ABOUT ME

Monday, March 7, 2011

PELABURAN INDUSTRI PERFILEMAN ASIA TENGGARA

Pelaburan Industri Perfileman Asia Tenggara :

AnalisisTerhadap Penerbitan Filem Cereka

Malaysia & Singapura (2007 - 2011)

Oleh : Azharul Azmir Kamarulzaman

Abstrak

Kajian ini adalah bagi menyelidik, menganalisis dan seterusnya memberi gambaran tentang pelaburan dalam industri filem cereka di Malaysia dan Singapura dalam aktiviti penerbitan. Kajian ini menyelidik dalam tempoh lima tahun iaitu bermula tahun 2007 hingga tahun 2011. Hasil pengumpulan maklumat akan dianalisis secara analogi terhadap kes dan senario dalam konteks yang sama di kedua buah negara. Ia akan membincangkan lanskap pelaburan dalam industri filem cereka di kedua negara. Penemuan hasil kajian di penghujung kajian bakal memberikan gambaran secara mendalam tentang pelaburan industri filem cereka Malaysia dan Singapura termasuk dari aspek skala, trend, faktor penggalak, permasalahan serta potensi yang berkemampuan untuk diterokai.

Pernyataan Masalah

Sejak akhir-akhir ini, mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad seringkali menyuarakan bahawa ekonomi Malaysia harus mengubah pendekatan dari terlalu bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) kepada pelaburan langsung domestik (DDI). Ia sebenarnya memberi gambaran bagaimana lanskap ekonomi global semasa kini telah berubah. Ekonomi harus diberi tafsiran dan pendekatan baru untuk mengendalikannya. Seiring dengan itu, perubahan kitaran ini juga memperlihatkan bagaimana industri kreatif menjadi semakin penting dan memainkan peranan besar dalam kitaran ekonomi global.

Unit Perancang Ekonomi Malaysia (2010) dalam Rancangan Malaysia Ke-10 menyatakan industri kreatif di Malaysia menyumbang 1.6% KDNK negara. Kementerian Penerangan, Kebudayaan & Kebudayaan Malaysia baru-baru ini mengumumkan bahawa industri kreatif negara menyumbang sejumlah RM6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Media Development Authority di Singapura menyasarkan industri kreatif dan kandungan mereka akan menyumbang 10% dari GDP Singapura dalam tempuh masa beberapa tahun akan datang. Setiap penglibat terutama pengurus industri harus menyedari kepentingan untuk terus mengangkat industri kreatif sebagai sebuah industri dominan yang relevan dan memainkan peranan jelas dalam KDNK negara sekiranya mahu industri ini diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan juga para pelabur. Perhatian kedua pihak ini amat diperlukan, dan ini menjadi tugas amat berat kepada para pengurus industri untuk memastikan industri filem berada dalam agenda penting kedua pihak ini.

Program Tranformasi Ekonomi (ETP) (2010) di Malaysia yang baru dilancarkan baru-baru ini juga memperlihatkan hal ini apabila menyatakan secara jelas bahawa sektor kandungan komunikasi sebagai salah satu bidang keberhasilan utama negara (NKEA) di Malaysia. Ini adalah peluang yang harus direbut oleh industri filem tempatan untuk berkembang pada kadar yang lebih komptetatif.

Dalam konteks industri filem cereka secara khusus, bagi memenuhi hasrat itu, industri ini mencapaikan peningkatan dalam pasaran berasaskan kepenggunaan/ penontonan khalayak perdana bagi memastikan industri ini terus relevan dan mampu memain peranan sebagai sebuah industri dalam sesebuah negara.

Filem merupakan komoditi universal. Industri filem menjanjikan sebuah pasaran global yang semakin hari semakin berkembang. Bukan sahaja dari sudut pasaran antara negara, tetapi juga perkembangan teknologi yang memperkenalkan pelbagai platform penayangan. Ini sekaligus mempelbagaikan segmen pasaran bagi industri filem yang sememangnya bergantung besar kepada hasil dari jualan kutipan tiket dan jualan hak tayangan dan hak pengedaran (right).

Seperti yang dinyatakan terdahulu, survival dan daya tahan industri perfileman dalam memastikan ia relevan dengan cara hidup hari ini bergantung kepada keupayaannya memainkan peranan dalam sistem urusniaga dan ekonomi serta membangunkan pasaran. Mahu atau tidak perfileman harus berdiri sebagai sebuah industri, dengan kata lain mampu menjadi penyumbang kepada ekonomi. Dalam mencapai dan mengekalkan tahap tersebut, perkara utama yang harus diberi perhatian dan galakan sewajarnya adalah dari aspek pelaburan ke dalam industri. Hanya melalui kemasukan pelaburan, industri dapat terus membangun dan meningkat.

Oleh yang demikian, penyelidik berpendapat pentingnya sebuah penyelidikan bertulis berkenaan pelaburan industri filem cereka. Ini meliputi skala, trend, kadar pertumbuhan, permasalahan & potensi. Namun, keperluan tersebut masih tidak dipenuhi apabila Malaysia dan Singapura khususnya masih kekurangan kajian berkenaan isu ini.

Bagi kajian ini, pengkaji memilih bagi menjalankan kajian hal terbabit di secara perbandingan dua buah negara yang disebut di atas, iaitu di Malaysia dan Singapura Ini adalah kerana kedua negara ini yang berlainan taraf sebagai negara membangun dan negara maju seharusnya mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing untuk saling lengkap melengkapi. Penting untuk pentadbir mengetahui kedudukan dan strategi kedua negara ini bagi membolehkan kita memahami sebaik mungkin kemampuan dan hala tuju yang praktikal untuk industri filem cereka di kedua buah negara.

Objektif Kajian

1) Menyelidik dan menganalisis lanskap pelaburan filem cereka di antara Malaysia dan Singapura dari sudut skala, trend dan kadar pertumbuhan, permasalahan & potensi pelaburan filem cereka di kedua negara.

2) Membuat perbandingan secara persamaan dan perbezaan bagi mencadangkan titik temu yang berpotensi dan praktikal dalam mewujudkan hubungan dua hala dalam mempertingkatkan pembangunan pelaburan industri filem cereka kedua negara.

Kajian Literatur

Industri filem cereka merupakan sebuah industri yang berdaya maju dan berdaya saing tinggi dalam kitaran ekonomi hari ini. Ini dapat kita lihat melalui keupayaan industri kreatif menjadi salah satu industri terpenting hari ini. Ini diakui oleh pihak UNESCO yang melalui kajiannya menjelaskan industri kreatif kini menjadi industri kedua terbesar di dunia. Peralihan sistem ekonomi dunia dari pengetahuan semata-mata kepada nilai tambah kreativiti dan inovasi juga memperlihatkan industri kreatif, termasuk industri filem dan industri kandungan menjadi sebuah industri yang sangat penting.

Perkembangan cara hidup kontemporari kini memperluaskan industri filem cereka dari hanya bergantung kepada aktiviti penerbitan, pengedaran dan pemameran semata-mata. Watak-watak dalam filem kini menjadi ikon yang mampu menjadi sebuah jenama. Filem mampu diedar dalam pelbagai platform termasuk home video, media baru dan sebagainya. Industri penyiaran yang berkembang seperti kemunculan saluran Astro First dan saluran televisyen berasaskan protokol internet (IPTV) secara tidak langsung meningkat jumlah segmen penjualan hak tayangan (right). Ini semua memberikan keyakinan pelabur terhadap pelaburan dalam penerbitan filem cereka.

Kemunculan sub-pasaran seperti ini harus dipergunakan para penggiat dan pelabur filem cereka bukan sahaja meningkatkan perolehan, tetapi juga melihat kemungkinan dan kemampuan untuk lebih mempelbagaikan jenis kandungan yang ditawarkan kepada penonton. Ini termasuk kandungan untuk khalayak perdana hingga kepada kandungan untuk segmen pasaran altenatif (kandungan yang tidak sesuai untuk khalayak perdana). Segmen pasaran alternatif meskipun kecil, tetapi merupakan sebuah pasaran berpotensi besar untuk berkembang.

Seorang penyelidik ekonomi telah membuat satu kajian bagi melihat hubungkait rapat antara industri hiburan termasuk perfileman dengan sistem ekonomi global. Vogel H.L. (2007) menyatakan “perspectives provided by this approach will enable us to see how entertainment is defined and how it fits into larger economic picture.”

Dalam memperkatakan tentang pelaburan industri filem cereka di Malaysia, dalam bidang penerbitan, kebanyakan pelabur baru terdiri dari pelabur individu tempatan dan syarikat persendirian tempatan. Ini turut dipengaruhi oleh bantuan dan skim pinjaman yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC), serta Dana Industri Kreatif yang masih diperingkat awal perlaksanaannya. Kemunculan pelaburan baru dari sektor korporat pula sangat perlahan dengan bergantung kepada pelabur sedia ada seperti Media Prima Berhad (melalui anak syarikat Primeworks Studio Sdn Bhd) dan Astro All Asia Network (melalui anak syarikat Astro Shaw Sdn Bhd & Tayangan Unggul Sdn Bhd).

Ketidakyakinan para pelabur korporat diyakini atas faktor industri perfileman sendiri yang dilihat tidak mempunyai jaminan pulangan yang pasti disamping ketiadaan persekitaran industri yang kondusif dan diyakini. Belanjawan negara Malaysia iaitu Bajet 2011 yang dibentang oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak (2010) pada 15 Oktober 2010 menyatakan “sejumlah RM200 akan diperuntukkan disediakan bagi perolehan industri kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi”. Ini menunjukkan kerajaan Malaysia hanya memperuntukkan sekitar RM200 juta atau 0.09 % dari bajet negara untuk industri kreatif. Jumlah tersebut pasti lebih rendah bila dibahagikan kepada semua bidang dalam industri kreatif termasuk industri filem cereka. Ini secara tidak langsung memperlihatkan tahap komitmen dan keyakinan pihak kerajaan secara langsung kepada industri filem cereka yang pastinya turut mempengaruhi keputusan para pelabur. Para penglibat industri di Malaysia harus bekerja lebih keras untuk meraih keyakinan yang lebih baik dari pihak kerajaan.

Ini sedikit berbeza di Singapura apabila industri filem cereka berkembang dari kemasukan pelaburan dari luar negara yang memberangsangkan. Kemasukan pelaburan ini dalam bentuk kerjasama produksi (co-production) dan juga pelaburan langsung (direct investment). Selain itu, bagi menampung kos pengeluaran yang tinggi akibat kos tenaga kerja yang tinggi dalam negara, Singapura mula meneroka penyaluran sumber luar (outsourcing) apabila menjalankan kerja produksi dan pasca produksi di luar negara terutama di negara seperti Indonesia dan China. Ini terutamanya bagi filem dan kandungan berasaskan animasi.

Jika dilihat dari keyakinan pelabur terhadap pasaran tempatan, dengan keluasan dan jumlah penduduk yang jauh lebih kecil dari Malaysia, pasaran filem cereka di Singapura dilihat amat kompetatif apabila secara puratanya, pemameran filem-filem mereka mampu mencapai sekitar RM 3 juta hingga RM 4 juta, iaitu hampir sama dengan pemameran filem di Malaysia.

Dalam mengulas hal ini, kita dapat melihat secara kasar, industri filem cereka di Malaysia dan Singapura mencatat perkembangan pada kadar yang berbeza turut dipengaruhi oleh budaya masyarakat penonton.

Menurut Mohaideen A.R. & Jamaludin (2005) “Perbincangan dan perdebatan mengenai globalisasi juga seringkali dikaitkan dengan `world culture` dan juga perkembangan `global culture`. Perkembangan kepada budaya global ini adalah hasil daripada kemajuan dan perkembangan yang ekstensif dalam pasaran dan perbadanan-perbadanan yang bersifat multinational, teknologi media dan komunikasi serta sistem produksi dan juga kepenggunaan antarabangsa.”

Berkenaan kepemilikan hakcipta dan harta intelek dalam perniagaan penerbitan filem yang kini menjadi satu komoditi berharga dalam industri kreatif, Alberstat (2004) menyatakan, “one of fundamental elements of the film business is the buying and selling of right; right in books, scripts, treatments, magazine articles, short stories and various other form of intellectual property.” Ini memperlihatkan industri filem merupakan pasaran yang serius dan berkemampuan memperolehi pulangan pelaburan dalam jangkamasa yang panjang serta tidak terhad.

Pihak kerajaan Malaysia dalam usaha memperkukuh peranan industri filem dalam sistem ekonomi Malaysia sepertimana menjelaskan dalam pelan dasar ekonomi Malaysia iaitu Rancangan Malaysia Ke-9. Unit Perancang Ekonomi (2006) menjelaskan “Malaysia has vast cultural and creative resources in the fields of performing arts, visual and fine arts, Islamic calligraphy and Jawi writing, film, arts education, literary work and craft which can be further developed and exploited. During the Ninth Plan period, the economic potential of creative cultural industry will be further developed through close collaboration between the public and private sectors. To facilitate the development of creative industry and to ensure its contribution to the economy, the Government will continue to provide a conducive environment as well supportive infrastructure. Industries will be encourages to utilize various facilities at the state level.”

Kaedah Kajian

Bersesuaian dengan kerja penyelidikan berkenaan industri, pengkaji memilih untuk menjalankan penyelidikan ini dengan pendekatan kualiatif dan kuantitatif secara seimbang. Ini sangat penting bagi membolehkan hasil kajian yang diperolehi adalah mampu memberi gambaran sebenar secara menyeluruh terhadap senario dalam industri tanpa mengecualikan kepentingan nilai sains sosial dalam setiap timbang tara yang bakal dijalankan dalam penyelidikan ini.

Analisis kepada pelaburan penerbitan filem cereka ini ini akan dilakukan secara berperingkat dengan pecahan kepada tujuh sub-topik utama iaitu (1) skala, (2) trend (3) kadar pertumbuhan, (4) permasalahan & (5) potensi.

Jumlah pelaburan ini juga akan melihat tentang peratusan tiga bentuk pelaburan iaitu (1) pelaburan dari luar negara di negara terbabit, (2) pelaburan tempatan dan juga (3) pelaburan pelabur tempatan di luar negara.

Siginifikan Kajian

Penyelidikan ini bakal memberikan gambaran jelas tentang situasi dan permasalahan pelaburan penerbitan filem cereka di Malaysia dan Singapura. Ia bakal menjadi sebuah kajian yang praktikal yang mampu menjadi rujukan para pengurus dan penggiat industri filem di Malaysia khususnya dan negara lain umumnya. Ia juga bakal memberi ruang untuk para pentadbir dan pengurus industri di kedua negara melihat kekuatan dan kelemahan industri filem cereka di kedua negara dalam mengeksploitasi kekuatan, menambahbaik kekurangan dan memperbaiki kesilapan.

Kemunculan para pengurus profesional yang mempunyai pengkhususan kepakaran dan latar akademik dalam pengurusan industri kreatif dan industri filem serta pelaburan industri diharapkan membawa sinar baru kepada industri filem cereka Malaysia. Pengurus yang memahami tuntutan survival dalam sistem ekonomi dan apresiasi terhadap produk berasaskan seni mampu mencari pendekatan terbaik mengurus sebuah industri yang kritikal seperti industri filem ini. Mereka harus memahami kepentingan pelaburan dalam survival sebuah industri filem cereka yang membangun serta mengangkat nilai kreativiti ke tempat yang sewajarnya.

Kesimpulan

Malaysia dan Singapura sebagai negara berjiran dalam rumpun yang sama, meski berbeza taraf sebagai negara dan membangun negara maju mempunyai potensi untuk saling lengkap melengkapi dalam perkembangan dan pembangunan industri filem cereka kedua negara. Ini juga memastikan industri perfileman di negara timur adalah kompetatif dan mampu bersaing dalam pasaran global disamping membantu membina peradaban budaya intelektual yang lebih baik dalam pengurusan industri filem cereka serantau.

(Kertas kerja ini adalah bagi penyelidikan peringkat sarjana penulis)

No comments:

Post a Comment