 : 
MEMUPUK APRESIASI PENONTON DALAM MEMBINA PASARAN KONDUSIF 
 Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman

Pengenalan

Filem adalah sebuah bidang yang sangat unik. Sejarah filem dunia berusia lebih seratus tahun telah melalui pelbagai perubahan dari seluloid hingga ke digital. Filem bukan sekadar produk yang diniagakan bagi tujuan kewangan, namun mempunyai nilai yang cukup besar dari aspek sosial dan juga estetika. Ia bersifat maya, melangkau ruang dan waktu. Meski dirujuk sebagai karya seni serta mempunyai asas sosial yang kuat, filem juga tetap relevan dari perspektif sistem kitaran ekonomi. Dalam bidang akademik sendiri, filem mampu dikaji dari pelbagai sudut. Dari sudut kajian indsutri (industrial research), pengajian sosial (social studies), pengajian filem (film studies), penerbitan filem (film production) dan pelbagai lagi. Ia boleh dikaji secara kuantitatif mahupun kualitatif, boleh dihujah sebagai pure research mahupun sebagai applied research.

Tahun 2012. Jika filem Laila Majnun terbitan tahun 1932 diambil kira sebagai filem pertama Malaysia, industri filem tempatan akan menyambut ulang tahunnya yang ke-80 pada tahun ini. Ia satu tempoh yang cukup panjang. Dengan senario semasa, filem kini telah menjadi sebuah industri. Dalam usaha berterusan membangun industri filem, kita harus semakin membuka mata bahawa filem bukan hanya berkisar kepada tayangan di panggung. Kecanggihan teknologi yang semakin hari semakin meningkat termasuklah aplikasi mudah alih, jaringan IPTV, pay-per-view TV dan kemunculan talian 4G sedikit sebanyak mula mengalihkan peranan panggung wayang sebagai platform penontonan filem kepada platform yang lain. Malah, tidak mustahil bahawa suatu hari nanti, dengan kemunculan pelbagai lagi aplikasi lain, mungkin panggung wayang sudah tidak relevan sebagai medium penontonan. Namun, walaupun begitu, filem akan tetap wujud dalam kondisi dan pendekatan penyebaran yang berbeza dan semasa. 

Itulah kompleksiti filem dalam dunia hari ini. 

Oleh itu, dalam meneruskan kelangsungan `penerimaaan` filem dalam konteks semasa dan akan datang, beberapa perkara harus diambil kira. Industri filem khususnya di Malaysia memerlukan pengurusan dan pentadbiran oleh golongan yang memahami tuntutan dari kedua-dua aspek, apresiasi filem serta keperluan sistem ekonomi. 


Pelaburan 

Sejarah membuktikan sesuatu bidang itu hanya akan bertahan apabila ia mempunyai `tempat` dan memainkan peranan dalam sistem kitaran ekonomi. Banyak contoh seni persembahan terdahulu yang semakin pupus apabila gagal bersaing dalam sistem kitaran ekonomi ini. Kepupusan beberapa persembahan tradisional boleh dilihat sebagai contoh yang sesuai dalam hal ini. 

Oleh yang demikian, dalam memainkan peranan dalam kitaran tersebut, kita tidak dapat lari dari memperkatakan tentang usaha menggalakkan pelaburan. Pelaburan menjadi kata kunci paling penting dalam membina daya tahan industri filem, sekaligus memastikan filem terus relevan dalam kehidupan masyarakat semasa. 

Dalam konteks industri filem Malaysia semasa, hasil tinjauan penulis pada tahun penghujung tahun 2010 mendapati bahawa industri filem tempatan masih dikuasai oleh pelaburan langsung tempatan (DDI). Tidak menafikan peranan yang dimainkan oleh pelabur tempatan, industri filem Malaysia khususnya bagi filem cereka harus turut menggalak ruang dan peluang bagi pelaburan langsung luar negara (FDI). Hal ini penting dalam terus mempertingkatkan nilai dagangan industri ke tahap lebih tinggi, sekaligus memainkan peranan penting dalam Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang menjadi pelan induk pembangunan ekonomi negara kini. 

Dalam senario terkini, penulis dapat melihat kefahaman dan keseriusan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) melalui Festival Dokumentari FINAS dalam menggalak pelaburan luar negara untuk industri dokumentari tempatan. Ini termasuklah dalam usaha menggalak kerjasama secara commisioning, pelaburan serta penerbitan bersama (co-production) melalui pelbagai aturcara yang disusun dalam acara tersebut.

Usaha dan pendekatan yang baik ini harus turut diaplikasi dalam Festival Filem Malaysia pada masa akan datang. Ia akan menjadikan festival filem bukan sekadar tempat `berpesta` tetapi turut membina apresiasi filem yang tinggi dalam masyarakat penonton serta membuka ruang kepada potensi pelaburan yang baru kepada industri filem cereka yang selama ini terlalu bergantung kepada pelaburan tempatan dan juga skim pinjaman yang dikendalikan oleh pihak kerajaan melalui SME Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).


Apresiasi Filem 

Tinjauan rambang penulis mendapati, dalam membicarakan aspek pembangunan industri, ramai berpendapat bahawa usaha membina apresiasi, budaya filem dan `celik filem` dalam masyarakat adalah satu aspek dalam jalur matlamat yang lain. Pembangunan apresisasi filem selalunya dilihat sebagai satu usaha kemasyarakatan yang tidak bersangkutan dengan pembangunan industri yang jelasnya mengutamakan kira-kira dan untung-rugi dalam nilai Ringgit. Oleh yang demikian, tanggungjawab membina budaya `celik filem` ini sering diserahkan kepada pihak kerajaan semata-mata.

Namun, dalam hal ini, penulis berpendapat sebaliknya. Dalam kita asyik dalam usaha membina industri filem sebagai sebuah industri, usaha membudayakan filem dalam masyarakat adalah antara kompenen utama yang harus diambil kira. Dengan wujudnya sebuah masyarakat dan komuniti yang menghargai, mempunyai budaya apresiasi dan dalam kata yang mudah sebagai `celik filem`, ia bakal membina sebuah budaya penontonan yang sihat. 

Meskipun hasil penulisan penulis sebelum ini termasuk dalam majalah ekonomi tempatan iaitu Dewan Ekonomi begitu menegaskan kepentingan menggalak usaha meningkatkan jumlah dagangan pasaran dan kutipan filem tempatan, namun ingin penulis tegaskan disini bahawa ia bukan bermakna penulis menggalakkan penerbitan `mi segera` berasaskan tema dan genre popular semata-mata hingga mengabaikan kondisi sesebuah filem sebagai sebuah filem. 

Kini, dalam landasan industri filem yang semakin stabil, sudah masanya para penerbit dan pembikinan untuk tidak hanya memikirkan keuntungan jangka masa pendek, tetapi juga usaha membina budaya filem sebenar dalam masyarakat melalui penerbitan bergenre dan berkonsep pelbagai termasuk pendekatan alternatif yang pastinya akan membantu usaha membina keanjalan pasaran filem bagi tempoh masa yang lebih panjang.

Kegagalan dalam memahami dan bertindak dalam hal ini akan menjadikan industri filem tempatan sebagai industri yang bermusim, tidak mempunyai keanjalan situasi semasa serta gagal membina masyarakat penonton yang benar-benar menghargai filem sebuah sebuah filem. Jika ini berlaku, pasaran filem Malaysia hanya akan dipenuhi oleh penonton yang boleh dikategorikan sebagai penonton yang menonton sebagai aktiviti hiburan ringan, serta tidak mempunyai budaya penontonan yang tinggi. Tidak mustahil, sekiranya hal ini berterusan, industri filem tempatan akan lumpuh apabila muncul bentuk hiburan baru yang lebih interaktif dan terkini hasil perkembangan teknologi semasa.

Sudah pastinya, dalam sebuah masyarakat yang mempunyai tahap penghargaan yang tinggi terhadap filem, ia sekaligus bakal membina sebuah pasaran filem yang lebih kondusif. Pasaran filem akan berkembang dan membesar, menjadi lebih kukuh dan anjal terhadap sebarang perubahan gaya hidup semasa, sekaligus menawarkan kepelbagaian segmen pasaran termasuklah pasaran terhadap karya-karya alternatif. Saluran Sundace Channel yang kini ditayangkan hampir di seluruh dunia menjadi contoh terbaik bahawa karya alternatif mampu menjadi satu segmen pasaran yang berpotensi. 

Budaya filem yang mekar dalam masyarakat juga sekaligus akan membuka ruang kepada karyawan tempatan bagi memenuhi kedua-dua criteria, memenuhi kehendak pasaran sekaligus keperluan di festival antarabangsa. 


Pusat Sumber

Industri Selain membina apresiasi dalam masyarakat, satu aspek lagi yang kelihatan kurang diberi perhatian dalam pembangunan industri filem di Malaysia ialah kepentingan sebuah pusat sumber yang menjadi pusat sehenti rujukan kepada para penggiat, pengkaji dan pelabur dalam industri. Sebuah industri yang serius, sudah tiba masanya Malaysia mempunyai sebuah pusat sumber (resources centre) bagi industri filem. Sepertimana yang pernah dicapai dalam resolusi Forum Karyawan Filem Muda 2012 yang berlangsung baru-baru ini, pihak FINAS dilihat sebagai pihak paling ideal untuk memikul tanggungjawab ini. 

Pusat sumber yang lengkap termasuk dari segi statistik industri, hasil kajian/ penyelidikan, serta dokumentasi maklumat yang berkaitan industri filem akan membina sebuah industri yang lebih serius, sekaligus membina keyakinan pelabur luar negara terhadap keseriusan industri ini di Malaysia. 


Penutup

Dengan situasi ekonomi yang diramal tidak menentu sepanjang tahun 2012 ini, industri filem Malaysia bakal menghadapi cabaran yang besar sepanjang tahun ini. Namun, dengan landasan pembangunan industri yang semakin stabil, diharapkan pihak FINAS bersama agensi lain yang berkaitan mampu untuk mengendalikan industri ini dengan lebih terkawal serta progresif. Industri kreatif merupakan sebuah fenomena global dan bergerak dengan amat pantas. Kegagalan kita bersaing atas hanya alasan birokrasi pentadbiran adalah sesuatu yang amat harus dielakkan demi reputasi industri ini. Inilah bebanan yang harus dipikul oleh para pentadbir industri, dan harus disokong dengan penuh semangat dan tanpa berbelah bagi oleh penggiat dan karyawan filem Malaysia.


(Artikel untuk majalah Sinema  Malaysia, edisi Januari 2012)

Thursday, April 28, 2011

PASARAN & PELABURAN INDUSTRI FILEM CEREKA MALAYSIA

PASARAN & PELABURAN INDUSTRI FILEM CEREKA MALAYSIA :

PERMASALAHAN & PELUANG

Oleh Azharul Azmir Kamarulzaman


Pengenalan

Sejak akhir-akhir ini, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seringkali menyuarakan bahawa ekonomi negara harus mengubah pendekatan dari terlalu bergantung kepada pleaburan langsung asing (FDI) kepada pelaburan langsung domestik (DDI). Ia sebenarnya memberi gambaran bagaimana lanskap ekonomi global semasa kini telah berubah. Ekonomi harus diberi tafsiran dan pendekatan baru untuk mengendalikannya. Seiring dengan itu, perubahan kitaran ini juga memperlihatkan bagaimana industri kreatif menjadi semakin penting dan memainkan peranan besar dalam kitaran ekonomi global.

Kementerian Penerangan, Kebudayaan & Kebudayaan baru-baru ini mengumumkan bahawa industri kreatif negara menyumbang sejumlah RM6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Negara Singapura menyasarkan industri kreatif dan kandungan mereka akan menyumbang 10% dari GDP mereka dalam tempuh masa beberapa tahun akan datang. Setiap penglibat terutama pengurus industri harus menyedari kepentingan untuk terus mengangkat industri kreatif sebagai sebuah industri dominan yang relevan dan memainkan peranan jelas dalam KDNK negara sekiranya mahu industri ini `dipandang` oleh pihak kerajaan dan juga para pelabur. Perhatian kedua pihak ini amat diperlukan, dan ini menjadi tugas amat berat kepada para pengurus industri untuk memastikan industri filem berada dalam `agenda penting` kedua pihak ini.

Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang baru dilancarkan baru-baru ini juga memperlihatkan hal ini apabila menyatakan secara jelas bahawa industri kandungan dan industri kreatif sebagai salah satu bidang keberhasilan utama negara. Ini adalah peluang yang harus direbut oleh industri filem tempatan untuk berkembang pada kadar yang lebih komptetatif.

Dalam konteks industri filem cereka secara khusus, bagi memenuhi hasrat itu, industri ini mencapaikan peningkatan dalam pasaran berasaskan kepenggunaan/ penontonan khalayak perdana bagi memastikan industri ini terus relevan dan mampu memain peranan sebagai sebuah industri dalam sebuah negara membangun seperti Malaysia

Memahami sifat filem itu sendiri yang merupakan salah satu bentuk seni yang pastinya menimbulkan conflict of interest dalam hal ini, industri filem cereka harus ditadbir dan diurus secara profesional dan seimbang. Dengan bersifat sebagai sebuah karya seni, pastinya kadangkala berlaku percanggahan dengan kehendak pasaran semasa yang lebih berorentasi budaya popular. Klasifikasi filem sebagai komoditi ekonomi secara mutlak pula pasti akan tidak dipersetujui oleh sesetengah karyawan filem yang melihat filem sebagai medium mereka untuk berkarya, berekspresi mahupun mengupas permasalahan sosial semasa. Namun, jika mahu melihat industri filem cereka Malaysia, kedua-dua fahaman ini harus dilihat secara rasional dan seimbang. Dengan cara itu, barulah kita akan menemui pendekatan terbaik dalam mengendalikannya.


Penguasaan Pasaran Tempatan

Filem merupakan komoditi universal. Industri filem menjanjikan sebuah pasaran global yang semakin hari semakin berkembang. Bukan sahaja dari sudut pasaran antara negara, tetapi juga perkembangan teknologi yang memperkenalkan pelbagai platform penayangan. Ini sekaligus mempelbagaikan segmen pasaran bagi industri filem yang sememangnya bergantung besar kepada hasil dari jualan kutipan tiket dan jualan hak tayangan dan hak pengedaran (right).

Namun, dalam situasi semasa filem cereka tempatan yang masih belum mampu memainkan peranan besar dalam pasaran global, elok rasanya jika penulis memfokuskan terlebih dahulu kepada persoalan filem cereka Malaysia dalam pasaran filem tempatan, khususnya dari pemameran di pawagam

Sebagai filem cereka, pulangan yang paling menjadi tumpuan para pelabur dan penerbit semestinya dari kutipan di pawagam. Dalam tempoh lima tahun terakhir ini, kita dapat melihat jumlah kutipan filem cereka Malaysia di pawagam meningkat dari tahun ke tahun. Banyak pihak melihat peningkatan kutipan ini memperlihatkan pembangunan industri filem cereka Malaysia.

Persoalannya, sejauh mana peningkatan nilai kutipan pawagam tersebut dapat ditakrifkan sebagai pembangunan industri filem cereka Malaysia dalam erti kata sebenar. Bagi penulis secara peribadi, pembangunan industri filem cereka Malaysia, dalam konteks konteks filem sebagai komoditi ekonomi, tidak harus dinilai secara cetek sedemikian.

Peningkatan taraf hidup masyarakat yang sekaligus menaikkan harga tiket pawagam harus diambil kira. Selain itu, pertambahan jumlah penduduk di Malaysia juga harus diambil perhatian. Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan laporan awal, jumlah penduduk Malaysia pada Bancian Penduduk 2010 adalah berjumlah hampir 29 juta bebanding 24 juta sepuluh tahun dahulu.

Dengan peningkatan jumlah penduduk, peningkatan jumlah pawagam, serta peningkatan harga tiket, adakah kadar peningkatan nilai kutipan tiket filem cereka kita selari dengan kadar pertambahan tiga elemen tersebut.

Jika perbandingan dibuat, antara kutipan kebanyakan filem tempatan kini yang mengutip sekitar RM2 juta dengan filem Adik Manja tayangan tahun 1979 dengan kutipan yang hampir sama, pastinya ia harus dilihat sebagai penurunan pasaran.

Jika dahulu filem cereka Malaysia ditayang hanya sekitar 20 salinan filem, filem kini kebanyakannya antara 45 hingga 65 salinan, iaitu meningkat lebih 150%. Jadi, jika ia mengutip jumlah kutipan yang sama atau hampir sama, adalah sukar sekali untuk melihat ia sebagai peningkatan dalam pasaran.

Bolehkah filem Adnan Sempit yang mencatat RM7.66 juta dianggap lebih berjaya dari filem Sembilu 2 yang mengutip RM6 juta lebih 15 tahun yang lalu? Ini belum mengambil kira aspek kos penerbitan dan membuat salinan filem itu sendiri yang pastinya meningkat dari hari ke hari.

Seorang ahli akademik, Dr Mahadi J Murad pernah menyuarakan pendapat bahawa, dengan industri pemameran filem yang semakin meningkat dari masa ke masa, pendekatan yang sesuai untuk menilai kredibiliti pembangunan dan peningkatan industri filem cereka Malaysia ialah melalui penguasaan pasaran oleh filem cereka tempatan dalam pasaran tempatan.

Jika pendekatan ini diambil kira, bagi tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, penguasaan filem cereka Malaysia dalam jumlah kutipan filem cereka di Malaysia bukan sahaja tidak meningkat, malah menurun dari 14.43 % pada tahun 2005 kepada 13.66% pada 2009.

Oleh itu, satu pendekatan baru harus difikirkan dalam mengukur prestasi pembangunan industri filem Malaysia, dan bukan hanya melalui peningkatan kutipan di pawagam semata-mata. Pihak bertanggungjawab harus memikirkan pendekatan yang paling adil dan sesuai dalam hal ini.


Senario Pelaburan Semasa

Seperti yang dinyatakan terdahulu, survival dan daya tahan industri perfileman dalam memastikan ia relevan dengan cara hidup hari ini bergantung kepada keupayaannya memainkan peranan dalam sistem urusniaga dan ekonomi. Mahu atau tidak perfileman harus berdiri sebagai sebuah industri, dengan kata lain mampu menjadi penyumbang kepada ekonomi.

Dalam memperkatakan tentang pelaburan industri filem, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, secara rambang, kemasukan pelabur dalam bidang perfileman khususnya penerbitan dan pemameran (pawagam) semakin meningkat.

Dalam bidang penerbitan, kebanyakan pelabur baru terdiri dari pelabur individu dan syarikat persendirian. Ini turut dipengaruhi oleh bantuan dan skim pinjaman yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC), serta Dana Industri Kreatif yang masih diperingkat awal perlaksanaannya. Kemunculan pelaburan baru dari sektor korporat pula sangat perlahan dengan bergantung kepada pelabur sedia ada seperti Media Prima Berhad (melalui anak syarikat Primeworks Studio Sdn Bhd) dan Astro All Asia Network (melalui anak syarikat Astro Shaw Sdn Bhd & Tayangan Unggul Sdn Bhd).

Ketidakyakinan para pelabur korporat diyakini atas faktor industri perfileman sendiri yang dilihat tidak mempunyai jaminan pulangan yang pasti disamping ketiadaan persekitaran industri yang kondusif dan diyakini. Bajet 2011 yang dibentang oleh YAB Perdana Menteri pada 15 Oktober 2010 hanya memperuntukkan sekitar RM200 juta atau 0.09 % dari bajet negara untuk industri kreatif. Jumlah tersebut pasti lebih rendah bila dibahagikan kepada semua bidang dalam industri kreatif termasuk industri filem cereka. Ini secara tidak langsung memperlihatkan tahap komitmen dan keyakinan pihak kerajaan secara langsung kepada industri filem cereka yang pastinya turut mempengaruhi keputusan para pelabur. Para penglibat industri harus bekerja lebih keras untuk meraih keyakinan yang lebih baik dari pihak kerajaan.

Dengan tidak menafikan kepentingan pelaburan individu dan syarikat persendirian, pertambahan pelabur korporat khususnya dari syarikat senarai awam (public listed company) dirasakan perlu kerana secara tidak langsung mampu membina reputasi sebuah industri yang kukuh dan diyakini. Ini juga kerana pelabur korporat biasanya merupakan pelabur serius yang konsisten dalam pelaburan berbanding pelabur individu yang kebanyakan bersifat sementara. Ini sangat penting bagi meyakinkan pengurus dana dalam membawa masuk pelabur ke dalam industri. Begitu juga dengan pelaburan dari syarikat-syarikat modal teroka (venture capital) dan syarikat dana ekuiti persendirian. Ini pasti dapat dipertingkatkan jika pihak kerajaan mengemukan insentif dan persekitaran pasaran & pelaburan yang kondusif dalam menarik perhatian para syarikat pengurus dana pelaburan ini.


Prospek Masa Depan

Industri filem cereka merupakan sebuah industri yang berdaya maju dan berdaya saing tinggi dalam kitaran ekonomi hari ini. Ini dapat kita lihat melalui keupayaan industri kreatif menjadi salah satu industri terpenting hari ini. Ini diakui oleh pihak UNESCO yang melalui kajiannya menjelaskan industri kreatif kini menjadi industri kedua terbesar di dunia. Peralihan sistem ekonomi dunia dari pengetahuan semata-mata kepada nilai tambah kreativiti dan inovasi juga memperlihatkan industri kreatif, termasuk industri filem dan industri kandungan menjadi sebuah industri yang sangat penting.

Perkembangan cara hidup kontemporari kini memperluaskan industri filem cereka dari hanya bergantung kepada aktiviti penerbitan, pengedaran dan pemameran semata-mata. Watak-watak dalam filem kini menjadi ikon yang mampu menjadi sebuah jenama. Filem mampu diedar dalam pelbagai platform termasuk home video, media baru dan sebagainya. Industri penyiaran yang berkembang seperti kemunculan saluran Astro First dan saluran televisyen berasaskan protokol internet (IPTV) secara tidak langsung meningkat jumlah segmen penjualan hak tayangan (right).

Kemunculan sub-pasaran seperti ini harus dipergunakan para penggiat dan pelabur filem cereka di Malaysia bukan sahaja meningkatkan perolehan, tetapi juga melihat kemungkinan dan kemampuan untuk lebih mempelbagaikan jenis kandungan yang ditawarkan kepada penonton. Ini termasuk kandungan untuk khalayak perdana hingga kepada kandungan untuk segmen pasaran altenatif (kandungan yang tidak sesuai untuk khalayak perdana). Segmen pasaran alternatif meskipun kecil, tetapi merupakan sebuah pasaran berpotensi besar untuk berkembang.


Penutup

Kemunculan para pengurus profesional generasi baru yang mempunyai pengkhususan kepakaran pengurusan industri kreatif dan industri filem diharapkan membawa sinar baru kepada industri filem cereka Malaysia. Pengurus yang memahami tuntutan survival dalam sistem ekonomi dan apresiasi terhadap produk berasaskan seni mampu mencari pendekatan terbaik mengurus sebuah industri yang kritikal seperti industri filem ini.

Inilah masa yang sesuai untuk industri filem cereka Malaysia untuk mendapatkan tempat yang sewajarnya sepertimana industri filem di Amerika Syarikat, India & Australia. Seharusnya slogan `Filem Malaysia ke Persada Dunia` yang dibawa oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai agensi bertanggungjawab dalam industri ini bakal menjadi realiti dalam erti kata sebenar.


(Artikel untuk majalah Dewan Ekonomi, Edisi April 2011)